Saturday, March 14, 2009

Hodohnya perangai manusia itu ....

Kesibukan menjadi urus setia satu program peringkat negeri menyebabkan seminggu blog ini tidak diupdatekan. Letih, penat dan mengantuk menjadi rencah kehidupan seminggu yang lalu. Dicelah kesibukan program tersebut saya masih dijemput untuk menyampaikan ceramah keibubapaan di merata tempat. Menyusun jadual aktiviti dan pengurusan masa menjadi begitu penting di samping kesihatan yang mantap.

Namun demikian pengurusan stress juga menjadi hal yang mendesak. Fizikal dan mental yang penat menjadikan emosi berbaur. Sedikit sahaja berdepan dengan masalah akan menekan emosi ke arah stress yang tinggi. Namun hanya kesabaran yang tip-top mampu menjadikan segala tindakan menjadi waras.

Sewaktu singgah mengisi minyak di Petronas Muadzam Shah, saya berbaris di belakang sebuah kereta Mercedez Benz model mewah berwarna hitam dan bercermin gelap. Seorang lelaki dalam usia 40 an memakai seluar slack hitam dan berjeket hitam sedang mengisi minyak kereta tersebut. Lama juga dia mengisi minyak, mungkin penuh tangki agaknya.

Perkara yang sangat menyakitkan hati saya berlaku selepas itu. Sebaik dia selesai mengisi minyak kereta Mercedez Benznya itu hati saya rasa lega kerana kereta saya akan mengambil giliran. Rupanya keadaan yang saya harapkan itu tidak berlaku. Si lelaki yang mengisi minyak itu kelihatan selamba berjalan ke belakang bangunan kedai Mesra Petronas itu untuk ke tandas dengan meninggalkan keretanya di situ. Bayangkan saya dengan dua tiga buah kereta yang lain di belakang saya, terpaksa menunggu lebih kurang 8 minit untuk menanti dia kembali dan menggerakkan keretanya.

Saya tertanya-tanya sendirian, apakah yang menyebabkan dia menjadi begitu tidak prihatin kepada keperluan orang lain. Adakah dia tuan punya petrol stesen itu ? Atau dia berkelakuan begitu kerana dia menggunakan kereta Mercedez Benz mewah ? Atau dia itu orang besar yang tidak kuasa lain yang mampu mengganggu kuasanya yang sedang menunjuk kuasa itu ? Atau memang dia itu kurang ajar orangnya ? Entahlah sayapun tak tahu.

Hati ini terasa cukup menggelegak. Mahu rasanya saya 'tampar' lelaki yang tiada jiwa itu. Tapi siapalah saya untuk berbuat demikian, rakyat marhaen dari rumah beratap 'rumbia'.

Perkara itu kelihatan kecil tetapi terlalu besar kesannya kepada saya yang mahu bersegera ke tempat ceramah saya.

Itulah manusia. Sering kita jumpa mereka yang tidak prihatin yang meninggalkan keretanya di petak mengisi minyak untuk pergi ke tandas. Betulkah tindakan ini dalam keadaan petak parking banyak tersedia dan ada kereta di belakang menunggu giliran ? Hodohnya perangai manusia itu...

2 comments:

Unknown said...

Hidup manusia di Dunia memang pelbagai ragam..ada yang kita suka ada yang kita tak suka, tapi yang penting kita kena sabar..dan sentisa bersangka baik..mungkin dia dah tak "tahan" sgat kot.(g belakang tu nak g toilet kot)..supaya hati kita sentiasa tenang..kalau betul ada kesalahan yang pasti..maka tugas kita sebagai khalifah di muka bumi menegur dgan berhikmah..Apa pun Cikgu..Sabor je lah yer..

Anonymous said...

Betul kata Khadijah tu, kita kena banyak bersabar dalam menghadapi kerenah manusia yang lain.

Dan kerana sabar jugak lah saya tidak turun dari kereta saya untuk menegurnya supaya dia mengalih keretanya ke petak pakir kerana kereta masih berjujukan dibelakang saya!

Sesungguhnya sabar pun tetap ada batasannya. Alasan tak tahan sangat masih belum boleh diterima sebagai suatu alasan yang kukuh sebenarnya.

Namun demikian saya tidak kisah kalau dia sungguh-sungguh tak tahan sangat, yang saya bimbang dia memang jenis sengaja tidak ambil kisah kepentingan orang lain!