Ada seseorang bertanya saya, tidak pasti pelajar atau bukan, tapi gelaran yang dipakai ialah Luna. Luna bertanya apakah susah belajar di Tingkatan Enam Sains berbanding di Matrikulasi? Untuk menjawab persoalan itu saya berpendapat sesuai untuk saya menulisnya sebagai entri baru.
Saya tidak berhasrat untuk menimbulkan polimik di sini. Cuma sekadar mahu menyatakan pandangan yang termampu.
Bagi saya yang pernah mengharungi pahit getir belajar, susah atau senang adalah perkara yang subjektif. Ianya sangat bergantung kepada individu. Bagi individu ini mungkin terasa susah tetapi bagi individu itu sebenarnya senang. Pendirian begitu kerana biasanya kita adalah kita, hasil daripada pengalaman masa lalu yang pernah kita tempuhi dan inilah yang menjadikan sikap peribadi kita sekarang, sering mengambil kira susah atau senang!
Bagi saya, senang - tidak semestinya mudah berjaya, dan susah - bukan bermakna susah berjaya. Pokoknya bagaimana kita menghadapi cabaran dan rintangan pembelajaran yang kita terpaksa tempuhi. Mana persediaan dan perancangan kita? Mana iltizam dan keazaman kita? Mana disiplin dan fokus kita? Mana pengurusan masa dan dan kesungguhan kita? Semua itu menentukan kejayaan kita, bukan susah atau senang yang berselirat di sekeliling kehidupan kita, yang terpaksa kita hadapi.
Jika saya katakan, Tingkatan Enam aliran sains lebih susah daripada Matrikulasi, ianya tidak bermakna itu adalah jalan yang sukar untuk mencapai kejayaan. Jika pula saya memberitahu bahawa Matrikulasi itu mudah, ianya tidak bermakna Matrikulasi adalah jangan mudah untuk mencapai kejayaan masa depan!
Sesuatu yang bernilai dan berharga memang sukar untuk diperolehi, melainkan melalui usaha dan perjuangan yang benar-benar mantap yang mesti dilakukan. Memahami hakikat itu, kita pasti akan memperolehi kejayaan dan kecemerlangan dalam mengejar impian hidup kita. Perpatah Melayu ada mengatakan, "Kalau tidak sanggup dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai".
Fitrahnya semua kita boleh berjaya. Selamat berjuang dan semoga Luna terus cemerlang!
3 comments:
terima kasih cikgu sazili.
input cikgu sangat berguna :)
sama-sama luna
huuhu saya dapat tawaran bidang sains untuk form6, tapi saya tukar bidang pergi ke sastera..saya rasa rugi sangat2..rasanya boleh pindah balik ke bidang yang lama tak ?
Post a Comment