Apabila kita memperkatakan tentang masalah disiplin para pelajar hari ini, kita sepatutnya tidak boleh elak dari memperkatakan tentang tanggungjawab institusi keluarga. Meletakkan tanggungjawab mendisiplinkan anak-anak kepada institusi keluarga bukan bermakna institusi pendidikan formal perlu lepas tangan begitu sahaja. Tidak, tetapi kita perlu memperbetulkan peranan dan tugas sebahagian besar institusi keluarga kini. Amatlah malang, kerana terdapat sebahagian besar institusi keluarga beranggapan tugas mendisiplin dan memoralkan anak-anak, peneraju utamanya adalah institusi sekolah manakala institusi keluar hanya sekadar memain peranan dipinggiran.
Kedudukan sebenarnya adalah sebaliknya. Institusi sekolah hanyalah sebagai pelengkap, pemurni dan penggilap bukan peneraju utama. Ia tidak boleh menjadi peneraju utama walaupun dia mahu atau berminat berbuat demikian kerana mendidik disiplin dan moral memerlukan pelbagai elemen pendidikan yang di antara elemen pendidikan dan asuhan tersebut tidak mampu atau tidak boleh diberikan oleh institusi sekolah.
Institusi keluarga hari ini sepatutnya bukan sahaja sekadar berperanan memberi makan pakai tetapi lebih jauh lagi perlu memberi perhatian, kasih sayang, keprihatinan, pemantauan dan kawalan, persahabatan, keakraban, ketegasan, sentuhan, prinsip dan pegangan hidup keluarga kepada anak-anak.
Untuk menguasai dan menyedari elemen-lemen tersebut ibubapa mestilah menjadi ibubapa yang celik ilmu terutama ilmu keibubapaan. Inilah masalahnya. Apabila pihak-pihak yang menyedari hal ini contohnya pihak institusi sekolah yang menganjurkan majlis-majlis ilmu keibubapaan, ibubapa yang menjadi sasaran hanya sekadar menghantar atau agaknya mengarahkan isteri untuk hadir atau kedua-duanya tidak hadir langsung. Biasanya yang kerap hadir ialah ibubapa yang anak-anak mereka bukan langsung pencetus masalah disiplin dan moral. Iniliah realiti kritikal yang dihadapi.
Persoalan disiplin dan moral pelajar-pelajar sekolah tidak akan selesai jika ibubapa tidak bijaksana dan tidak tahu (tetapi menganggap tahu dan mudah) bagaimana memainkan peranan berkesan dan berkualiti dalam kehidupan dan pembesaran anak-anak mereka di zaman sekarang. Soalan saya, siapakah yang mesti paksa ibubapa yang menjadi sasaran ini hadir untuk menimba dan mengamalkan ilmu ? Bersambung nanti.....
No comments:
Post a Comment