Friday, March 20, 2009

Di majlis akad nikah

Baru-baru ini saya sempat menghadiri dua tiga majlis akad nikah pengantin baru sama ada di masjid mahupun di rumah. Kebelakangan ini semakin ramai orang suka adakan majlis akad nikah di masjid. Alhamdulillah.

Apa yang menarik perhatian saya untuk dibicara secara santai ialah peranan saksi nikah. Memang tidak dapat dinafikan peranan saksi nikah ini sangat penting. Kata-kata "Sah" atau "Tak sah" atau apa-apa sahaja kata-kata lain yang terkeluar dari mulut mereka itu memberi kesan yang besar kepada pengantin lelaki.

Sudah pasti pada waktu-waktu begitu ada gemuruh pada pengantin lelaki. Maklumlah hendak menjadi suami, hendak masuk alam kehidupan yang baru selepas ini.

Apa yang menarik lafaz nikah yang tertentu, diajar beberapa kali oleh wali hakim atau naib kadhi sebelum upacara akad nikah dimulakan. Antara lafaznya, "Aku terima nikahnya Siti Zulaikha binti Abdullah (nama contoh aje ni) dengan mas kahwinnya dua puluh dua ringgit setengah tunai". Lebih kurang begitulah bunyi. Kalau di Pahang RM22.50. Kalau di tempat lain ikut negeri masing-masing.

Pengalaman pemerhatian saya, lafaz yang pertama itu sangat penting. Kalau saksi nikah kata "tak sah" maka kacau jadinya. Gemuruh pengantin bertimbun. Mulalah lafaz yang kedua atau yang berikutnya menjadi tak tentu arah. Boleh jadi macam-macam yang terkeluar " Aku terima nikah (hilang nya) Siti Zulaikha.....", "Aku terima nikahnya Siti Zulaikha bin Abdullah...(hilang binti)", " Aku terima nikahnya Siti Zulaikha binti Abdullah dengan dua ringgit setengah tunai (tinggal dua ringgit setengah sudahnya!)".

Hendak dapat lafaz yang betul seperti mana yang dikehendaki oleh Naib Kadhi atau saksi nikah, jadi payah malah semakin tak menjadi. Kadang-kadang Naib Kadhi atau wali hakim tanya saksi nikah yang dua orang itu, "Macam mana, boleh ?".

Pada pemerhatian ramai lafaz nikah sudah boleh diterima tetapi kerana saksi nikah itu mungkin agak berumur atau mungkin gemuruh juga.... dia pun kata " Okay dah....tapi buatlah sekali lagilah bagi sedap sikit lagi ". Hah... kacau ! Nasib-nasib yang kedua dan ketiga akan menjadi lebih haru.

Oleh yang demikian, pada saya saksi nikah ini perlu permudahkan (melainkan pengantin lafaz jelas teruk sangat) sebelum keadaan menjadi lebih payah dan haru untuk ditentukan akan lafaz yang disebut. Biasanya oleh kerana gemuruh yang amat sangat, yang kedua dan ketiga pun bunyi lagi kuat menggeletarnya.... boleh pun disahkan !

Begitulah antara antara adegan yang dapat dilihat di majlis-majlis akad nikah. Lagi tetamu gelak lagi kelam kabut pengantin !

2 comments:

Anonymous said...

ingatkan tadi gambr cikgu sazili dan ani kahwin masa muda2 dulu..he..he.he

Anonymous said...

Maaf seri, gambar saya dengan ani masa nikah dulu terlalu 'exclusive' untuk dipaparkan di sini !!