Seminggu lagi Aidil Fitri akan tiba. Perjalanan balik raya akan bermula menjelang tiba Aidil Fitri. Ada yang balik dekat, ada yang balik jauh. Ada yang akan berjalan siang dan ramai juga yang akan berjalan malam, tengah malam malah mungkin subuh hari. Pendek kata lebuh raya, jalan raya akan sibuk kerana perjalanan balik raya.
Seorang kawan memberitahu," Raya tahun ini aku balik dekat dulu. Tiga hari raya barulah aku balik jauh sebab aku tak mahu terperangkap dengan kenderaan yang banyak dalam perjalanan".
Saya tak pasti apakah pandangan sahabat saya itu betul kerana biasanya hari raya ketiga kenderaan masih berjujukan di jalan raya. Mungkin akan kurang sedikit tapi masih banyak.
Melihat kepada kesesakan balik raya akan berlaku, sudah sewajarnyalah para pemandu perlu berhati-hati. Sikap gopoh, kalut, dan tidak bertimbang rasa harus dibuang jauh-jauh dalam pemanduan untuk balik raya nanti. Ingat anak, ingat isteri, ingat mak ayah yang menunggu di kampung.
Ramai-ramai anak-anak yang belajar jauh akan balik kampung menggunakan pengangkutan awam seperti bas terutamanya. Diharap pihak PDRM, JPJ dan LPKP dapat memantau perjalalanan pengangkutan awam seperti bas yang menjadi pengangkutan utama dan penting dalam perjalanan balik raya nanti.
Diharap pihak-pihak berkenaan tidak bersikap sudah terhantuk baru tengadah. Hanya bas-bas yang sempurna dan mantap piawai keselamatan patut berada di jalan raya. Hanya pemandu-pemandu yang waras, yang tidak mabuk arak dan dadah dan tidak mengantuk patut memandu bas-bas dalam perjalanan balik raya.
Kita tidak mahu lagi mendengar bas-bas yang mempunyai 15 saman berada di jalanraya. Kita tidak mahu juga mendengar pemandu bas yang mempunyai 20 saman masih memandu bas-bas dalam perjalanan balik raya. Kita tidak mahu lagi mendengar pemandu bas-bas ekpress dan bas-bas tambahan, memandu seorang diri dalam perjalanan jauh.
PDRM, JPJ dan LPKP mesti memantau serius perkara ini kerana yang paling penting penumpang-penumpang yang mahu balik dan pulang dari beraya terjamin selamat. Semoga pisang tidak berbuah banyak kali !!!
No comments:
Post a Comment