24 Oktober 2008 hari cuti bagi negeri Pahang sempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Pahang. Oleh kerana cuti, seawal pagi saya bersama isteri menuju ke Shah Alam. Dengan pemanduan yang relek dan perlahan, banyaklah lokasi-lokasi singgahan, maklumlah semalam hari Jumaat. Hampir pukul 3 petang saya sampai ke destinasi. Setelah berurusan selama lebih kurang satu jam setengah, kami meneruskan perjalanan balik ke Kuala Rompin.
Sebaik keluar dari tempat kami berurusan, kami telah berdepan dengan kesesakan lalu lintas. Saya memang tidak mahir langsung jalan di Lembah Kelang, yang saya tahu redah sahaja. Nak mengharapkan orang sebelah memang sakit!! Terkial-kiallah seorang diri mencari jalan keluar. Akibatnya kami menghala ke Klang dan sebelum itu kami cemas ke arah Rawang. Terpaksalah saya mencari u-turn dan kembali jalan asal kami masuk tadi. Setelah berasak-asak dalam traffic jam akhirnya saya bertemu jalan keluar ke Seremban. Orang yang biasa dengan laluan di sini pasti mengeleng kepala dan mengatakan, aleh...itu pun sesat !! Ya... itulah hakikatnya semalam.
Sampai di Kuala Pilah pukul 6.45 petang. Isteri pula nak singgah di rumah sahabatnya sekuliah dan serumah semasa di upsi; kak Asmah. Nak cakap tak payah singgah sebab hari semakin gelap, bila pula dia nak berjumpa dengan kak Asmah. Dengan pertimbangan yang rasanya munasabah, dan menjangka rumah yang hendak dituju tak jauh, saya bersetuju. Kami menghala arah ke Tampin untuk ke pekan Senaling dengan berpandukan arahan telefon.
Hari semakin mencecah maghrib, tempat yang dicari masih belum diketemui. Suasana jalan semakin sunyi dan tiada pula kereta yang lalu lalang. Saya bertanya kepada isteri, ke mana menghalanya kita ni....betul ke jalan ni ? Maklumlah tempat yang tidak biasa dengan suasana hampir malam pula.
Akhirnya, isteri saya minta saya memberhentikan kereta di simpang jalan yang agak sunyi. Ada papan tanda bertulis, "Ladang Inas". Risau juga saya berhenti di situ. Tapi dalam dua minit sebuah Produa Kembara menghampiri. Turun pemandunya semacam keseronokan dan gembira yang amat sangat, menuju ke arah isteri saya bersalam-salaman, berpeluk-pelukan dan bercium-ciuman macam lama tak jumpa. Rupanya itulah kak Asmah yang selalu diceritakan isteri saya. Begitulah orang perempuan kalau dah berjumpa sesama mereka.
Saya berhasrat agar mereka berjumpa di situ sahaja cukuplah, kerana perjalanan kami masih jauh dan kami hendak keluar balik semula ke Kuala Pilah yang rasanya dalam 18 kilometer juga. Jauh tu, bila kami hendak sampai ke Kuala Rompin ? Tapi kak Asmah beria-ia mengajak saya singgah. Saya serba salah dengan pelawaan kak Asmah. Macam tak sopan pula kalau saya menolak dan tentu ada yang hendak diceritakan antara mereka berdua nanti. Saya bersetuju.
Kami mengikut Kembara yang di pandu oleh kak Asmah. Makin lama makin jauh ke dalam dan akhirnya membelok ke jalan batu kerikil. Ya Allah...jauh ke kita hendak masuk ni ? Saya teringat jalan batu kerikil yang pernah saya lalui sewaktu menghantar pelajar saya ke rumahnya, 15 kilometer !! Maaf, bukan masalah batu kerikil itu, tapi masalah hari semakin malam, kami perlu balik malam ini juga ke rumah. Alhamdulillah tak jauh rupanya, dalam satu kilometer saja dan jalannya elok, suasana sekitar terang tidak merisaukan untuk perjalanan balik nanti.
Sampai di rumah kak Asmah, kami disambut oleh suaminya En Mohd Yunus. Baik orangnya. Selepas saya solat maghrib, kami makan malam bersama. Rupanya ada makan malam di sediakan untuk kami, cukup menyelerakan. Ayam hutan masak lomak cili api nogoghi sombilan ...fuh, mujurlah kami sampai ke rumah kak Asmah dan abang Yunus.
Selepas makan, berbual sedikit lagi, akhirnya kami minta izin meneruskan perjalanan. Abang Yunus menasihati kami agar balik ikut Bahau, jauh lebih dekat, tak payah balik semula ke Kuala Pilah. Dengan panduan yang diberikan oleh abang Yunus kami akhirnya lebih awal sampai ke Kuala Rompin, 10.30 malam. Terima kasih abang Yunus dan kak Asmah di atas layanan baik dan mesra buat kami. Jika ke Kuala Rompin, jemput datang ke rumah.
Selepas satu jam berehat saya buka blog ini dan terlihat ada 'contact reply' dari sahabat lama sewaktu di SKLC dulu , Ahmad Faris Haji Johan. Terima kasih Faris. Di manakah sahabat-sahabat yang lain agaknya; wahab, yawahir, elias, rusmadi, ashari, izam dan lain-lain. ?
1 comment:
Assalamualaikum,
Terima kasih kerana sudi singgah kat rumah akak. Sebenarnya akak suami isteri amat berbesar hati dengan kunjungan itu. Walaupun ianya hanya sekejap tetapi amat bermakna kepada kami sekeluarga. Akak dan Abang Yunus mohon maaf seandainya terdapat kekurangan semasa kunjungan En. Sazili dan Ani tempoh hari.- Kak Hasmah
Post a Comment