Saturday, March 07, 2009

Saya turut merayu mansuhkanlah PPSMI.

Sebagai kakitangan kerajaan kita adalah pelaksana kepada setiap dasar kerajaan. Dalam erti kata yang lebih jelas, setiap dasar kerajaan wajib kita laksanakan. Mekanisma pelaksanaan dasar telah dibentuk maka kita hanya perlu berusaha gigih melaksanakan setiap program mengikut mekanisma yang telah disusun. Dalam mengusahakan pelaksanaan dasar, soal bersetuju atau tidak dengan sesuatu dasar tidak timbul kerana kita adalah pelaksana. Namun jika pelaksana bersetuju dengan sesuatu dasar, itu adalah yang terbaik, tetapi jika sebaliknya ,pelaksana tetap tertakluk kepada tangggungjawab rasmi untuk melaksanakan dasar itu.

Secara peribadi, saya sebagai seorang guru yang mengajar Bahasa Inggeris sekian lama, saya tidak pernah bersetuju dengan Dasar PPSMI walaupun saya banyak terlibat dengan pelaksanaan dasar ini dalam menjayakan program "Buddy Support System" dan sebagainya. Sudah tentu dalam pelaksanaan dasar PPSMI ini, saya melihat dari dekat begitu banyak kekangan, tribulasi dan kecelaruan pendidikan dan pedagogi namun sebagai seorang pelaksana kita tidak highlightkan perkara-perkara yang negatif. Kita diasuh untuk melihat semua pemasalahan dari sudut yang positif semata-mata.

Namun sayup-sayup di sudut hati saya sebagai seorang pendidik yang bertanggungjawab terhadap ilmu, saya merintih sendirian kerana saya sangat sedar kaedah penilaian dan permarkahan semakin hilang integriti. Kita sedih kerana dalam keadaan sedar dan amat tahu bahawa kita berterusan melahirkan lulusan yang sebenarnya boleh dipertikai kualitinya setiap tahun. Kenapa jadi begitu ? Saya tidak mampu dan begitu lemah untuk menjawabnya !!

Lebih menyedih dan sangat menyakitkan hati saya sebagai seorang anak Melayu yang mencintai bangsanya, bahasa Melayu dan ilmu, saya yakin jika dasar PPSMI ini diteruskan, bahasa jiwa bangsa sudah tidak mempunyai erti lagi. Dan jika dasar PPSMI ini diteruskan, saya sangat yakin Bahasa Melayu akan berkubur sebagaimana berkuburnya tulisan jawi yang sangat saya cintai.

Sebagai guru Bahasa Inggeris berpuluh tahun, saya sangat tahu bukan PPSMI caranya untuk mengatasi kelemahan Bahasa Inggeris para pelajar kita. Bukan !

10 comments:

Unknown said...

salam..cikgu..bercakap mengenai ppsmi, saya dapati ada pro and kontra (setiap perkara ada pro n contra) dalam sains byak istilah bahasa inggeris digunakan atau dipinjam ke bhs melayu..kadang kala susah nk fham yang bahasa melayu punya istilah..mcm dj sendri, dulu waktu kat sek cam penung-pening bab istilah yang dipinjam..tapi kalau guna full english fahamlah sket..pastukenkadang rasa perkara ni (PPSMI) cam cakap tak serupa bikin pun ada..mahu iktiraf bahasa melayu,tapi negara sendri duk gune bhsa lain..bahasa melayu dah dinobatkan sebagai bahasa keempat terbanyak dunia penuturnya..tapi di malaysia sendri mcmmana??kalau dulu (abah saya kata) pelbagai kaum di malaysia bertutur bahasa melayu untuk berkomunikasi, tapi skarang pengalaman dj sendri..b.melayu cam kurang effective sket..sembang ngan kwn non-malay gune english..mungkin inilah harga yang harus dibayar bagi kemajuan negara..(berbaloi ke??)

adliariff said...

mungkin inilah kemajuan yang dicari-cari selama ini.

Anonymous said...

Terima kasih DJ kerana memberi komen di blog cikgu. Pada cikgu Bahasa Inggeris memang bahasa antarabangsa. Penguasaan bahasa Inggeris yang baik mungkin bonus kepada seseorang. Banyak kelebihan dengan penguasaan BI yang baik.

Namun demikian untuk bersikap adil kepada majoriti pelajar, mekanisma yang terbaik ialah mengajar sains dan matematik dalam bahasa yang mudah pelajar itu faham. Adalah silap dari segi ilmu pendidikan mengajar subjek yang susah dengan menggunakan bahasa yang susah.

Satu perkara lagi ialah bahasa sesuatu bangsa ialah jati diri bangsa itu. Apa erti menjadi bangsa Melayu jika akhirnya nanti semua orang melayu tidak tahu berbangsa Melayu ! Kita perlu insaf bahasa Melayu adalah anugerah Allah kepada bangsa Melayu. Terima kasih DJ, always do your best !

Adli,
Tidak salah kita mengejar kemajuan. Tanpa kemajuan kita akan pasti ketinggalan. Namun demikian janganlah kita menjadi bangsa yang rendah diri kononnya bahasa kita tidak mampu menjadikan kita maju. Saya bersetuju dengan adli, mereka yang menganggap PPSMI ini dlakukan untuk mencapai kemajuan yang lebih baik adalah golongan yang silap.

mantan said...

Sir,
Sebenarnya ramai guru yang tidak bersetuju. Tetapi hal ini tidak diketahui oleh 'stake-holders'.

Kita guru adalah pelaksana. Apa sahaja program pendidikan akan kita laksanakan sebaik-baiknya sebagai tanggungjawab kita.

Tetapi dalamhal PPSMI ini ia agak unik. Saya percaya, semua guru telah cuba melaksan program ini sebaik mungkin.
Tetapi apabila masaalahnya semakin melebar, apakah kita akan terus menjadi guru hipokrit yang melaksanakan programyang sudah kita pasti masaalahnya?

Saya fikir ramai guru yang bersetuju bahawa punca masaalah PPSMI ini ialah sewaktu mulanya, pelaksanaannya agak tergesa-gesa tanpa perancangan rapi. PPSMI terus dilaksanaan secara 'percubaan'.

Dalam 'percubaan' ini, suatu kesilapan yang nyata apabila percubaannya dibuat juga untuk tingkatan satu, tiga dan tingkatan enam.

Saya percaya jika mula pelaksanaannya hanya dibuat untuk murid tahun satu sahaja, tentu keadaannya berlainan.

Anonymous said...

Cikgu Wahab,
Apa yang menjadi masalah kepada kita ialah terlalu banyak melakukan eksperimen demi eksperimen. Akhirnya semua bahan P&P menjadi rojak.

Saya tetap berpendirian oleh kerana kita bernegara Malaysia yang bahasa kebangsaannya ialah bahasa melayu, ikut cara manapua kita mesti mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa pelbagai ilmu. Bagi saya kita masih berjiwa kecik selagi kita masih memikirkan sains dan matematik tidak cukup istilah dalam bahasa Melayu. Kita ada DBP, kita ada Institut terjemahan Negara, kita ada beratus-ratus universiti IPTA dan IPTS, tak kan lah mereka itu hilang idea untuk memperkayakan istilah sains dan matematik.

Bagi subjek BI saya tetap mengatakan sistem atau kirikulum pengajaran BI di negara ini tidak mesra pelajar. Terlalu-terlalu mementingkan markah ujian dan peperiksaan. Inilah masalah yang paling besar dan utama.

ckg rash said...

Menitis air mata dalam diri tiada siapa mengetahui...yang mahu nama dijulang akan terus memaksa...mendabik dada aku berjaya...generasi merana...

HASHIMME OMAR said...

Dek kerana yang membantah PPSMI ada kalangan pembangkang maka pemerintah sekarang rasa kalau ikut jatuh la maruah. Nasib bahasa dan bangsa letak belakang. tapi kalau kaedah bantah betul dan tiada nampak didalangi pembangkang mungkin mereka ikut kot. Walau bagaimana pun saya juga LANGSUNG TIDAK SOKONG PPSMI ni... Sebagai guru sejarah PERLEMBAGAAN NEGARA mesti dipatuhi...

Anonymous said...

rash,
Itulah delima guru-guru sebenarnya. Guru-guru tidak pernah membenci bahasa Inggeris malah menganggap ianya satu bahasa yang begitu penting. Namun walaupun ianya begitu penting kita perlu berjati diri dalam perancangan program pendidikan kita.

Hashimme,
Dalam mengejar kemajuan sains dan teknoligi kadang-kadang kita terlupa kepada sejarah yang sebenarnya banyak mengajar dan membentuk tamaddun kita.

P'su said...

sekarang dia orang kata isu utama PPSMI adalah untuk menguasai ilmu math dan sains keperingkat tinggi @ ilmu teknologi agar kita tidak ketinggalan. di samping meningkatkan penguasaan bahasa inggeris.. sudah tukar ka?

Anonymous said...

Psu,
Walau apa pun alasan kita sebagai satu-satunya negara Melayu di dunia ini seharusnya memperkasakan bahasa kita sendiri sebagai bahasa ilmu. Apakah kita sudah habis ikhtiar untuk memperkasakan bahasa kita ?

Sheikh Muzafar sendiri dipasa belajar bahasa Rusia untuk menumpang kapal angkasa Rusia ke Stesen Angkasa Lepas. Kan mudah bagi Rusia ajarkan sahaja Sheikh Muzafar dalam bahasa Inggeris yang Sheikh Muzafar pastinya sangat fasih ! Nampaknya Rusia lebih berjiwa Rusia untuk sentiasa memperkasakan bahasa rusia. Kita ?