Sunday, January 23, 2011

Rintihan seorang ibu

Semalam selepas aku menyampaikan ceramah kepada pelajar dan ibubapa di sebuah sekolah di daerah Pekan, aku didatangi oleh seorang ibu. Seorang ibu yang tidaklah terlalu tua tetapi tidaklah juga muda, mungkin menghampiri usia 50an. (Gambar sebelah sekadar hiasan, tiada kena mengena denagan kisah ini)

Sambil memimpin seorang anak lelaki aku melihat ibu itu berdiri di belakang para pelajar yang sedang bersalaman dengan aku. Eh dia nak bersalam jugakah? Itulah yang tertanya-tanya dalam fikiranku. Queue semakin pendek, ibu itu semakin mendekati.

Sampai di hadapan aku, ibu itu bersuara, "maaf cikgu saya hendak bertanya sedikit, harap tidak mengganggu!".

Aku lihat wajahnya redup, bersahaja dan kurang ceria. Kelopak matanya kelihatan berair.

"Ya..boleh, silakan puan!" jawab aku tertanya-tanya dalam hati apa masalahnya.

Waktu itu aku dengan beberapa orang guru sekolah itu sahaja lagi yang tinggal dalam dewan itu, yang lain semua telah pun keluar.

Ibu itu bertanya pandangan aku bagaimana hendak dilakukannya kerana dia mempunyai seorang anak lelaki yang masih bersekolah di Tingkatan 4 tetapi sangat malas hendak ke sekolah. Katanya apabila ditegur, dimarahi, anaknya itu akan melawan dengan kasar dan aggresif sehingga menakutkannya.

"Anak saya itu terlalu mengikut kawan cikgu, ayah dia pula buat tak kisah je!", sambungnya.

Sebaik mendengar soalan ibu itu aku termenung sejenak bukan kerana tidak tahu hendak menjawab tetapi konon-konon cuba memikirkan satu jawapan yang jika aku berikan kepada ibu itu, esok masalah anaknya itu selesai! Itulah niat aku!

Ah....mengarut! Aku kecewa kerana aku insaf sebenarnya tiada jawapan yang mampu membuatkan manusia yang seperti anak itu boleh berubah dalam masa satu hari kecuali dengan kehendak Allah SWT. Logik akalnya tiada formula yang mampu mengubah perangai anak ibu itu pada hari esoknya!

Aku memberitahu dan menerangkan kepada ibu itu begitu. Antara pandanganku, perkara kelakuan anaknya itu membabitkan persoalan didikan awal dahulunya yang tidak mantap oleh ayah dan ibu. Dia bersetuju dan mengakuinya dengan ikhlas di hadapan aku dan guru-guru yang ada bersama aku itu.

Namun aku memberitahunya bahawa seorang ibu dan ayah tidak boleh berputus-asa dengan anak-anak. Usaha mendidik dan mengubah perangai negatif anak perlu dilakukan setiap masa dan ketika. Kataku segala-galanya tidak mudah lagi sekarang. Peringkat anak ibu ini sudah sampai keperingkat tegar.

Beberapa cadangan dan panduan telah aku berikan kepada ibu itu. Dia berjanji akan melaksanakannya selepas ini.

Kesimpulan cadangan aku adalah ibu perlu sering mendekati diri kepada Tuhan. Setiap waktu solat malah setiap masa terluang doakan kepada Allah, memohon agar anaknya itu kembali tenang dan lembut hati juga tidak agggresif. Kataku insya Allah doa ibu sangat mustajab. Allah akan makbulkan.

Dia mohon berlalu dengan senyum yang berat sambil mengucapkan terima kasih. Aku pula terus menuju ke kereta sambil berfikir, berjayakah ibu itu dalam keadaan ayah buat tak kisah je dan boleh berubahkah anaknya?


No comments: