Sunday, March 15, 2009

Ke mana ayah ?

Pada hari Jumaat yang baru lalu saya telah dijemput untuk menyampaikan ceramah motivasi keibubapaan di sebuah sekolah menengah. Ceramah itu merupakan antara acara kemuncak sambutan maulidur rasul sekolah tersebut.

Apa yang menarik ialah kehadiran yang agak ramai. Dewan sekolah tersebut hampir penuh. Saya tidak pasti sama ada kehadiran tersebut kerana minat kepada ilmu atau kerana dipaksa datang oleh pihak sekolah atau kerana apa. Yang pasti dewan sekolah itu penuh.

Namun demikian, walaupun kehadiran agak ramai, apa yang menjadi tanda-tanya kepada saya setiap kali dijemput memberi ceramah ialah ke mana ayah ? Hampir tiga suku dewan dihadiri oleh kaum ibu. Apakah ramai yang hadir itu adalah janda belaka ? Tidak mungkin !

Melihat keadaan tersebut saya secara spontan menekankan ceramah saya kepada peranan seorang yang bergelar bapa atau ayah walaupun hanya sesuku sahaja bapa yang hadir. Saya tekankan bahawa bapa atau ayah adalah seorang Perdana Menteri dalam sebuah institusi keluarga. Perdana Menteri seharusnya seorang yang tahu, seorang yang hebat, seorang yang berilmu untuk menentukan visi dan misi keluarga.

Saya katakan bahawa malangnya sebuah keluarga mempunyai Perdana Menteri yang tidak tahu peranannya, tidak mahu tahu peranannya, lepas tangan terhadap peranannya dan tidak pernah mempunyai visi dan misi keluarga.

Oleh sebab itu saya katakan kepada yang hadir, kebanyakan institusi keluarga hari ini berada di dalam keadaan yang sangat parah dan lemah. Kebanyakan institusi keluarga hari ini telah hilang daya dan upaya kepimpinan yang berkesan dan berpengaruh.

Selepas saya memberi ceramah seorang anak muda yang saya rasa dalam lingkungan 26 tahun telah datang menemui saya sambil berkata " Cikgu, cikgu telah memberi kefahaman secara jelas kepada saya akan peranan seorang bapa di dalam sesebuah rumah tangga. Baru saya faham kenapa gejala sosial di kalangan remaja hari ini begitu berleluasa."

Anak muda itu sambung lagi kata-katanya, " Setelah mendengar ceramah cikgu tadi , saya rasa tidak sabar hendak menjadi seorang ayah tetapi sayup di hati kecil ini, saya rasa takut kerana tanggungjawab ayah rupanya sangat berat."

Saya hanya tersenyum mendengar keluhan anak muda itu namun tetap menasihatnya agar dia cepat-cepat kahwin ! Insya Alah katanya !

3 comments:

P'su said...

saya juga pernah terfikir bagaimana nak menjadi ayah yang terbaik untuk anak2 saya.. bagaimana rasanya seorang ayah yang anaknya mendapat 20A dalam SPM hr tu.

P'su said...

patutlah lama tak nampak sir.. lain kali nak g ceramah 2 ajak saya sekali, saya minat 2..

Anonymous said...

Insya Allah P'su, nanti kalau ada peluang dan masa yang sesuai saya akan ajak P'su sekali.