Semalam seorang pelajar datang menemui ku untuk bertanya pasal kerjaya. Soalan pelajar ini agak mudah tapi payah untuk aku menjawabnya. Soalan biasa yang terlalu biasa didengari oleh sesiapapun.
"Cikgu, pelajar aliran sastera macam saya ini, kursus universiti yang macam mana yang patut saya pohon, yang boleh memberi peluang pekerjaan kepada saya apabila saya keluar universiti nanti?", tanya pelajar itu sambil susah payah menyusun ayatnya.
Sambil memandang jauh ke keluar tingkap aku cuba memikirkan jawapan yang terbaik untuk pelajar aku itu. Ijazah sarjana muda pendidikan, ijazah SM ekonomi, ijazah SM pengurusan perniagaan, ijazah SM psikologi, ijazah SM kaunseling, ijazah SM sumber manusia, ijazah SM komunikasi dan berbagai-bagai lagi bermain-main dalam pemikiran aku.
Aku rasa susah untuk memberi jawapan yang terbaik. Ya kalau zaman aku dulu betul...ok. Tapi apakah ada peluang pekerjaan jika memiliki ijazah-ijazah yang aku fikirkan tadi dalam fenomena yang ada hari ini? Aku sudah berjumpa dengan ramai bekas pelajar aku atau remaja-remaja yang memiliki ijazah dan diploma seperti yang aku fikirkan tadi tetapi masih berada di kaunter-kaunter pusat membeli belah atau jurujual di kedai 'taukeh-taukeh' malah ada yang menjadi baby-sitter! Berkerja yang tidak ada kena mengena langsung dengan 4, 5 tahun belajar di U.
Kadang-kadang aku terfikir kenapa IPT terutama IPTA, tidak melakukan perubahan drastik dengan menawarkan kursus-kursus ijazah sarjana muda yang mana apabila pelajar keluar universiti, telahpun memiliki kemahiran-kemahiran amali bertaraf diploma dan ijazah untuk boleh bekerja dengan kerajaan, swasta mahupun berkerja sendiri. Kenapa kursus kemahiran dan saparuh mahir hanya terdapat di institusi-institusi bukan bertaraf IPTA?
Dalam dunia di mana kerajaan dan swasta bukan lagi lubuk pekerjaan kolar putih maka kursus-kursus seumpama SKM dan DKM wajar dijadikan tawaran utama kepada generasi baru para pelajar. Jika tidak sistem pembelajaran kita menjadi sistem yang membuangkan masa serta membazirkan wang ringgit para pelajar semata-mata. Dan masa depan generasi muda kelihatannya berbalam-balam.
No comments:
Post a Comment