Waktu rehat. Dari dalam bilik, saya dapat melihat seorang pelajar perempuan Tingkatan 4 berdiri di karidor, termenung sambil sekali sekala jauh memandang ke arah padang sekolah. Saya memerhati sambil menyiapkan kerja-kerja saya. Saya berpura-pura tidak perasankan tingkah laku dia. Saya juga dapat melihat bahawa ada ketikanya dia memerhati ke arah tingkap di mana saya berada. Saya dapat rasa bahawa pelajar ini seperti ada sesuatu yang tidak kena.
Setelah membereskan sebahagian kerja-kerja saya, saya bercadang hendak ke bilik guru. Dalam perjalanan saya menegur pelajar berkenaan, " termenung je...apa yang kamu menungkan ?".
"Tak de lah, biasa je!" jawab pelajar tersebut tersipu. Saya tidak kenal nama pelajar ini kerana dia baru masuk ke sekolah ini. Saya mengambil kesempatan bertanyakan keputusan PMRnya yang lalu, bersekolah di mana dulu dan serba sedikit tentang latar belakang keluarganya.
Mengesyakki seperti ada sesuatu yang tidak kena, saya tanya lagi " Ye ke awak tiada masalah, saya tengok awak selalu bersendirian. Jangan begitu, pergilah berkawan. Bukankah kawan-kawan ramai, tak baik menyendiri !.", pujuk saya.
"Tak adalah sir, cuma....saya ada nak cakap kat sir satu perkara, tapi....."
"Tapi apa ?".
"Saya takut sir marah", jawabnya ringkas.
" Kenapa pula saya mesti marah ?" tanya saya.
" Sebab dia orang kata masalah saya ni, kena jumpa sir".
"Oo...sebab tulah awak duduk kat sini, awak nak jumpa saya. Kenapa tak jumpa saya terus? Kan awak nampak saya kat dalam bilik tu?".
"Takut..... lagi pun nampak sir sibuk je".
"Saya bukan sibuk, macam sibuk !" sempat juga saya bergurau dengan budak ini."Ok apa masalah awak ?".
" Sir, saya tak nak jadi Pengawas Sekolah!", tiba-tiba terpacul kata-kata itu dari mulutnya.
"Kamu Pengawas Sekolah ke ?"
"Ustazah pilih saya jadi pengawas sekolah".
"Kenapa kamu tak mahu jadi pengawas? Bukankah itu satu penghurmatan. Sebenarnya bukan senang nak jadi pengawas. Kamu ditemuduga, bukan ?"
" Ya....tapi abah dan mak kata tak payahlah jadi pengawas sekolah."
"Kenapa abah dan mak tak mahu jadi pengawas?, Boleh saya tahu ?". banyak tanya pula saya.
" mak tak kisah tapi...abah ". " Tapi apa ?, tanya saya.
" Tak ada baju pengawaslah sir. Baju ni baru beli, nak beli satu lagi abah kata tak ada peruntukan".
Baru saya faham masalah budak ni sehingga termenung sebegitu rupa. Saya faham menjadi pengawas sudah tentulah mesti berpakaian seperti pengawas sekolah. Tapi terfikir pula saya, budak ini dipilih tentulah dia berbakat dalam kepimpinan. Apakah kerana hanya tiada pakaian pengawas, permohonan tidak mahu menjadi pengawas diterima ? Saya rasa tidak adil kerana tiada baju pengawas bakat kepimpinan pelajar ini dikorbankan.
" Siapa cakap kamu mesti pakai pakaian pengawas ?"
"Kawan-kawan cakap, sir".
"Ok macam ni...kamu tak usah berhenti jadi pengawas. Ustazah telah memberi penghurmatan kepada kamu. Teruskan jadi pengawas."
"Tapi sir saya tak ada baju pengawas."
"Pakai je lah baju yang kamu pakai tu".
Pelajar tersebut kelihatan resah dengan keputusan saya. Dia menceritakan keadaan kewangan ayahnya yang agak kritikal dengan tanggungan yang ramai dan ada masalah hutang bank yang besar. Banyak lagilah yang diceritanya yang agak peribadi untuk ceritakan di sini.
Setelah selesai berbicara dengan pelajar tersebut saya ke bilik guru. Sempat juga sekejap saya berbincang masalah anak-anak pelajar kami di sini, termasuklah pelajar yang saya temui tadi.
Hampir dua minggu saya tidak berjumpa dengan pelajar tersebut sehinggalah dia datang ke bilik saya....
"Sir, saya nak ucapkan terima kasih kat sir" katanya sebaik memberi salam.
Saya terasa agak pelik kerana pelajar ini ucap terima kasih kerana apa, kepada saya ? Apa yang istimewa sangat yang saya lakukan kepadanya, sedangkan saya baru sekali berjumpa dengan dia. "Kenapa kamu ucapkan terima kasih kepada saya," saya bertanya hairan.
Dia juga semacam hairan bila saya tanya soalan itu tapi dia terus menjawab, " Kerana sir bagi duit kepada saya, suruh beli baju pengawas. Mak ucap terima kasih kat sir".
"Abah ?" saya menduga.
"Abah tak tahu, kami tak bagi tahu abah sebab kalau abah tahu dia mesti marah dan mesti dia suruh pulangkan duit yang sir bagi tu. Abah tak suka anak-anaknya menyusahkan orang lain."
Macam-macam manusia ni. Ini seharusnya menambahkan lagi pengalaman kita semua mengenai manusia yang bergelar ayah seperti ini.
Dia menerangkan, bila dia dapat duit tu, berapa jumlah dan bila dia belikan baju tu.
" Sebenarnya bukan saya yang bagi duit tu! Mungkin orang lain." saya memberitahu secara ikhlas.
" Sir tak payahlah tipu saya. Budak yang sampaikan duit tu cakap, sir suruh bagi kat saya untuk beli baju pengawas".
Saya menafikan yang saya bagi duit itu kepada dia berkali-kali. Mungkin cikgu lain tetapi dia tetap tidak percaya. Saya bagi tahu dia, saya ada ceritakan juga masalah dia di bilik guru dan tentu ada guru-guru yang simpati. Dia tetap tidak percaya dan mengatakan duit itu tetap saya bagi.
Ok lah saya tak kisah kalau itu yang dia percaya. Yang penting masalah budak itu selesai. Dan saya kagum dengan sikap guru yang membantu sedekahkan duit kepada pelajar ini. Sampai ke hari ini saya tidak tahu siapa yang sedekah duit itu kepada pelajar bekenaan. Yang pasti dia adalah cikgu sekolah ini tetapi bukan saya. Dan sampai ke hari ini juga pelajar tersebut tetap mengatakan saya yang bagi duit itu walaupun dia telah berada di tahun 2 di salah sebuah IPTA. Pagi tadi dia sempat sms saya bertanya khabar akan kesihatan saya.
Saya doakan semoga masa depan pelajar ini cemerlang dan semoga dia mampu merubah kehidupan dirinya dan keluarganya. Amin !
No comments:
Post a Comment