Wednesday, September 30, 2009

BANG....BANG.....BAAAANNNGGGG !!

Dua tiga hari kebelakangan ini angin bertiup sungguh luar biasa kuatnya. Lebih kurang pukul 3.45 petang kelmarin iaitu hari Isnin dari bilik saya, kelihatan pokok-pokok hutan belukar yang berhampiran kantin sekolah bergoyang semacam, berputarnya menggila.

Bunyi raungan angin cukup menyeramkan. Bimbang pula saya kalau-kalau atap genting bangunan sekolah terpungkah dan berderai ke bumi. Semua para pelajar yang sedang study petang itu senyap dalam kelas masing-masing.

Dalam perjalanan pulang ke rumah hari itu, banyak daun-daun dan ranting-ranting kayu bersepah di atas jalanraya. Ada papan tanda bengkel terkuak ke atas bumbung. Garaj kereta penyek ditimpa pokok kelapa tumbang.

Manakala malam tadi lebih kurang pukul 9.30, sewaktu pulang dari surau sekolah, saya terkejut kerana berhampiran persimpangan ke Muadzam Shah terlalu banyak treler panjang dan tanker, berjujukan ke arah Kuala Rompin. Saya sangkakan berlaku pergaduhan antara pemandu tanker dengan pemandu treler, tak terfikir pulak saya akan adanya road block. Keadaan susunan lori-lori panjang itu agak kelam kabut di tepi jalan, tengah jalan, atas garisan putih tidak semacam adanya sekatan jalan raya.

Saya terus memandu kelisa saya ke hadapan, dicelah-celah lori-lori panjang . Sampai di hadapan saya bertanya seorang pemuda di tepi jalan, apa yang berlaku?

"Pokok besar tumbang bang", kata pemuda itu, yang kemudian memberitahu saya laluan alternatif yang hanya boleh dilalui kenderaan kecil.

Sewaktu melalui laluan alternatif sempat saya menoleh ke jalan raya...hah engkau, pokok besar yang rimbun itu terpungkah dan tumbang betul-betul melintang jalan. Menimpa pula tiang elektrik yang mengakibatkan gelap gulita kawasan kampung Leban Chondong dan sekitarnya . Katanya pukul 2 pagi baru pulih bekalan elekrik.

Semasa memandu pulang itu, saya terfikir, kalau pokok sebesar itu boleh terpungkah dan tumbang, memang kuat angin bertiup. Mungkin angin itu berpusar agaknya ?

Mengenangkan angin berpusar ini, saya pernah berpengalaman menghadapi situasi yang menggerunkan. Beberapa tahun dulu, PPD pernah menganjurkan Kem Bahasa Inggeris Peringkat Daerah di sebuah tempat yang memang sesuai untuk aktiviti luar iaitu Weekendo Kem.

Sewaktu pendaftaran peserta pada pukul dua petang itu, keadaan cuaca agak gelap dan hujan mulai turun dengan sekali sekala kedengaran bunyi guruh dan petir. Di udara di permukaan Laut Cina Selatan, saya dan mereka yang lain dapat melihat pancaran kilat dan panahan petir sambar menyambar. Kelihatan memang cantik!

Lebih kurang pukul lima, keadaan semakin gelap, hujan semakin lebat, angin semakin kencang, kilat dan petir sambar menyambar. Yang paling menggerunkan bunyi petir, dan kilat di hadapan mata, masya Allah menakutkan! Waktu itu ada peserta perempuan telah di tempatkan di chalet masing-masing dan peserta lelaki di dorm dan juga sebahagian masih di tempat pendaftaran iaitu surau. Ramai jugalah di situ. Saya selaku Kem Komanden mengawal keadaan agar para peserta bertenang terutama para pelajar di dalam chalet dan dorm.

Sewaktu melakukan tugas-tugas kami, di tempat pendaftaran yang terbuka itu (surau), kami dapat melihat satu gumpalan angin kehitaman bergerak sepanjang persisir pantai menuju ke arah tempat kami berlindung dan ber-kem itu. Semua orang melihat dan terdiam. Pusaran angin yang agak besar itu semakin menghampiri, menuju betul-betul ke arah kami. Semua sampah sarap dan ranting-ranting kayu kelihatan berterbangan. Semua yang ada di situ bergerak mencari perlindungan dalam bangunan itu. Melihat keadaan yang mencemaskan itu saya terdengar suara dari bahagian dapur, "Bang...Bang...Bannnggg!!".

Mengadap pusaran angin, Rahman seorang askar pencen yang bekerja di situ, azan sekuat hati. Melihat Rahman azan, saya berlari sebelah Rahman dan saya pun azan juga sekuat hati. Sambil azan, saya melihat pusaran angin yang besarnya lebih kurang separuh gelangang badminton itu tidak mahu berhenti dan terus menghala betul-betul ke arah kami.

Lebih kurang 20 kaki pusaran angin itu dari kami, tiba-tiba Rahman melompat masuk ke ruang dalam yang agak terlindung. Melihat Rahman melompat lari, saya menjadi panik dan rasa sangat takut kerana seorang diri terpacak di situ. Tak cekak saya ..... melompat meluru ikut si Rahman.

Azan saya tak habis, terputus di situ....spontan sambung semula di tempat saya berlindung .

Dalam keadaan angin yang menggila itu kami cukup cemas, tidak boleh buat apa-apa lagi, kami hanya menyerah kepada Allah Yang Maha Besar. Seolah-olah menunggu apakah yang akan berlaku selepas itu.

Masya Allah...putaran angin itu tidak melanggar tempat kami berlindung itu, sebaliknya dia mengelak dan menghentam tumbang sebatang pokok ru yang sangat besar di bahagian belakang. Sekali lagi kami bernasib baik kerana pokok Ru itu tidak menimpa tempat di mana kami lebih kurang 20 orang berada.

Selepas pusaran angin itu berlalu, kilat petir terus sambar menyambar, sungguh menggila dan mengerikan. Hujan terus lebat. Angin terus kuat. Saya mengambil keputusan turun dari situ berlari ke arah chalet untuk memastikan semua peserta perempuan selamat dan kemudian berlari pula ke dorm tempat di mana peserta lelaki di tempatkan. Sewaktu saya menuju ke arah dorm sempat saya mendongak melihat pokok ru di hadapan saya berapi di puncaknya.

Saya arah semua peserta yang ada di dalam dorm itu azan sekuat hati kerana pergerakan pokok-pokok Ru yang besar-besar di sekeliling kami menggila. Pokok-pokok tersebut tidak lagi bergoyang di bahagian pucuk malah boleh nampak bergerak-gerak di bahagian pangkal. Dalam dorm itu saya sempat melihat peserta-peserta berbangsa Cina juga memekap tangan ke telinga. ikut sama peserta-peserta Islam azan. Masya Allah, fitrahnya manusia tetap memerlukan Allah Tuhan yang menjadikannya.

Dalam keadaan tak tahu hendak buat apa lagi, saya berlari pula ke arah pantai diikuti oleh Rahman. Kami azan sekuat hati di situ. Sambil azan saya memohon kepada Allah agar keadaan kembali tenang.

Alhamdulillah, setengah jam selepas itu keadaan cuaca tidak aggresif lagi. Dalam keadaan semakin tenang itu, saya melihat keadaan hiruk pikuk di kem itu, tiba-tiba saya rasa sungguh sayu. Saya masuk seketika ke kereta saya, menitis airmata saya mengenangkan kehebatan dan kebesaran Allah SWT. Allah menyelamatkan kami dari satu bencana alam yang cukup mengerikan bagi saya. Terfikir saya kalau kejadian itu cukup mengerikan saya, kiamat nanti bagaimana ? Allahu Akbar!

Lebih kurang pukul 6.30 petang pihak Ketua Polis Daerah memaklumkan bahawa kami telah dikategorikan sebagai mangsa bencana alam. Kem itu dibatalkan dan semua kami diangkut oleh trak-trak dan land rover polis ke Balai Polis Rompin. Yang berkereta, berkereta ke Balai Polis.

Setelah selesai urusan di Balai Polis kami diserahkan kepada pihak PPD Rompin dan kami diangkut pula untuk berkumpul di PPD Rompin. Di sini saya selaku Kem Komandan bersama Penolong dan AJK Kem menguruskan pelepasan peserta-peserta, yang diambil oleh guru-guru, gurubesar dan ibubapa masing untuk dibawa pulang.

Malam itu kami tidak boleh balik lagi kerana ada empat orang peserta tidak diambil. Kami terpaksa bermalam bersama peserta tersebut di SK Rompin. Besok pagi setelah semuanya selesai barulah saya dan kawan-kawan yang bertugas, pulang.

Sesungguhnya kejadian ini, satu pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan.

Bertambah terbayang saya peristiwa ini bila melihat angin yang terlalu kuat sehari dua ini dan kejadian Tsunami yang berlaku lagi, kali ini di Samoa.

Allahu Akbar !!!

6 comments:

myhas said...

Maha Besar Allah. Maha Kuasa Allah. Segala takdir kita ditanganNya. Allah tidak memberi kepada yang tidak mampu menerimanya. Bersyukurlah kerana diselamatkan. Berdoalah agar kita sentiasa dilindungi dari kemurkaanNya. Minta ampunlah sentiasa agar kita berada dalam keberkatanNya.

sazili said...

Myhas,

Benar tuan, peritiwa itu banyak memberi pengajaran kepada saya tentang kekuasaan Allah Yang Maha Besar.Seabab itulah selepas keadaan tenang saya termenung dan terasa sungguh sayu sehingga menitis airmata.

Hari kiamat pasti lebih hebat dari peristiwa itu tetapi peristiwa itu sudah cukup menggerunkan saya. Bagaimanalah pula mereka yang menerima bahana gempa bumi di Padang dan Tsunami di Samoa serta taufan di Vietnam ?

Semoga Allah memberi keampunan kepada saya.

Anonymous said...

masya Allah..
kun fayakun Allah kta
(faiz omar)

kiza said...

Tiba-tiba terasa sayu dan hiba bila baca kisah sir... terasa kedilnya diri ini.. banyaknya dosa... apakah akan selamat di sana nanti!!!!!

Kerana... said...

Allahhuakbar!

Peristiwa yang diceritakan itu banya memberi pengajaran dan iktibar.

Tentang bencana alam dn mala petaka: Banyak pendapat yang saya baca, antaranya:

1. kerana kemurkaan Alla
2. kerana ketamakan manusia.
3. kerana keserakan nafsu manusia.
4. Kerana kerosakan alam
5. Kerana rasuah
6. Kerana tidak mengikut panduan agama.
7. Kerana perubahan cuaca
8. Kerana pendurhakaan
9. Kerana kerosakan iman
10. Kerana banyak hutang
11. kerana pergaduhan sesama an dan caci cerca.

Banyak lagilah...

sazili said...

Faiz, Kiza dan Kerana,

Sesungguhnya, Maha Berkuasanya Allah telah terlihat di mana-mana bagi manusia yang berfikir. Tsunami di Samoa, Gempa bumi di Padang, Taufan Ketsana di Vietnam n Filipina.

Tetapi bagi mereka yang tidak berfikir,hidup mereka masih melupai Tuhan mereka yang Maha Berkuasa dan Maha Menguasai, rasuah berleluasa, maksiat bersepah, SIS masih sibuk menentang hukuman syariah dan macam-macam lagi perangai manusia yang bagaikan sakit jiwa !!