Wednesday, April 22, 2009

Bersembang sejenak dengan mat salleh

Petang semalam sementara menunggu waktu makan malam saya bersiar-siar di lobby resort ini. Terdapat juga beberapa orang 'orang putih', pelancong barangkali, juga sedang duduk-duduk santai di situ. Saya cuba menghampiri salah seorang dari mereka untuk tujuan bersembang dan berborak kosong.

Namanya Barry dari Kansas Amerika katanya. Banyak juga perkara yang saya bersembang dengan si Barry ini, dari hal perniagaan, politik, peperangan dan macam-macam lagi. Antara yang menarik ialah mengenai bahasa. Kami bersembang tentang bahasa kerana dia bertanya saya kenapa saya berada di resort tersebut ? Saya katakan kami sedang bermesyuarat penyelarasan pemeriksaan MUET Speaking 2009.

Barry adalah seorang yang gemar belajar berbagai bahasa. Dia boleh berbahasa Indonesia maka dia sudah pasti juga oleh berbahasa Malaysia.

Satu soalan yang menggemparkan saya, yang ditanya oleh Barry ialah "Why not Malay learn Mandarin seriously at school. It is a very important language for them in this country"

Dalam hujah ringkas Barry kepada saya, dia memberitahu pada pengalaman dan pemerhatiannya orang-orang Melayu sangat rugi jika tidak pandai berbahasa orang-orang Cina kerana orang-orang Cina Malaysia hanya 'lebih selesa' dengan mereka yang menguasai bahasa Inggeris dan bahasa Cina. Katanya bangsa Cina adalah bangsa yang sangat lincah dan untuk memahami kelincahannya, kamu mesti menguasai bahasanya!

Terkedu seketika saya mendengar hujah Barry. Betulkah begitu atau itu hanya andaian si mat salleh ini sahaja ?

Saya tinggalkan persoalan itu tergantung begitu kerana saya dipanggil oleh kawan saya untuk makan malam dan Barry pun sudah mula bersiap untuk keluar dari ruang lobby mengikut kawan-kawannya yang lain.

Sebelum berpisah sempat saya bertanya Barry. " So, where to now ?".

"To have a "war" with them...!" jawab Barry ringkas dengan gelak kecil sambil melihat ke arah amoi yang sedang berada di kaunter resort. Saya antara faham dengan tidak apa yang Barry maksudkan, dan sempat merungut sendirian, "itulah orang putih nak berperang je kerjanya. Kurang ajar, Cheh!"

No comments: