Monday, January 31, 2011

Cuti di musim hujan, duduk di rumah...makan!

Di luar rumah masih terdengar hujan yang mencurah. Suasana dalam rumah kian menjadi dingin. Nampaknya hujan masih belum mahu berhenti.

Dengar khabar penduduk-penduduk di Tenang, Johor semalam mengundi dalam suasana banjir. Ada yang terpaksa dipunggah ke tempat pengundian, ada yang tidak dapat mengundi terkepung air dalam yang bertakung.

Pagi ini aku tidak ada rancangan keluar rumah, cuma sebelah petang nanti hendak ke bandar Endau atau Kuala Rompin sekejap.

Semalam ke Mersing dua kali. Sebelah pagi pergi ambil Adibah yang balik dari Kangar, naik bas Kangar-Mersing. Sebelah petang pergi pula ambil Abd Hafiz, naik bas dari KL-Mersing.

Perjalanan ke Mersing semalam hujan boleh tahan. Teringat aku kata Tok Wan aku dahulu, katanya selagi tidak 'Raya Cina', selagi itulah hujan lebat! Aku pun tidak faham, apa kaitan hujan lebat dengan raya cina. Yang aku faham sekarang masih lagi musim tengkujuh.

Angin bertiup kencang. Minum air di gerai tepi pantai Mersing, bersama isteri dan Aisyah, gelas-gelas bergerak-gerak ditiup angin, maka keropok goreng semakin cepat digerakkan ke dalam mulut! Cepat makan, cepat pergi dari situ.

Sambil memandu pulang, aku terima sms dari salah seorang pelajar yang berbunyi," sir, lecehlah cuti sekolah, kuat makan, gemuk dah ni!". Aku tidak menjawab sms itu. Dalam hati aku berkata-kata, "agaknya inilah sebab penyakit obesiti menjadi-jadi di negara kita, duduk rumah tak tahu nak buat apa....musim hujan pulak, so makan je lah!".

Tanggunglah sendiri!


No comments: