Saturday, May 02, 2009

Pelajar-pelajar lepasan SPM dan STPM perlu diberikan kemahiran dengan kadar segera bukan diploma yang tidak menjamin sebarang pekerjaan !


Hari semalam hari pekerja. Hari ini hari pekerja masih diraikan. Namun kian ramai para graduan yang keluar tidak setimpal dengan kelulusan yang mereka perolehi. Sampai bila mesti begini?


Masih ramai graduan yang berkelulusan yang berkerja sebagai guru GSTT yang masih tidak pasti masa depan. Bagaimana keadaan mereka apabila tugas mereka ditamatkan nanti. Tidak pasti. Sewaktu bersembang ramai yang mengadu kepada saya akan ketidakpastian masa depan mereka. Saya pun termenung memikirkannya namun apa yang mampu dilakukan. Usia mereka terus meninkat tua !


Saya pelik masih ramai pelajar-pelajar saya, yang memohon kursus-kursus peringkat diploma yang saya yakin tidak akan ada pekerjaan untuk mereka nanti. Contohnya Diploma Psikologi, Diploma Pengurusan Bank, dan pelbagai diploma yang entah apa-apa lagi.


Sepatutnya perkara ini perlu diberhentikan segera. Majoriti calon SPM atau STPM, lebih baik diberi panduan oleh Kementerian Pelajaran Tinggi atau Kementerian Tenaga dan Sumber Manusia agar mereka ini diberi sijil-sijil kemahiran yang lebih berfaedah. Nampaknya tindakan terlalu lambat.


Slogan Satu Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian dutamakan harus direalitikan segera. Sekurang-kurangnya sediakan segera kursus-kursus kemahiran dan halakan majoriti mereka ke situ. Jangan biarkan IPTS membuka kursus-kursus diploma yang mengarut yang tidak menjamin kemahiran dan pekerjaan nanti. Anak-anak adalah aset masa depan ibubapa mereka. Bayangkanlah anak-anak muda yang berkelulusan diploma berkerja sebagai jurujual Tunas Manja dan jurujual koperasi sekolah !


Lebih baik anak-anak muda ini diberi kaunseling kerjaya agar mereka diberi kemahiran dan kursus peniagaan, buat keropok, jual air, buat mee kuning, pembuatan makanan, catering, fesyen dan jahitan. Kursus-kursus seperti ini memang ada tetapi tidak dipopularkan kerana masih ramai para pelajar yang menganggap kursus kemahiran hanya untuk mereka yang tidak cerdik sedangkan ia tidak begitu. Zaman kini mereka yang memiliki kemahiran lebih mampu survive berbanding dengan mereka yang tiada kemahiran.


Sebagai contoh saya ada dua orang pelajar. Seorang tamat persekolahan selepas PMR dan terus bekerja. Hari ini telah mampu memiliki jengkaut sendiri dengan pendapatan empat angka. Hal ini diberitahu sendiri oleh beliau kepada saya. Seorang lagi bekas pelajar saya lebih cerdik dari pelajar yang pertama tadi dan memiliki diploma tanpa sebarang kemahiran. Hingga hari ini pelajar ini masih bekerja sebagai jurujual koperasi sekolah !


Diharap pihak yang bertanggungjawab melihat perkara ini dan bertindak segera halakan anak-anak muda kita kepada kursus-kursus kemahiran. Kursus yang memberi Sijil Kemahiran Malaysia 1,2,3,4,5 dan 6 perlu diperkasakan segera jika tidak kita akan terus melahirkan penganggur yang bertaraf diploma dan ijazah atau pemegang diploma dan ijazah yang hanya bekerja yang tidak setaraf dengan kelulusan mereka. Kerja yang entah apa-apa !


Jangan salahkan mereka kerana kitalah yang perlu merancang masa depan mereka. Jika kita salah merancang untuk mereka maka mereka akan syok sendiri dengan perancangan yang salah .


Selamat hari pekerja !

2 comments:

Norazman Md Noh said...

Tu la dinamakan rezeki masing-masing. 2 contoh yang sangat baik yang diutarakan...kekadang kemahiran lebih membantu kehidupan dari akademik...apa pun kedua-dua penting untuk dunia dan akhirat...

sazili said...

Man,
Pada saya akademik memang penting tetapi dalam zaman yang serba mencabar yang penuh persaingan ini para pelajar kita tetap perlu kita bekalkan kemahiran kerana hanya dengan ada kemahiran sahaja mereka akan mampu bersaing sama ada dalam sektor awam, swasta mahupun bekerja sendiri.