Saturday, February 26, 2011

Tak usah menyerah kalah kepada masalah


Apabila kita mengalami masalah, kita mesti berfikir dengan sikap positif bahawa kita akan dapat selesaikan masalah itu. Sikap positif adalah asas ‘keyakinan bertahan’ iaitu sikap milik individu-individu yang tidak mudah dikalahkan.

Mereka adalah orang-orang yang percaya mereka tidak akan hancur oleh masalah ataupun kesukaran dan kesulitan. Mereka berfikir dengan rasional bagi memahami masalah yang mereka alami dan mereka mencipta pelbagai cara dan kemungkinan menyelesaikannya, lalu mereka cuba satu, satu, cara itu sehingga akhirnya mereka menemui kunci penyelesaian. Semua masalah ada kunci penyelesaian, selalu ada, asal sahaja kita tidak panik dan cepat menyerah.

Di sekeliling kita ada individu-individu yang hancur kerana masalah dan kesukaran. Sebahagian mereka mungkin terdiri daripada orang-orang yang rapat dengan kita. Mereka mempunyai cita-cita dan matlamat hidup. Mereka belajar…mereka berkerja…mereka berusaha…mereka berfikir…mereka berjuang…mereka juga berdoa. Tetapi disebabkan jalan yang mereka terpaksa tempuhi dirasai terlalu sukar, mereka berasa letih, jenuh, bosan, lalu mereka berputus asa, akhirnya mereka berhenti melakukannya. Mereka menyerah kalah.

Bayangkan jika mereka tidak berhenti berusaha, sebaliknya teruskan berusaha sedikit sahaja lagi, dan terus tekun lama sedikit lagi, di depan sudah tidak jauh, ada kejayaan yang menunggu.

No comments: