Tuesday, May 12, 2009

Aku dah nak bertunang !

Dalam perjalanan pulang dari Kuantan saya singgah di masjid bandar Pekan untuk bersolat. Sebaik memberhentikan kereta di salah satu petak pakir yang disediakan di tepi masjid, henfon saya berlagu kerana ada panggilan masuk. Saya mengambil henfon dan melihat nombor yang tertera.

Dalam hati saya tertanya-tanya apakah mimpi budak ini menefon saya? Rasanya sudah dua tahun saya tidak mendengar hal cerita dirinya semenjak dia menamatkan persekolahannya di tempat saya mengajar sekarang. Saya menjawab panggilannya dengan bertanya apa mimpi dia? Dia kata tak ada apa-apa cuma saja nak telefon sir, nak bertanya khabar. Kalau begitu bagusnya budak ini, kata hati saya.

Antara yakin dengan tidak dengan penjelasannya saya melayan beberapa pertanyaan awalnya tentang kesihatan dan keadaan saya. Apabila saya menanya tentang dirinya, barulah dia memberitahu hal yang sebenar bahawa dia ada sesuatu yang hendak dibincangkan dengan saya. Suspen juga saya. Dia di Kelang saya di Pekan, nak berbincang hal penting dalam keadaan dua tahun tidak pernah berjumpa !

Saya tidak sabar dengan segera bertanya apakah hal penting yang hendak di bincangkan.

"Sir, ada orang hendak meminang saya macam mana ?", tanyanya macam panik.

Laa...itu masalah rupanya. Saya ingatkan masalah besar benar, macam masalah di Perak ke? Rupanya masalah orang hendak meminang dia ! Budak-budak!

Selamba saya menjawab, " Dah...terima je lah!".

"Tapi sir, saya baru jumpa dia sekali. Dia dah jumpa mak ayah saya banyak kali. Dia dah pikat mak ayah saya. Mak ayah saya dah suka kat dia". ulasnya.

"Okaylah tu, mak ayah dah berkenan, eloklah tu... terima je !".

" Tapi dia tipu saya!", katanya tak puas hati.

"Tipu apa pulak?", tanya saya ingin tahu.

"Dia anak Datuk, dia kata dia bukan anak Datuk, boleh ke sir kita terima orang yang menipu macam tu?"

Nak tergelak saya. "Baguslah dia anak Datuk dia kata dia bukan anak Datuk. Merendah diri orangnya. Tentu baik budak tu! Yang menjadi masalah jika dia bukan anak Datuk tapi dia cakap dia anak Datuk !", uji saya.

"Tapi sir umur dia 31 tahun saya baru 20," katanya macam tak puas hati.

Geram betul aku budak ni. " Okaylah dia 31, saya 48 mana satu yang awak nak !", saya mengacah.

"Ergrrr..... Okaylah sir, dia call saya ni, kami nak pergi beli cincin. Nanti majlis besar hujung tahun nanti saya jemput sir", jawabnya tergesa-gesa.

Astagfirullah....dah sampai peringkat nak pergi beli cincin dah ?

Saja nak ceritalah tu.... "aku dah nak bertunang !"

2 comments:

grow2g3th3r said...

hehehe....Itukan salah satu sifat orang2 kita...iaitu mengambil laluan yang panjang untuk menerangkan maksud...

mantan said...

sir,
Selamat hari guru, esok.
Semoga Tetap guru.