Kesibukan semenjak hari pertama sesi kedua persekolahan penggal ini menjadi ruang tertutup untuk menghantar entry baru ke blog ini. Namun waktu ini ada terbuka sedikit ruang kesibukan itu untuk menulis. Kali ini saya akan menulis ringkas tentang cita-cita dan matlamat.
Hidup kita adalah diibaratkan sebagai sebuah perahu yang bergerak di air, ada destinasinya. Ada persiapan yang harus kita lakukan sebelum pelayaran, dan ada persiapan semasa dalam pelayaran kerana kita harus menjangkakan bermacam-macam cubaan kemungkinan melanda. Keselamatan dan jangka masa untuk sampai ke destinasi, sangat bergantung kepada pelbagai faktor termasuk kecekapan mengendalikan perahu.
Begitu juga dengan kehidupan kita sebagai manusia, mesti mempunyai cita-cita. Tanpa cita-cita hidup kita tidak ubah seperti buih atau sampah yang hanyut dibawa air tanpa haluan yang jelas dan nyata. Pendek kata, cita-cita kita adalah inspirasi perjuangan kita. Cita-cita kita ialah kekuatan kita, menjadikan kita optimis, jiwa kebal dalam menempuh rintangan, bersemangat kental dan hati berwaspada. Cita-cita membezakan kita antara orang yang berjaya dan orang yang sesat lagi pendusta, orang yang bersungguh lagi serius dengan orang yang hanya hangat-hangat tahi ayam!
No comments:
Post a Comment