Kelmarin saya berjumpa seketika dengan pelajar Shasha (bukan nama sebenar) di bandar, yang kini menuntut di sebuah IPTA di Pantai Timur ini . Lagak tomboynya semakin berkurangan. Sudah nampak semakin feminin sekarang. Berjumpa seketika dengan Shasha, telah mengingatkan saya kepada suatu kisah dirinya sewaktu menghuni di asrama puteri pada tahun 2005 yang lalu.
Shasha seorang pelajar Tingkatan Empat pada waktu itu, seorang yang cerdik tetapi selamba orangnya. Shasha seorang yang jarang mahu berjumpa dengan saya, akhirnya datang juga menemui saya di bilik saya pada waktu rehat sekolah. Pada mulanya dia bertanya khabar saya dan bersembang. Saya melayan seperti biasa sembangnya itu sambil melakukan kerja-kerja saya.
Tiba-tiba Shasha bertanya saya " Sir, saya nak minta pandanga sedikit boleh tak sir ?",
"Tentang apa ?", tanya saya kembali.
"Sir jangan gelak pulak !" pinta Shasha.
Shasha memberitahu saya, dua tiga malam ini, tidurnya sentiasa diganggu di asrama puteri. Sampai kadang-kadang katanya , dia tidak boleh tidur.
Saya bertanya Shasha, macam mana bentuk gangguan tersebut. Dia memberitahu saya sewaktu dia mahu tidur macam ada sesuatu akan tidur disebelahnya ! Tercengang saya mendengar cerita Shasha. Ya ke budak ni atau dia sedang berimajinasi.
Saya tanya Shasha, bagaimana mana dia tahu macam ada orang tidur sebelah dia ?
"Laa...sir ni, badan saya ni terasa teralih, tergerak ke tepi katil macam ada orang langgar lah," jawab Shasha sambil melihat muka saya yang suspen. Budak ni biar betul !
"Malam tadi pun kena lagi.... tu yang saya datang tanya sir ni nak buat macam mana ?".
Macamlah saya ni tok bomoh ! Saya ni seorang yang agak penakut dengan benda-benda begini terasa seram juga sewaktu Shasha bercerita. Kenapalah budak ni tanya aku, kata hati.
Saya tak tahu sama ada Shasha serius minta tolong saya atau Shasha sahaja hendak bercerita dan menduga saya.
Sambil berlagak, bahawa apa yang berlaku kepada Shasha itu perkara kecil sahaja, saya secara spontan sambil berlawak mencadangkan Shasha buat sesuatu kalau-kalau malam nanti dia diganggu lagi. Oleh kerana Shasha ini seorang pelajar yang cerdik tetapi selamba maka saya pun mencadangkan idea berbentuk selamba juga !
Saya bagi tahu Shasha, " Sha, malam nanti kalau Sha diganggu lagi Sha cakap macam ni kat penggganggu Sha tu, "Eh engkau ni apa ni, engkau ni lelaki ke perempuan ? Kalau kau perempuan tidurlah elok-elok, janganlah ganas macam ni sampai teralih aku. Perempuan tak baik tidur lasak-lasak macam ni tau tak. Kalau engkau ni lelaki ...engkau tahu tak aku ni perempuan, mana boleh tidur sebelah perempuan bukan muhrim berdosa tau ! Pergi lah tidur tempat engkau!" , nanti Sha cakap macam tu tau!"
Itu cadangan saya kepada budak Shasha tu. Shasha semacam tercengang dengan cadangan saya sambil dahinya berkerut. Walaupun begitu Shasha seorang yang suka mencuba dan dia memberi jaminan kepada saya akan cuba melakukan cadangan saya itu.
Saya tidak berjumpa Shasha selamat empat hari kerana kesibukan saya dan Shasha pun sibuk dengan kelas dan aktivitinya yang agak padat. Pada hari Jumaat minggu berikutnya Shasha muncul di tepi tingkap bilik saya dalam perjalanan ke makmal kimia.
"Sir, hebatlah sir, menjadilah sir. Saya cakap apa yang sir ajar tu, saya dah tak kena ganggu lagi. Wah faham juga benda tu dengan cakap kita ye sir ?" kata Shasha tersenyum sambil tangan kanannya menumbuk tapak tangan kirinya.
Mendengar pemberitahuan Shasha itu saya tercengang. Berkali-kali saya bertanya Shasha, seriuskah dia dengan apa yang dia cakap ni.
"Iya sir!" akui Shasha.
Dalam keadaan hendak percaya atau tidak, saya terus berfikir bahawa kata-kata yang bertujuan lawak dulu itu rupa-rupanya diambil serius oleh spesis pengganggu itu. Bagus juga, selamat pelajar aku !
Sampai kini saya tertanya-tanya , boleh jadikah begitu ?
No comments:
Post a Comment