Friday, September 26, 2008

Dah banyaaak berubah....

Semasa saya zaman kanak-kanak dulu, saya sering melihat ayah mula sibuk masuk ke belukar atau hutan belakang rumah, apabila menjelang aidil fitri. Sambil menyisip parang di pinggang ayah akan menyusun langkah ke belakang rumah kami. Ada ketika saya bertanya, ayah hendak ke mana dan buat apa ?

Semasa mood ayah baik, ayah akan mengajak saya ikut sekali. Kalau tidak jangan harap. Ayah hendak pergi cari daun palas. Itulah jawapan ayah. Bila sebut daun palas, saya tahulah apa tujuannya. Ini mesti mak saya hendak buat ketupat pulut. Kadang-kadang ayah memberitahu, ayah hendak pergi tebang buluh. Inipun saya tahu apa tujuannya. Mesti nak buat lemang.

Di waktu lain pula, ayah akan bagitahu bahawa dia hendak pergi panjat pokok kelapa. Ini pun saya dah boleh agak. Tentu nak pergi ambil pucuk daun kelapa untuk buat ketupat nasi.

Begitulah senario dahulu, dua tiga hari sebelum aidil fitri ayah-ayah akan sibuk ke belukar atau masuk hutan mencari "prasarana" tradisional berhari raya.

Kini ayah sudah tiada. Mak pun sudah tiada. Yang paling ketara bukan ayah dan mak sahaja sudah tiada, malah hutan dan belukar di belakang rumahpun dah tiada. Kalau dulu, dua tiga langkah dah boleh sampai ke belukar dan hutan. Tapi hari ini kalau saya hendak ke belukar saya terpaksa memandu kereta berkilometer jugalah untuk mencari "prasarana" hari raya yang saya maksudkan.

Dah banyaak berubah.... Petang tadi saya ke sebuah gedung beli belah. Mak tuan ramainya orang! Sambil menolak troli dan mengekori isteri membeli, saya agak 'ralit' memerhati dan memikir. Hari ini dah tak payah masuk hutan lagi dah. Hendak buat ketupat pulut, beli saja daun palas (agak mahal harganya- dulu tak berharga langsung). Hendak buat ketupat nasi, tak payah panjat pokok kelapa beli je kat gedung tersebut. Hendak makan lemang, bersepah lemang segera.

Waktu inilah saya teringatkan zaman ayah. Nak buat ketupat pulut, lemang dan ketupat nasi ayah akan ke belukar atau masuk hutan bertemankan sebilah parang tajam!. Zaman kini, nak itu semua, berduyun-duyun turun ke bandar bertemankan ringgit-ringgit malaysia !
Itulah perubahan yang kita kena terima berdasarkan realiti kehidupan dan persekitaran kita hari ini. Menimbulkan tanda tanya, apakah perubahan suasana kehidupan ini akan juga mengubah jati diri kita ? Apakah nanti ketupat nasi, ketupat pulut, lemang dan seumpamanya tidak akan menjadi dominasi kita lagi. Dominasi siapakah kelihatannya !?

No comments: