Friday, October 17, 2008

Tabiat gelar menggelar

Sebaik sampai di sekolah dan masuk ke bilik untuk memulakan tugas, serta merta datang empat orang pelajar perempuan Tingkatan Satu membuat temujanji untuk berjumpa. Oleh kerana waktu itu saya belum ada kelas, saya minta pelajar-pelajar tersebut masuk untuk mengadu hal mereka.

Awal-awal pagi saya telah dihadapkan dengan masalah gelar menggelar. Bagi kita setengah-setengah orang dewasa hal ini kelihatan kecil dan remeh tetapi bagi pelajar-pelajar ini, hal ini nampaknya begitu besar. Kata salah seorang daripada mereka, kalau tak tahan sabar boleh berperang kami dengan budak-budak itu.

Ada yang digelar "ayam". Ada yang digelar "seladang", ada yang digelar "hidung kemek" dan ada yang digelar "rejam". Mereka ini tidak tahu kenapa mereka digelar sedemikian oleh segelintir kawan-kawan yang nakal.

Pada mulanya saya cuba menggunakan pendekatan memujuk agar mereka mempunyai ketahanan menerima atau jangan layan dengan gelar seperti itu. Tapi mereka kelihatan tidak puas hati. Saya kata, awak digelar "ayam" mungkin kerana awak berkelakuan macam ayam hendak bertelur kot? Dengan geram pelajar berkenaan menafikan. Saya bagi tahu yang digelar hidung "kemek" tu, "... tak usahlah terasa sangat sebab bukan awak seorang yang hidung kemek , hidung saya pun kemek juga." Tak puas hati juga pelajar yang digelar hidung kemek. Saya bertanya pula kepada yang seorang lagi kenapa dia digelar "seladang". Dengan spontan budak itu menjawab. " entahlah....saya macam seladang kot". Saya hanya tergelak kecil mendengar jawapan begitu.

Itulah keadaannya di sekolah-sekolah, gelar-menggelar ini merupakan kegiatan yang begitu kerap berlaku. Macam-macam gelaran yang diberikan sesama mereka seperti negro, siamang, gendut, toye, labu, jeruk, keding, puti'k, gedik, anak ayam, hangus, dan berbagai-bagai lagi. Gelar menggelar ini nampak kecil, tapi kadang-kadang mampu mencetuskan masalah disiplin lain yang lebih besar. Pernah berlaku kerana gelar menggelar ini, ibubapa datang ke asrama dan ke sekolah untuk memberi amaran keras kepada pelajar-pelajar yang menggelar anak-anak mereka. Sebab itu saya sentiasa mengambil serius masalah ini walaupun kadang-kadang kelihatan seperti membuang masa.

Selepas mengambil kenyataan bertulis pelajar-pelajar yang membuat aduan, selang satu jam saya memanggil pula kumpulan pelajar lelaki tingkatan satu yang menggelar itu.

Tanpa mengetahui kenapa saya memanggil mereka, apabila mereka masuk ke bilik saya, saya mula memanggil mereka dengan nama gelaran juga, yang saya reka sendiri seperti lembu, siamang, tikus mundok dan badak air. Apabila dipanggil dengan panggilan itu mereka kelihatan tercengang melihat saya.

Saya tanya , " Kenapa? Apa masalahnya?".

" Saya bukan tikus mundok, sir", jawab salah seorang lelaki yang agak gempal seperti kecewa.

" Saja saya hendak panggil awak tikus mundok, tak boleh ke ? ", pinta saya.

" Mana boleh, sir, malulah saya."

" Kenapa awak malu ?," tanya saya.

"Menghina tu sir" jawab salah seorang. Saya juga mendapat jawapan yang hampir serupa dari pelajar-pelajar yang lain yang sedang berada dihadapan saya. Memang mereka kelihatan benar tidak selesa kerana sepanjang mereka berada di bilik saya, saya panggil mereka dengan gelaran seperti di atas.

Kesempatan ini saya gunakan untuk merasionalkan kepada mereka akan perbuatan mereka, adalah sangat melukakan hati dan menghina kawan-kawan yang digelar. Saya katakan kepada mereka, apa yang mereka rasa sekarang itulah yang dirasai oleh orang yang mereka gelar. Saya tanya mereka apakah kamu sanggup dihina seperti itu, semua mereka menjawab tidak. Saya katakan, jika kamu tidak mahu dihina, apakah adil kamu menghina orang lain dan merasai apa yang kamu sama sekali tidak sangup rasai? Saya katakan lagi, jika orang lain boleh dihina, siapakah kamu ini sehingga tidak boleh dihina seperti orang yang kamu hina ? Semua mereka tunduk dan diam.

Saya bertanya mereka jika mereka tidak rasai apa-apa dengan gelaran yang saya panggilkan kepada mereka, saya akan umumkan di perhimpunan gelaran baru untuk mereka dan meminta semua pelajar-pelajar sekolah ini memanggil mereka dengan gelaran seperti tu. Semua mereka terkejut kerana mereka tahu saya adalah seorang guru yang dikenali semua pelajar, akan buat apa yang saya kata.

Semua mereka merayu kepada saya jangan berbuat demikian kerana mereka akan rasa malu. Akhirnya, saya juga meminta mereka membuat akujanji jangan memalukan orang lain jika diri mereka sendiri tidak mahu dimalukan dengan gelaran yang buruk dan dirasai hina oleh orang yang digelar. Mereka semuanya berjanji dan menandatangani aku janji.

Sebelum mereka keluar dari bilik, saya mensihati mereka, meminta maaf kepada pelajar yang digelar dan mereka bersetuju. Merekan bersalam sambil mencium tangan saya dan terus pulang kelas masing-masing. Saya berharap perkara ini akan selesai namun saya akan terus memantau dari jauh.

Demikian antara tugas yang terpaksa dihadapi oleh guru-guru seperti saya. Tidak kira tahap masalah dan kerenah, ia menuntut satu penyelesaian yang praktikal, ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Namun persoalan terus berlegar-legar dalam pemikiran saya, mengapa wujud tabiat suka menggelar? Apakah gelar menggelar ini wujud dalam masyarakat manusia atau hanya di kalangan masyarakat Melayu sahaja ? Kenapa gelar menggelar ini lebih banyak kepada unsur negatif, tidak positif. Contoh gelaran banyak terdengar dalam masyarakat kita seperti Pak Ngah Kewek, Awang sereh, Mamat Wong, Deraman Lok yu, Pok Leh Gajah, Sepiah Pekak, Hussin Lembek, Mat Unta, Ali Keling, Zah Lentuk, Cik Loh Dodol, Mat Cacing, Tok Heng angsa dan macam-macam. Apa pandangan anda ?

2 comments:

Anonymous said...

Sir,
Memang ada segelintir manusia, yang sifatnya suka melihat atau mencari perkara-perkara yang negatif berkaitan diri seseorang. Menggelar atau mengejek orang lain itu tampaknya memberi semacam kepuasan.

Yang menimbulkan kemarahan ialah, cara menggelar itu bukan sebagai guruan tetapi lebih berbentuk penghinaan. Semestinya tidak disenangi.

Benar juga, mengejek ini menjadi budaya dalam masyarakat kita. Timbul tandatanya, kenapa yang dilihat hanya yang negatif. Ejekan memang menyakitkan hati.

Kenapa tidak dilihat perkara-perkara yang positif pada diri sesaorang. Memang orang sukar hendak memberi pujian tentang perkara atau perlakuan positif pada diri sesaorang. Memberi pujian (dengan ikhlas)memang tidak membudya dalam masyarakat kita.

Yang anehnya pujian ikhlas yang kita beri, dianggap sebagai sindiran pula.

Anonymous said...

Cikgu, semasa saya tinggal di asrama dahulu ramai kawan-kawan saya mendapat gelaran yang agak buruk bunyinya seperti din kurik, mail te'k, ali kapor dan macam-macam. Tapi saya tidak pernah memanggil mereka dengan gelaran tersebut, saya tetap memanggil nama. Saya pun ada juga gelaran. Semua penghuni asrama memanggil saya Pok Su. Sampai ke warden-warden asrama panggil saya Pok Su. Pok Su tu kira oklah !