Friday, November 13, 2009

Bila kita mengajar pastikan pelajar belajar !

Sewaktu saya selesai berceramah di sebuah sekolah di awal tahun 2009 dahulu, di waktu makan tengahari bersama YDP PIBG dan guru besar, seorang guru sekolah itu dengan spontan menghampiri saya. Dia ambil kerusi, duduk berhampiran saya dan sambil memohon maaf dan memohon izin untuk bertanya soalan.

Sebenarnya waktu itu saya hampir selesai makan. Oleh kerana saya penceramah jemputan maka agaknya telah timbul minat guru tersebut bertanya soalan kepada saya tetapi di luar waktu ceramah, waktu makan. Mungkin itulah waktu yang selesa kepadanya. Saya tak kisah pun.

Soalannya, " Cikgu, macam mana kita hendak mengajar dengan berkesan kepada pelajar-pelajar kita?".

Wah... itulah soalannya! Saya hadir ke situ memberi ceramah keibubapaan bukan memberi kursus latihan dalam perkhidmatan, pengajaran dan pembelajaran. Tapi tak apa, saya yang sudah mengajar selama 25 tahun dari Tahun satu sampai Tahun enam, Tingkatan satu hingga ke Tingkatan 6, saya akan cuba memberi pandangan saya yang terbaik kepada cikgu ini.

YDP dan guru besar yang dari tadi berbual dengan saya memandang guru tersebut dan kemudian memandang kepada saya, agaknya menunggu jawapan.

"Untuk mengajar dengan berkesan, kita kena pastikan pelajar kita itu hendak belajar", jawapan saya spontan.

"Maksudnya cikgu?." tanya dia macam tak faham.

Saya bagi tahu kepada guru tersebut bahawa pada masa ini ada ramai guru-guru menganggap diri mereka semata-mata kakitangan kerajaan yang makan gaji. Datang pada waktu sekian balik pada waktu sekian. Mereka tidak merasai diri mereka adalah pendidik, pendakwah dan mungkin bagaikan ibubapa kepada para pelajar.

Saya kata begitu kerana sepanjang saya ke sekolah orang, mahupun di sekolah sendiri, serta melalui perbincangan dengan kawan-kawan, ada ramai guru-guru masuk kelas dalam keadaan tidak peka apa satu pun kecuali, "okay buat latihan ini". Mereka masuk kelas dalam keadaan tidak ada emosi kecuali emosi marah dan emosi "lantak ngko lah".

Saya bagi tahu guru tersebut, seorang guru yang baik pada pandangan saya, apabila dia masuk kelas dia akan memastikan sikap pelajarnya terhadap pelajaran adalah betul. Mudah sahaja. Sikap pelajar ialah sikap hendak belajar.

Sikap mahu belajar mesti diorganisedkan oleh guru, dibentuk oleh guru, didisiplinkan oleh guru. Jika sikap yang betul terhadap pelajaran ini tidak ada pada pelajar-pelajar yang ada dihadapan guru, apakah pengajaran mampu mencetuskan pembelajaran yang berkesan?

Dalam situasi hari ini, apakah tidak ramai guru mengajar pelajar-pelajar yang tidak mahu belajar?

Masuk kelas terus mengajar tanpa mengambil kira bagaimana keadaan pelajar pada waktu itu, kelas bersepah, pelajar ada yang duduk, ada yang berdiri, ada yang berjalan, ada yang bercakap, ada yang tidur, ada yang main pensel, ada yang main pen 'ketuk-ketak'. Ada yang tulis cakar ayam, ada yang garis bengkok, ada yang padam kotor, ada yang tulis a jadi u, tulis k jadi r, ada yang baju keluar, duduk membongkok, menungkat dagu, susunan kerusi meja bengkang-bengkuk. Cikgu terus mengajar macam robot tidak ada perasaan, walaupun jelas nampak pelajar bersembang dan tidak fokus, macam-macam hal di hadapan mata.

Dulu-dulu saya pernah bertanya seorang guru yang mengajar dalam situasi begitu, apakah perasaan dia ? Jawapan dia cukup menyedihkan saya, "Ah lantak je, dia nak belajar, belajar, tak nak belajar sudah, puas dah aku menegur".

'Puas dah menegur' bukan sikap seorang pendidik tetapi mungkin sikap seorang yang makan gaji.

Dalam mentaliti guru-guru yang tidak peka ini, itu semua urusan guru kelas, bukan urusan aku! Maka begitu mudah guru-guru menyumbang kepada pembentukan pelajar-pelajar yang tidak berdispilin dan pelajar yang tidak mempunyai sikap belajar yang betul. Maka tidak peliklah kita apa kesudahannya pelajar-pelajar seperti ini akibat dari guru-guru seperti itu.

Baru-baru ini saya menerima panggilan telefon dari guru yang pernah bertanya soalan kepada saya sewaktu berceramah di sekolahnya.

"Cikgu Sazili, terima kasih banyak-banyak. Saya cukup puas hati dengan prinsip yang cikgu berikan, "kalau kita mengajar pastikan pelajar kita belajar". Menjadi cikgu. Semua pelajar kelas saya senang diajar kerana mereka mempunyai sikap mahu belajar dan berdisiplin", kata cikgu tersebut yang tidak teringat saya akan rupanya lagi.

Termenung saya seketika, besar rupanya kesan pandangan saya kepada keberkesanan pengajaran dan sikap cikgu itu. Syukur....pengalaman dan jiwa guru mengajar segala-galanya!

3 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum,lama tak jengok blog Pak Su ni.Kome mintak maaflah kalau apa yangkome tulis ni mengguris hati tapi kome kena bagi tau jugak kat Pak Su.Kome pun tak ingat lak tapi masih mencari buku peraturan sekolah Pak Su.Bukan apa,nak tengok cth baju murid perempuan untuk tahun depan.Kome tak sanggup dengar ada anak murid yang kena ikat hujung lengan baju sebab tak pakai baju lengan cekak.Ni la kome rasa bila cikgu tak ada jiwa mendidik.Pandang murid macam pandang musuh.Bila di komen salah kira markah pun tak nak baiki.Murid ni bukan apa,kadang kala nak orang ambil perhatian je.Kalau betul salah kita ,apalah salah kalau kita mengaku.Nak gi jumpa Pak Su,nanti dikatakan mengada-ngada pulak.Kome memang tabik la kat Pak Su.Ada banyak ilmu Pak Su yang kome guna bila mengajar ni.Harap pak Su dapat jengok-jengok la kaum kerabat sekolah Pak Su.Nasihat la apa yang patut.Biar mereka ada jiwa nak mendidik bukan menghukum aje.Terima kasih.

sazili said...

Anony8:44pm,
Memang pakaian pelajar perempuan sekolah ini, lengan bajunya bercekak. Tujuannya adalah untuk kebaikan. Soal ada pelajar yang diminta ikat lengan baju itu, akan saa siasat nanti, bagaiman diperlakukan, apa rasionalnya, lama mana dan mungkin dalam keadaan yang bagaimana. Insya Allah!

Soal kiraan markah salah, tak nak diperbetulkan sesudah dberitahu, itu memang tak patutlah. Walau bagaimanapun insya Allah saya akan siasat dalm keadaan bagaimana dan mengapa itu semua berlaku.

Nak jumpa saya jika ada keperluan bagi berbincang hal anak-anak tidak menjadi masalah. Bila-bila masa boleh datang. Kehadiran penjaga ke sekolah sentiasa dialu-alukan.Tak timbul soal mengada-ngada tu kerana sayapun tidak boleh terima aduan bulat-bulat dan tidak boleh tolak aduan tanpa membuat penyiasatan.

Anonymous said...

terima kasih Pak Su.Insyaallah, tak lah pening kepala kome cari buku tu.Senang sikit cuti ni boleh tempah baju mengikut apa yang Pak Su cakap tu.Walau apa pun kome bangga dengan apa yang Pak Su buat.Jangan kecik hati pula.Kome cuma luahkan apa yang terbuku di hati,bukan juga dengar aduan anak-anak cuma beri perhatian aje.Nak datang jumpa kena tunggu cuti la.Kome ni duduk jauh.Terima kasih.