Thursday, November 26, 2009

Kita masih jauh atau semakin jauh ?

Membaca. Semua maklum bahawa membaca merupakan aktiviti yang sangat penting dalam menambah ilmu pengetahuan dan mencambahkan idea manusia. Melalui pembacaan yang banyak dan meluas, otak menjadi aktif berfikir untuk memberi pengalaman hidup dan melahirkan idea yang bernas, berilmu, inovatif dan kreatif.

Untuk itu semua, pembaca itu mestilah pembaca yang membaca semua bahan bacaan dengan bahan bacaan utama ialah bahan bacaan yang berkualiti ilmunya.

Ahad lalu saya berpeluang menaiki bas dari Puduraya ke Kuala Rompin. Sewaktu menunggu bas saya melihat dua orang "mat dan mek salleh" tekun membaca buku. Saya kira novel, agak tebal juga. Dalam keadaan orang hiruk pikuk di platform itu mereka berdua kelihatan tenang dan penuh minat membaca buku.

Saya bukan tidak biasa melihat perkara yang seperti ini namun keadaan 2 orang pembaca dari barat itu membuat saya melilau melihat sekeliling, adakah orang lain lagi yang membaca? Ada. Di sebelah belakang saya. Saya bangun untuk meninjau apakah yang dibaca oleh dua orang remaja Melayu di belakang saya.

Dari jauh saya melihat dua orang itu membaca majalah hiburan yang kelihatan gambar besar artis sedang berposing lelaki dan perempuan. Apa yang dibaca di muka surat yang penuh gambar itu saya tidak pasti. Di sebelah bangku saya kelihatan seorang yang agak dewasa sedang membaca Berita Minggu. Ada beberapa orang remaja lagi di sekitar saya bergoyang kaki sambil mendengar MP3 agaknya. Yang lain ramainya melihat perangai dan gelagat manusia yang berbagai-bagai, macam saya !

Fikir saya, nampaknya sudah menghampiri tahun 2010, bangsa aku masih asing dengan bahan bacaan apatah lagi bahan bacaan ilmiah atau sastra. Banyak masa yang terluang dipenuhi dengan termenung, berborak kosong, lepak-lepak, main dam, bergelak ketawa dan menonton tv.

Terlalu rindu melihat masyarakat bangsa mencandui buku-buku demi ilmu Tuhan yang melimpah-ruah.

Saya bertanya dengan seorang pemuda Melayu di sebelah saya, " Adik, adik pernah baca majalah ini ?". Saya menunjukkan majalah Dewan Masyarakat. " Tak...!".

Saya mengulurkan majalah kepada dia. Dia mengambil dan membelek sepintas lalu.

Sambil menghulur kembali kepada saya , dia berkata, " Beratlah bang...entah apa-apa cerita dia...tak faham !".

Saya terus bangun dan bersalam dengan dia kerana bas ke destinasi saya telah diumumkan akan bertolak bila-bila masa.

Kita masih jauh atau semakin jauh !?

4 comments:

Muz said...

dua-dua.

sazili said...

Muz Yakuza,

Sekali sekali muncul juga ya. Ingat dah belayar !

Roslan Ismail said...

Orang kita asyik tengok tv..bercinta..layan hanset..mcm2. Semua benda yang melalaikan. Xtaulah cane saya nak didik anak saya nanti.

sazili said...

Lan,

Didik berasaskan ajaran Islam...insya Allah anak kita akan mampu menghadapi dan menyerap cabaran.