Wednesday, April 01, 2009

Tempoh sibuk agaknya telah berlalu....

Terasa begitu lama saya tidak menulis. Sejak penganjuran Perkampungan Penulis Muda Pahang tempoh hari saya terus terhimpit dengan kesibukan yang terlalu. Urusan kerja, urusan anak, urusan jiran, urusan kemasyarakatan berjujukan datang. Hari ini terasa lega sedikit. Itu pun pukul 11 malam tadi saya baru pulang dari menyampaikan ceramah kepada peserta Perkhemahan Kadet Polis Daerah seramai 500 orang di Kem Bestari Rompin.

Sepanjang kesibukan ini aktiviti bermula seawal pagi kadang-kadang sebelum subuh, berakhir lewat tengah malam. Terfikir juga saya, kalaulah saya tidak niatkan aktiviti-aktiviti yang saya lakukan itu sebagai ibadah kepada Allah, alangkah sia-sia dan membuang masanya kerja saya.

Apabila banyak urusan yang perlu kita selesaikan, kita sebenarnya sentiasa diasak oleh masa. Tidak tahan kita. Seringkali kita menjadi gopoh kerana terlalu berkejar ke sana berkejar ke sini. Pagi Sabtu yang lalu saya dijemput untuk membimbing program qiamulail pelajar sebuah sekolah menengah. Malam itu saya tidur lewat kerana membuat sedikit persediaan untuk program lain. Pagi itu saya terpaksa bangun lebih awal dari biasa. Berkejar ke lokasi. Selesai solat subuh saya minta izin pulang untuk ke satu lagi program lain yang bermula pukul 7.30 pagi.

Oleh kerana terlalu gopoh dan terkejar-kejar, saya hairan saya boleh sesat di tempat yang saya biasa pergi. Saya keluar dari chalet tempat perkhemahan tersebut, saya boleh tersalah jalan. Masuk lorong yang saya sangka itulah jalan keluar. Akhirnya saya berhadapan dengan jalan mati dan dihadapannya hutan. Saya pusing balik dan masuk lagi lorong yang salah akhirnya saya berhenti di simpang jalan memikirkan ke mana sepatutnya saya pergi.

Saya mengambil keputusan dalam suasana yang masih gelap subuh tersebut untuk pulang semula ke chalet. Dari pintu pagar chalet saya memulakan semula perjalanan pulang saya, barulah saya jumpai simpang keluar ke jalan besar. Masya Allah, itulah padahnya terlalu letih dan terlalu mengantuk ! Fikiran saya sukar hendak relate dengan suasana.

Dalam suasana sibuk, yang paling penting sekali ialah pengurusan masa yang cekap kemudian kesihatan yang baik. Jika dua perkara ini tidak mampu dilaksanakan dengan cermat dan teliti maka keadaan akan menjadi lebih haru.

Hari ini kesibukan yang terlalu itu rasanya telah berlalu. Keadaan kembali menjadi biasa. Barulah saya sempat update kan blog ini. Insya Allah penulisan-penulisan lain akan menyusul seperti biasa selepas ini.

4 comments:

yusofsipan said...

dlm kesibukan tu, sempat tak minum kopi? hehehe... Masih ada lagi kopinye?

Anonymous said...

Sir,
Sibuk-sibuk tu jangan sampai stress pulak. Sir tu darah tinggi... nanti orang sekeliling pun terkena tempias stress tu. Takut bergegar sekolah....

Anonymous said...

progrm skolah mdzm ke?x pe sir,jnji bt smua nt krn Allah...(faiz omar)

sazili said...

Cikgu yusof,
Alhamdulillah...masih sempat minum kopi tu. Petang tadi saya hidangkan kepada kawan-kawan yang bertandang ke rumah. Masih ada lagi.

Anonymous,

Terima ksih atas ingatan....insya Allah belum stress lagi. Pesanan dan ingatan sentiasa diingtati. Terima kasih kerana prihatin.

Faiz,
Nabi kata," sampaikan daripada aku walaupun dengan sepotong ayat..."