Sunday, July 05, 2009

Antara jasa dan kenangan kereta pertama

Assalamualaikum Li ! Itulah yang saya dengar berkali-kali. Kedengaran seperti orang sedang dalam kecemasan. Saya bingkas bangun sambil melihat jam dinding pukul 1.30 pagi, terus meluru ke pintu rumah.


Saya kenal suara itu. Dia adalah Azman (bukan nama sebenar). “ Li, aku nak minta tolong, aku nak bawa anak aku ke hospital, anak aku demam panas kuat !”, rayu Azman kepada saya. Tanpa berfikir panjang saya terus memberi kesanggupan dan minta sedikit masa untuk bersiap.


“Aku tunggu di rumah Li”, kata Azman sambil memecut motorsikal pulang ke rumahnya di seberang jalan.

Tanpa mengambil masa yang panjang saya terus memandu ke rumah Azman.


Sebaik sampai di rumah Azman, isteri Azman, Hasnah mendukung anak masuk ke tempat duduk belakang dan Azman duduk di seat depan sebelah saya. Sebaik saya hendak memulakan pemanduan, tiba-tiba “ Eh... nanti… nanti kejap li, surat beranak anak aku tertinggal ! ", Azman serta merta keluar meluru ke dalam rumahnya meninggalkan saya dan isteri serta anaknya dalam kegelapan malam.


Saya yang sedang duduk kaku di tempat pemanduan terkejut dan panik apabila Hasnah di belakang, tiba-tiba menjerit-jerit ‘ Eh apa ni cikgu sazili….apa ni….apa ni….apa niii !’.


Dalam keadaan panik saya serta merta keluar dari kereta. Hasnah pun keluar sambil merangkul anaknya dan mengibas-ngibas kain yang di pakainya.


Waktu itu saya tahu apa yang berlaku kepada Hasnah tetapi alangkah takutnya saya kalau-kalau si Azman yang berada di dalam rumah mendengar jeritan isterinya dan mengesyaki yang bukan-bukan. Lagi pucat muka saya kerana kenal ayah Azman seorang yang terkenal garang dan memiliki senapang patah.


"Tak ada apa Hasnah, lipas tu…lipas !!" jerit saya kepada Hasnah. Sambil menjerit memberitahu saya menjauhkan diri saya dari Hasnah. Azman yang agaknya menyedari apa yang sebenar-benar berlaku merungut kepada isterinya sebaik sampai di kereta. " Ahh…masuk…lipas pun takut", sergah Azman kepada Hasnah.


Sebaik Azman kata begitu alangkah leganya hati saya.


Dalam hati saya merungut " Wahai anak-anakku, kerana keropok yang kamu selalu makan, lipas-lipas bersarang dalam kereta ayah dan ayah cemas ditembak senapang patah!".


Saya berazam, esoknya saya akan membunuh dan membuang semua lipas-lipas yang bersarang dalam Datsun Tonggek saya ini ! Begitulah antara kenangan bersama kereta pertama, Datsun 120Y yang tidak mungkin saya lupakan .


1 comment:

Anonymous said...

Anda suka bernostalgia dan anda tentunya seorang yang sentimental, Anda seorang guru tapi tidak semestinya sentimen itu melekakan anda dalam karrier sebagai seorang guru. Saya kagum kerana keperihatinan anda dalam menjaga hati seorang kawan meski dalam waktu macamana sekali pun. Alhamdulillah, semuga anda mendapat perlindungan dari allah selalu. Salam Ramadhan.