Saturday, March 21, 2009

Buatlah keputusan yang betul...!

Lusa sekolah akan dibuka semula. Bagi sesetengah negeri, esok sekolah akan dibuka . Sebelum cuti hingga dalam tempoh cuti yang sedang berlangsung ini sebaik keputusan SPM keluar, saya begitu banyak menerima panggilan telefon dan SMS dari pelajar-pelajar dan bekas pelajar saya bertanyakan soalan, " sir, saya nak buat apa (nak mohon apa) kalau saya tidak dapat IPTA atau matrikulasi ?". Itulah antara soalan utama yang diterjahkan kepada saya.

Soalan-soalan yang diajukan ini menggambarkan situasi persaingan pada hari ini cukup mencemaskan mereka. Apakah mereka akan ketinggalan kapal ? Kalau mereka ketinggalan dalam persaingan ini apakah yang patut mereka lakukan ? Jelas sebenarnya mereka tidak tahu hendak ke mana?

Kesian...bagi pelajar-pelajar yang tidak mendapat keputusan yang cemerlang yang mungkin atau jelas tidak layak untuk memohon IPTA, ada mengadu kepada saya sehingga setakat ini ibubapa mereka masih tidak tahu hendak menentukan masa depan mereka.

Kepada pelajar-pelajar ini saya menasihati mereka, rujuk dan berbincang dengan kaunselor-kaunselor sekolah masing-masing. Lebih elok bawa ibubapa sekali berjumpa dan berbincang dengan kaunselor sekolah. Jangan biarkan masa berlalu kerana usia kita akan semakin meningkat dan peluang akan semakin mengecil.

Kadang ibubapa sering mengambil mudah akan perkara ini. Hasrat anak yang tinggi untuk menyambung pelajaran walaupun keputusan tidak mencukupi syarat, kadang-kadang tidak dilayan dengan perhatian berat dan cakna secara bersungguh hati. Sikap ini sudah pasti akan menyebabkan anak-anak muda ini kecewa dan membuat keputusan sendiri yang tiada panduan, yang akhirnya hanya menghabiskan masa kepada suatu kursus yang tidak memberi apa-apa faedah kepada diri dan masa depan mereka.

Kepada pelajar-pelajar yang seumpama ini saya menasihati mereka jangan membuang masa dengan harapan untuk melanjutkan pelajaran ke bidang-bidang akademik yang menekankan keupayaan kognitif. Saya syorkan kepada mereka walaupun tidak glamour, pohonlah kursus Sijil Kemahiran Malaysia yang sebenarnya mampu memberi faedah yang lebih baik kepada mereka jika mereka berdisiplin dan mempunyai sikap yang betul semasa mengikutinya.

Ramai yang mempunyai persepsi yang salah terhadap SKM dengan anggapan bahawa pelajar yang mengikutinya pelajar yang tidak cerdik. Ini adalah persepsi yang silap. Zaman sekarang mengharap kerja dari pihak kerajaan adalah satu kesilapan yang besar. Walaupun menyediakan pekerjaan itu adalah tanggungjawab kerajaan tetapi tidak semestinya pekerjaan-pekerjaan yang disediakan itu di sektor awam. Apa yang jelas pekerjaan di sektor awam semakin terhad sedangkan pekerjaan di sektor swasta memerlukan persaingan kemahiran.

Jika selepas bersekolah atau selepas IPTA atau selepas IPTS tetapi dengan tiada sebarang kemahiran apakah peluang pekerjaan akan menjadi mudah kepada mereka ? Akhirnya mereka perlu juga kerja sendiri untuk hidup dan menanggung keluarga.

Sesungguhnya Sijil Kemahiran Malaysia memberi ruang 'survival' yang lebih berkesan dan 'competitive' dalam dunia yang penuh mencabar ini. Jangan bersikap negatif terhadap SKM. Oleh yang demikian, di saat-saat sekarang keputusan bagi menentukan nasib masa depan mestilah dibuat dengan cepat dan betul.

5 comments:

Seri Suryati said...

ya betul
selain kelulusan akademik kita perlu ada soft skill atau kemahiran diri/kepakaran dlm sesuatu bidang, peluang memang banyak cuma atas kebijaksanaan kita merebutnya.
Zaman sekarang orang yang ada kemahiran menebar roti canai pun jadi rebutan dan dicari orang..

Anonymous said...

Seorang bekas pelajar saya cikgu seri, layak masuk form six sains tetapi tak masuk. Dia mohon kursus SKM sekarang sedang dalam peringkat SKM 4 bidang masakan. Cita-citanya mahu menjadi chef. Lelaki budak tu.

Anonymous said...

cikgu, pada masa seakrang, apakah dalam menentukan kerjaya masa depan kita boleh ikut minat kita ?

P'su said...
This comment has been removed by the author.
P'su said...

bukan nak promosi tapi di saat beginilah pendidikan seni merupakan salah satu mp penyelamat yg memberi laluan baru kpd kita. selalunya pelajar yang kurang dari segi akedemik mereka lebih kepada kemahiran ambillah kesempatan ini, peluang untuk belajar terlalu luas pada masa sekarang yang penting keinginan anda.. jd buatlah keputusan yg betul..!