Tuesday, September 30, 2008

Dulu-dulu di ambang aidil fitri....

Dulu-dulu, dua tiga hari sebelum aidil fitri mak dan ayah mula bermesyuarat di atas lambo (beranda) rumah untuk memutuskan ayam mana yang hendak dikorbankan. Biasanya perbincangan mak dan ayah cukup ringkas dan cepat. Kadang-kadang sekali cadang, kedua-dua sudah bersetuju. Mereka tidak kira siapa yang mencadang dahulu, ayah atau mak, sapa-sapa pun boleh. Sungguh tulus dan spontan perbincangan mereka.

"Awak sembelih je ayam bapak tu, asyik nak naik atas rumah je !"
"Rasanya baik ayam betina yang warna hitam tu, lama dah tak bertelur"
"Pilihlah ayam yang besar sikit manalah tahu takut-takut ada "ular lipan" datang...."
Begitulah antara perbincangan mereka. Dengan perbincangan seperti itu ayah mula meninjau ke dalam reban dan hari ini sehari sebelum aidil fitri sama ada ayah suruh anak-anak dia yang tangkap atau dia yang tangkap sendiri. Sesekor atau dua ekor ayam akan dikorbankan.

Mak di dapur sudah mula siap panaskan air untuk mencelur ayam-ayam tersebut dengan tujuan memudahkan kerja-kerja mencabut bulu-bulu ayam. Prosesnya agak lambat tetapi cukup teliti dan pasti suci. Anak-anak dara jarang nak buat kerja-kerja begini, biasanya golongan yang dah berusia yang melakukannya. Selalu juga ayah yang buat sendiri.

Kerja-kerja persiapan raya dulu-dulu memang lambat. Nak rebus ketupat lama, bakar lemang pun lama, kacau dodol atau wajik, mak tuan berpeluh ketiak, nak bungkus ketupat pulut atau ketupat palas bukan senang. Kalau isteri saya (orang johor) yang bungkus, mesti mak mentua dia buka balik. Begitu cerewet orang dulu-dulu dengan kerja tangan mereka. "Workmanship" cukup dijaga.

Dulu-dulu kalau nak gosok (iron) baju raya pun boleh tahan mengambil masa. Mula-mula kena pastikan ada arang atau tidak. Kalau ada, kena bakar arang dulu. Apabila arang sudah membara mulalah dialihkan arang-arang itu ke dalam setarika yang cukup antik bentuknya. Sebelum hendak menggosok baju, kena tunggu dulu. Biarkan seterika itu panas.

Satu lagi kerja dulu-dulu yang paling saya tidak suka iaitu hendak menyalakan dapur kayu. Kayu api mesti kering. Kalau basah tak boleh. Stok kayu api kering mesti ada kat bawah rumah. Hendak menyalakan api untuk menjadikan bara cukup saya tak pandai. Api kena tiup supaya api boleh makan kayu-kayu kering tersebut. Kat tepi dapur mesti ada corong buluh yang ayah buat untuk tiup api. Yang menjadi masalah bila saya tiup, api mesti padam. Itulah kelemahan saya yang menyebabkan mak mula mengitap dan bersuara " tepi...tepi... tepi !!!"
Itulah secebis nostalgia kehidupan dulu-dulu. Untuk menjayakan semua itu memerlukan minda yang santai tetapi cekal. Sebuah kehidupan survival yang penuh persediaan dan perancangan. Hari ini bagaimana ? Jom kita ke pasar berebut ayam dan daging, esok hari raya ! Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Batin.

No comments: