Saturday, March 21, 2009

Buatlah keputusan yang betul...!

Lusa sekolah akan dibuka semula. Bagi sesetengah negeri, esok sekolah akan dibuka . Sebelum cuti hingga dalam tempoh cuti yang sedang berlangsung ini sebaik keputusan SPM keluar, saya begitu banyak menerima panggilan telefon dan SMS dari pelajar-pelajar dan bekas pelajar saya bertanyakan soalan, " sir, saya nak buat apa (nak mohon apa) kalau saya tidak dapat IPTA atau matrikulasi ?". Itulah antara soalan utama yang diterjahkan kepada saya.

Soalan-soalan yang diajukan ini menggambarkan situasi persaingan pada hari ini cukup mencemaskan mereka. Apakah mereka akan ketinggalan kapal ? Kalau mereka ketinggalan dalam persaingan ini apakah yang patut mereka lakukan ? Jelas sebenarnya mereka tidak tahu hendak ke mana?

Kesian...bagi pelajar-pelajar yang tidak mendapat keputusan yang cemerlang yang mungkin atau jelas tidak layak untuk memohon IPTA, ada mengadu kepada saya sehingga setakat ini ibubapa mereka masih tidak tahu hendak menentukan masa depan mereka.

Kepada pelajar-pelajar ini saya menasihati mereka, rujuk dan berbincang dengan kaunselor-kaunselor sekolah masing-masing. Lebih elok bawa ibubapa sekali berjumpa dan berbincang dengan kaunselor sekolah. Jangan biarkan masa berlalu kerana usia kita akan semakin meningkat dan peluang akan semakin mengecil.

Kadang ibubapa sering mengambil mudah akan perkara ini. Hasrat anak yang tinggi untuk menyambung pelajaran walaupun keputusan tidak mencukupi syarat, kadang-kadang tidak dilayan dengan perhatian berat dan cakna secara bersungguh hati. Sikap ini sudah pasti akan menyebabkan anak-anak muda ini kecewa dan membuat keputusan sendiri yang tiada panduan, yang akhirnya hanya menghabiskan masa kepada suatu kursus yang tidak memberi apa-apa faedah kepada diri dan masa depan mereka.

Kepada pelajar-pelajar yang seumpama ini saya menasihati mereka jangan membuang masa dengan harapan untuk melanjutkan pelajaran ke bidang-bidang akademik yang menekankan keupayaan kognitif. Saya syorkan kepada mereka walaupun tidak glamour, pohonlah kursus Sijil Kemahiran Malaysia yang sebenarnya mampu memberi faedah yang lebih baik kepada mereka jika mereka berdisiplin dan mempunyai sikap yang betul semasa mengikutinya.

Ramai yang mempunyai persepsi yang salah terhadap SKM dengan anggapan bahawa pelajar yang mengikutinya pelajar yang tidak cerdik. Ini adalah persepsi yang silap. Zaman sekarang mengharap kerja dari pihak kerajaan adalah satu kesilapan yang besar. Walaupun menyediakan pekerjaan itu adalah tanggungjawab kerajaan tetapi tidak semestinya pekerjaan-pekerjaan yang disediakan itu di sektor awam. Apa yang jelas pekerjaan di sektor awam semakin terhad sedangkan pekerjaan di sektor swasta memerlukan persaingan kemahiran.

Jika selepas bersekolah atau selepas IPTA atau selepas IPTS tetapi dengan tiada sebarang kemahiran apakah peluang pekerjaan akan menjadi mudah kepada mereka ? Akhirnya mereka perlu juga kerja sendiri untuk hidup dan menanggung keluarga.

Sesungguhnya Sijil Kemahiran Malaysia memberi ruang 'survival' yang lebih berkesan dan 'competitive' dalam dunia yang penuh mencabar ini. Jangan bersikap negatif terhadap SKM. Oleh yang demikian, di saat-saat sekarang keputusan bagi menentukan nasib masa depan mestilah dibuat dengan cepat dan betul.

Friday, March 20, 2009

Di majlis akad nikah

Baru-baru ini saya sempat menghadiri dua tiga majlis akad nikah pengantin baru sama ada di masjid mahupun di rumah. Kebelakangan ini semakin ramai orang suka adakan majlis akad nikah di masjid. Alhamdulillah.

Apa yang menarik perhatian saya untuk dibicara secara santai ialah peranan saksi nikah. Memang tidak dapat dinafikan peranan saksi nikah ini sangat penting. Kata-kata "Sah" atau "Tak sah" atau apa-apa sahaja kata-kata lain yang terkeluar dari mulut mereka itu memberi kesan yang besar kepada pengantin lelaki.

Sudah pasti pada waktu-waktu begitu ada gemuruh pada pengantin lelaki. Maklumlah hendak menjadi suami, hendak masuk alam kehidupan yang baru selepas ini.

Apa yang menarik lafaz nikah yang tertentu, diajar beberapa kali oleh wali hakim atau naib kadhi sebelum upacara akad nikah dimulakan. Antara lafaznya, "Aku terima nikahnya Siti Zulaikha binti Abdullah (nama contoh aje ni) dengan mas kahwinnya dua puluh dua ringgit setengah tunai". Lebih kurang begitulah bunyi. Kalau di Pahang RM22.50. Kalau di tempat lain ikut negeri masing-masing.

Pengalaman pemerhatian saya, lafaz yang pertama itu sangat penting. Kalau saksi nikah kata "tak sah" maka kacau jadinya. Gemuruh pengantin bertimbun. Mulalah lafaz yang kedua atau yang berikutnya menjadi tak tentu arah. Boleh jadi macam-macam yang terkeluar " Aku terima nikah (hilang nya) Siti Zulaikha.....", "Aku terima nikahnya Siti Zulaikha bin Abdullah...(hilang binti)", " Aku terima nikahnya Siti Zulaikha binti Abdullah dengan dua ringgit setengah tunai (tinggal dua ringgit setengah sudahnya!)".

Hendak dapat lafaz yang betul seperti mana yang dikehendaki oleh Naib Kadhi atau saksi nikah, jadi payah malah semakin tak menjadi. Kadang-kadang Naib Kadhi atau wali hakim tanya saksi nikah yang dua orang itu, "Macam mana, boleh ?".

Pada pemerhatian ramai lafaz nikah sudah boleh diterima tetapi kerana saksi nikah itu mungkin agak berumur atau mungkin gemuruh juga.... dia pun kata " Okay dah....tapi buatlah sekali lagilah bagi sedap sikit lagi ". Hah... kacau ! Nasib-nasib yang kedua dan ketiga akan menjadi lebih haru.

Oleh yang demikian, pada saya saksi nikah ini perlu permudahkan (melainkan pengantin lafaz jelas teruk sangat) sebelum keadaan menjadi lebih payah dan haru untuk ditentukan akan lafaz yang disebut. Biasanya oleh kerana gemuruh yang amat sangat, yang kedua dan ketiga pun bunyi lagi kuat menggeletarnya.... boleh pun disahkan !

Begitulah antara antara adegan yang dapat dilihat di majlis-majlis akad nikah. Lagi tetamu gelak lagi kelam kabut pengantin !

Wednesday, March 18, 2009

Pengalaman saya sewaktu isteri belajar.

Kisah ini mungkin agak peribadi tetapi untuk pengajaran dan kenangan bersama saya paparkan juga. Isteri saya baru sahaja menerima ijazah pengajiannya selama setahun di IAB dan dua tahun di UPSI.


Tempoh tiga tahun sebenar merakamkan pelbagai cabaran buat beliau dan saya sekeluarga. Saya yang selalu dimanjai oleh isteri dalam urusan rumah tangga terpaksa melakukan banyak perkara semasa ketiadaan beliau. Saya tidak lupa bagaimana saya terpaksa bangun awal pagi pukul 4 pagi untuk memasak dan menyediakan juadah bersahur untuk anak-anak. Menyediakan juadah berbuka puasa tanpa emak mereka bersama. Bergegas pulang ke rumah selepas sekolah untuk menyediakan makan tengah hari untuk anak-anak. Satu pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan.


Sepanjang isteri saya belajar, yang paling saya bimbang ialah kesihatan beliau. Beliau seorang pengidap diabetic, Kadang-kadang isteri saya boleh pengsan kerana kekurangan gula. Saya pernah membatalkan urusan kerja kerana pernah dalam perjalanan ke Shah Alam, anak saya, Aisyah telefon memberitahu, mak pengsan dan telah dibawa hospital. Serta merta saya pusing balik untuk terus ke hospital dan bersibuk sambil memandu menelefon kawan-kawan memaklumkan masalah saya. Sesungguhnya memang benar, kawan-kawanlah yang banyak membantu kita.


Masalah yang kedua semenjak belajar di IAB, isteri saya menjadi seorang yang lemah semangat. Semasa belajar di IAB perkara yang tidak penah berlaku kepada dia, telah berlaku. Saya seorang yang sukar mahu percaya persoalan karut marut atau kerasukan ini. Tapi semenjak isteri saya belajar di sana, saya sendiri berpengalaman menghadapinya. Bayangkanlah pernah satu ketika sewaktu balik hujung minggu, isteri saya tidak kenal saya. Seorang yang begitu lemah lembut dan sangat manja dengan suami menjadi begitu aggresif hinggakan jenuh sewaktu dia tidak sedar ditampar-tamparnya pipi saya sekuat-kuat hati. Sepanjang belajar di IAB dua tiga kali juga, berlaku dia ‘tidak sedar’ sebaik pulang ke rumah. Dua tiga kali jugalah arwah ibu saya menangisi menantu kesayangannya apabila menantunya itu tidak kenal dia. Sampai ke hari ini, fobia saya dengan IAB Genting Highland jika isteri saya berkursus di sana!


Waktu-waktu begitu, saya berpengalaman berkomunikasi dengan ‘makhluk’ itu. Saya bertanya, kamu ni datang dari mana ? Genting Highland, dia jawab. Mak tuan berderau darah saya. Kenapa kamu ikut isteri saya? Saja aku nak ikut dia sebab dia baik! Bayangkanlah bagaimana hati dan perasaan saya dan anak-anak pada waktu itu.

Saya pernah teringat sewaktu awal-awal saya menghantar isteri ke IAB, isteri saya tinggal sebilik seorang diri dan di bilik yang sebelah lagi itu katanya ada orang. Waktu itu saya senang hati kerana isteri saya ada room mate. Saya sentiasa bertanya dari rumah, ada orang ke di sebelah ? Ada, jawab isteri saya. Macam mana tahu ada orang ? Bunyi orang guna bilik air dan buka api, jawab isteri saya. Pergilah berkenalan, suruh saya. Tak mahulah, isteri saya macam keberatan.


Beberapa minggu selepas itu, sebaik sahaja isteri saya berpindah bilik ke bilik kawannya- bilik Cikgu Seri, dia memberitahu saya, dia diberitahu oleh pegawai keselamatan yang menjaga hostel itu bahawa bilik sebelah itu sebenarnya tiada penghuni. Bayangkanlah betapa bimbangnya saya terhadap keadaan isteri saya.


Sepanjang isteri saya berlajar di IAB Genting, hati saya tidak pernah senang. Oleh kerana bimbang keadaan semangat dan kesihatannya saya pernah memaklumkan kepada Yusof Muhamad sahabat lama yang kebetulan sama-sama belajar dengan isteri saya bahawa isteri saya boleh pengsan kalau dia kekurangan gula. Dan saya bagi tahu Yusof apa yang patut dilakukan jika isteri jadi begitu. Saya tidak memberitahu Yusof yang isteri saya ini pernah tidak sedar kerana unsur lain.


Alhamdulillah sepanjang isteri saya belajar di Tanjung Malim tiada masalah yang bukan-bukan yang dia alami, cuma dia sering mengadu sakit kepala. Saya pun naik pening kepala kerana isteri saya sering sakit kepala. Macam-macam ubat yang dicuba, sakit kepala tidak pernah kurang. Dia yang stress, saya juga kena stress. Satu hari saya terfikir mungkin isteri saya kerap sakit kepala kerana tekanan belajar. Teringat saya, antara amalan isteri saya, ialah menjadikan minuman necafe 3 in 1 sebagai minuman untuk berjaga malam.


Saya suruh isteri saya berhentikan serta-merta mengambil minuman tersebut. Sebaik dia berhenti mengambilnya, sakit kepala semakin berkurangan dan hingga hari ini dia tidak sakit kepala lagi.Dan saya tak benarkan lagi dia minum minuman tersebut.


Tidak lupa saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada Yusof Muhamad yang banyak membantu isteri saya. Terima kasih banyak-banyak Sop. Kepada cikgu Seri Suryati juga saya merakamkan berbanyak terima kasih kerana sering menumpang isteri saya balik hujung minggu dan terima kasih juga kerana selalu menjaga isteri saya dengan baik sepanjang menjadi room mate di IAB dan di UPSI. Kepada rakan-rakan serumah isteri saya, Kak Hajah Halipah dan kak Hasmah yang sering ambil berat tentang makan minum dan kesihatan isteri saya, terima kasih banyak-banyak akak berdua. Isteri saya selalu ceritakan tentang akak berdua yang bagaikan kakak dan ibu kepadanya. Begitu juga kepada Cikgu Normala dan Kak Zu, walaupun saya tidak kenal, terima kasih banyak-banyak !


Kepada sahabat-sahabat isteri saya yang saya tidak kenali untuk menyebutkan nama satu persatu, yang bersusah-payah membantu menghantar isteri saya ke Genting Sempah sewaktu arwah ibu saya sakit tenat, terima kasih banyak-banyak. Walaupun tuan-tuan dan puan-puan dalam kepenatan pulang dari lawatan, tuan-tuan dan puan-puan telah memberi pertolongan yang besar ertinya kepada saya. Ibu saya telah meninggal dunia dengan dihadap oleh menantu kesayangannya. Pada hari konvo, isteri saya memberitahu dia kehilangan seseorang yang sepatutnya hadir sama pada hari itu - ibu mentuanya! Jasa baik tuan-tuan hanya Allah jua yang mampu memberi balasan yang setimpal. Hanya terima kasih yang mampu saya lafazkan.


Akhirnya, saya dan seluruh ahli keluarga kami merakamkan ucapan tahniah kepada tuan-tuan dan puan-puan selaku rakan sekelas isteri saya, di atas kejayaan tuan-tuan dan puan-puan. Anda semua adalah insan yang hebat dan semoga anda semua terus maju jaya sebagai pengurus pendidikan yang cemerlang . Tahniah !

Tuesday, March 17, 2009

Tahniah isteriku !


Setelah penat berjuang, menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan, akhirnya berjaya juga isteri kesayangan menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pendidikan dengan Kepujian dari Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim . Kami sekeluarga amat bangga dengan kejayaannya.

Monday, March 16, 2009

Jika berlaku, tiada maaf bagi mu

Kelmarin saya melalui Lebuhraya Pantai Timur menuju ke Kuala Lumpur dari Kuantan. Tiada apa yang istimewa dengan lebuhraya itu. Ia cuma lurus, berbukit di sana sini dan jalannya agak beralun di satu dua tempat.

Pelbagai jenis kenderaan agak sibuk di kiri kanan laluan. Masing-masing teratur di lorong masing-masing. Seperti yang saya katakan tadi tiada apa yang menarik dengan lebuh raya tersebut. Biasa sahaja. Cumanya saya tertarik kepada tiga buah kenderaan di tempat yang berasingan.

Yang pertama Kancil. Bukan tertarik kepada rupa bentuknya itu cuma tertarik gaya pemanduannya. Lajuu !! Saya memandu Hyundai Matrix saya 140 km sejam saya masih tidak mampu memotong Kancil putih tersebut. Perasaan saya Kancil tersebut melayang tak jejak ke jalan. Apakah itu kelajuan biasa bagi sebuah kereta Kancil yang mungkin saya tidak pernah tahu selama ini ? Atau Kancil itu memang laju di luar kebiasaannya.

Saya memberitahu isteri saya " Fuh...lajunya Kancil tu !". Saya membiarkan sahaja dia pergi hilang entah ke mana.

Di satu tempat lain pulak, saya mengekori sebuah lori simen. Agaknya lori itu kosong, tiada simen. Kelajuannya 130 km sejam. Saya dapati lori itu terangguk-angguk sepanjang perjalanan. Kenderaan berat dan besar lajunya....masya Allah !

Manakala di suatu tempat lain, tiba-tiba anak saya di belakang bersuara terkejut " Huhuhuu...!".
Dia terkejut sebuah bas ekspress memotong kereta saya yang dalam kelajuan 120 km sejam.

Patutlah kemalangan jalanraya pada zaman ini, memang tiada maaf bagimu !!

Sunday, March 15, 2009

Ke mana ayah ?

Pada hari Jumaat yang baru lalu saya telah dijemput untuk menyampaikan ceramah motivasi keibubapaan di sebuah sekolah menengah. Ceramah itu merupakan antara acara kemuncak sambutan maulidur rasul sekolah tersebut.

Apa yang menarik ialah kehadiran yang agak ramai. Dewan sekolah tersebut hampir penuh. Saya tidak pasti sama ada kehadiran tersebut kerana minat kepada ilmu atau kerana dipaksa datang oleh pihak sekolah atau kerana apa. Yang pasti dewan sekolah itu penuh.

Namun demikian, walaupun kehadiran agak ramai, apa yang menjadi tanda-tanya kepada saya setiap kali dijemput memberi ceramah ialah ke mana ayah ? Hampir tiga suku dewan dihadiri oleh kaum ibu. Apakah ramai yang hadir itu adalah janda belaka ? Tidak mungkin !

Melihat keadaan tersebut saya secara spontan menekankan ceramah saya kepada peranan seorang yang bergelar bapa atau ayah walaupun hanya sesuku sahaja bapa yang hadir. Saya tekankan bahawa bapa atau ayah adalah seorang Perdana Menteri dalam sebuah institusi keluarga. Perdana Menteri seharusnya seorang yang tahu, seorang yang hebat, seorang yang berilmu untuk menentukan visi dan misi keluarga.

Saya katakan bahawa malangnya sebuah keluarga mempunyai Perdana Menteri yang tidak tahu peranannya, tidak mahu tahu peranannya, lepas tangan terhadap peranannya dan tidak pernah mempunyai visi dan misi keluarga.

Oleh sebab itu saya katakan kepada yang hadir, kebanyakan institusi keluarga hari ini berada di dalam keadaan yang sangat parah dan lemah. Kebanyakan institusi keluarga hari ini telah hilang daya dan upaya kepimpinan yang berkesan dan berpengaruh.

Selepas saya memberi ceramah seorang anak muda yang saya rasa dalam lingkungan 26 tahun telah datang menemui saya sambil berkata " Cikgu, cikgu telah memberi kefahaman secara jelas kepada saya akan peranan seorang bapa di dalam sesebuah rumah tangga. Baru saya faham kenapa gejala sosial di kalangan remaja hari ini begitu berleluasa."

Anak muda itu sambung lagi kata-katanya, " Setelah mendengar ceramah cikgu tadi , saya rasa tidak sabar hendak menjadi seorang ayah tetapi sayup di hati kecil ini, saya rasa takut kerana tanggungjawab ayah rupanya sangat berat."

Saya hanya tersenyum mendengar keluhan anak muda itu namun tetap menasihatnya agar dia cepat-cepat kahwin ! Insya Alah katanya !

Saturday, March 14, 2009

Hodohnya perangai manusia itu ....

Kesibukan menjadi urus setia satu program peringkat negeri menyebabkan seminggu blog ini tidak diupdatekan. Letih, penat dan mengantuk menjadi rencah kehidupan seminggu yang lalu. Dicelah kesibukan program tersebut saya masih dijemput untuk menyampaikan ceramah keibubapaan di merata tempat. Menyusun jadual aktiviti dan pengurusan masa menjadi begitu penting di samping kesihatan yang mantap.

Namun demikian pengurusan stress juga menjadi hal yang mendesak. Fizikal dan mental yang penat menjadikan emosi berbaur. Sedikit sahaja berdepan dengan masalah akan menekan emosi ke arah stress yang tinggi. Namun hanya kesabaran yang tip-top mampu menjadikan segala tindakan menjadi waras.

Sewaktu singgah mengisi minyak di Petronas Muadzam Shah, saya berbaris di belakang sebuah kereta Mercedez Benz model mewah berwarna hitam dan bercermin gelap. Seorang lelaki dalam usia 40 an memakai seluar slack hitam dan berjeket hitam sedang mengisi minyak kereta tersebut. Lama juga dia mengisi minyak, mungkin penuh tangki agaknya.

Perkara yang sangat menyakitkan hati saya berlaku selepas itu. Sebaik dia selesai mengisi minyak kereta Mercedez Benznya itu hati saya rasa lega kerana kereta saya akan mengambil giliran. Rupanya keadaan yang saya harapkan itu tidak berlaku. Si lelaki yang mengisi minyak itu kelihatan selamba berjalan ke belakang bangunan kedai Mesra Petronas itu untuk ke tandas dengan meninggalkan keretanya di situ. Bayangkan saya dengan dua tiga buah kereta yang lain di belakang saya, terpaksa menunggu lebih kurang 8 minit untuk menanti dia kembali dan menggerakkan keretanya.

Saya tertanya-tanya sendirian, apakah yang menyebabkan dia menjadi begitu tidak prihatin kepada keperluan orang lain. Adakah dia tuan punya petrol stesen itu ? Atau dia berkelakuan begitu kerana dia menggunakan kereta Mercedez Benz mewah ? Atau dia itu orang besar yang tidak kuasa lain yang mampu mengganggu kuasanya yang sedang menunjuk kuasa itu ? Atau memang dia itu kurang ajar orangnya ? Entahlah sayapun tak tahu.

Hati ini terasa cukup menggelegak. Mahu rasanya saya 'tampar' lelaki yang tiada jiwa itu. Tapi siapalah saya untuk berbuat demikian, rakyat marhaen dari rumah beratap 'rumbia'.

Perkara itu kelihatan kecil tetapi terlalu besar kesannya kepada saya yang mahu bersegera ke tempat ceramah saya.

Itulah manusia. Sering kita jumpa mereka yang tidak prihatin yang meninggalkan keretanya di petak mengisi minyak untuk pergi ke tandas. Betulkah tindakan ini dalam keadaan petak parking banyak tersedia dan ada kereta di belakang menunggu giliran ? Hodohnya perangai manusia itu...

Monday, March 09, 2009

Hari yang memenatkan

Dua hari berada di Segamat kerana majlis perkahwinan adik ipar sungguh memenatkan. Isteri sudah mulai terasa kejang betis. Dia menjadi harapan keluarga di dalam rumah. Malam tadi kami terpaksa pulang segera ke rumahkami setelah siap berkemas apa yang patut. Hari ini walaupun cuti maulidur rasul saya terpaksa menyiapkan buku program dan unit rakaman Perkampungan Penulis Muda Sekolah-sekolah Menengah Pahang 2009 . Petang nanti sudah mula masuk melapor diri sebagai urusetia.

Penat dan tension melangsungkan kenduri kahwin rupanya. Jemputan yang dianggarkan kecil menjadi besar. Ramai kenalan keluarga mentua yang tidak dijemput pun hendak datang juga dan telah datang.

Kecekapan bahagian dapur terutama unit hidangan rupa-rupanya memainkan peranan yang besar menyelamatkan maruah tuan rumah. Saya melihat dari dekat bagaimana orang-orang lama di dapur terutama tukang masak mengatur strategi apabila melihat jemputan begitu ramai. Ada strategi menghidang buffet rupanya. Saya tertarik cara mereka bekerja dalam satu pasukan yang cukup bersefahaman.

Saya bersama biras bertugas di bahagian air. Bapa mentua saya mahu menghidangkan bandung soda. Wah...bandung soda ais dalam keadaan cuaca panas, bayangkan betapa lakunya air pada hari itu. Nasib baiklah biras saya seorang jawa original, mahir dalam membancuh bandung soda ais. Kelam-kabut juga saya apabila biras saya memberi tahu air masak tidak cukup. Perlu masak segera katanya. Yang segera itulah yang saya tak tahannya ! Mana nak cari dapur, mana nak cari periuk dalam keadaan waktu puncak itu.

Saya perintah anak sulong saya pergi kidnap dapur gas kat dalam rumah. Saya mencari dan terpaksa membasuh periuk untuk masak air. Air gula pulak tak cukup, gula habis perintah anak kedua pergi beli gula lagi. Ais hampir habis, tetamu semakin ramai. Kepala otak saya hanya berfikir sempat tak ? Sempat tak ni ?

Si jawa pekat biras saya itu tenang je, " relek lah abang long sempatnya" kata dia. " Kalau tak sempat kita hentam air paip je !". Itulah yang saya tak mahu dengar tu, selamba je dia !

Saya teringat sewaktu mengajar di sekolah rendah dahulu. Sewaktu kami menganjurkan sukan air minuman untuk para pelajar dan ibubapa hampir tidak cukup. Keadaan begitu mendesak kerana orang kampung terlalu ramai dan cuaca panas. Air cukup laku. Air masak sudah habis. Apa lagi ada beberapa orang guru yang tak 'empuk' membancuh air minuman dengan menggunakan air paip biasa sahaja, tanpa diketahui oleh orang lain. Janji masalah selesai, kata mereka !

Kebetulan pulak pada waktu itu VVIP yang dijangka merasmikan sukan itu datang dan melalui tempat penyediaan air. Entah macam mana dia tengok air itu, agaknya rasa sedap atau mungkin terasa dahaga, dia minta segelas untuk minum. Hendak bagi tahu air itu air paip yang tidak dimasak...akan pecahlah rahsia. Ya tak ya bagilah kepada VVIP dan para pengiringnya itu. Sampai hari ini jika kami bertemu sesama rakan-rakan yang pernah mengajar di sekolah tersebut, bila sebut sahaja air yang menggunakan nama VVIP itu, semua kami akan teringat perirtiwa ini.

Kembali kepada majlis di rumah bapa mentua saya. Kami tidaklah sampai menghidang air tak masak. Kami di bahagian air sempat menguruskan segala yang tidak cukup dengan baik. Yang menariknya ada tetamu datang ke bahagian air minta air untuk dibawa balik! Ambil je lah, tak cukup kita buat lagi !

Lebih kurang pukul 4.30 petang tetamu sudah tiada lagi. Hati saya cukup lega kerana semuanya berjalan lancar. Balai ditutup, kerusi meja dikemaskan. Sampah sarap dibersihkan segera. Pengantin tidak berlengah menyental periuk. Kesian....mestikah ? Nampak sudah menjadi tend, periuk yang besar-besar itu untuk pengantin !!.

Saya perlu ke sekolah untuk menyelesaikan beberapa perkara. Nampaknya macam tidak bercuti! Inilah cikgu !!

Saturday, March 07, 2009

Saya turut merayu mansuhkanlah PPSMI.

Sebagai kakitangan kerajaan kita adalah pelaksana kepada setiap dasar kerajaan. Dalam erti kata yang lebih jelas, setiap dasar kerajaan wajib kita laksanakan. Mekanisma pelaksanaan dasar telah dibentuk maka kita hanya perlu berusaha gigih melaksanakan setiap program mengikut mekanisma yang telah disusun. Dalam mengusahakan pelaksanaan dasar, soal bersetuju atau tidak dengan sesuatu dasar tidak timbul kerana kita adalah pelaksana. Namun jika pelaksana bersetuju dengan sesuatu dasar, itu adalah yang terbaik, tetapi jika sebaliknya ,pelaksana tetap tertakluk kepada tangggungjawab rasmi untuk melaksanakan dasar itu.

Secara peribadi, saya sebagai seorang guru yang mengajar Bahasa Inggeris sekian lama, saya tidak pernah bersetuju dengan Dasar PPSMI walaupun saya banyak terlibat dengan pelaksanaan dasar ini dalam menjayakan program "Buddy Support System" dan sebagainya. Sudah tentu dalam pelaksanaan dasar PPSMI ini, saya melihat dari dekat begitu banyak kekangan, tribulasi dan kecelaruan pendidikan dan pedagogi namun sebagai seorang pelaksana kita tidak highlightkan perkara-perkara yang negatif. Kita diasuh untuk melihat semua pemasalahan dari sudut yang positif semata-mata.

Namun sayup-sayup di sudut hati saya sebagai seorang pendidik yang bertanggungjawab terhadap ilmu, saya merintih sendirian kerana saya sangat sedar kaedah penilaian dan permarkahan semakin hilang integriti. Kita sedih kerana dalam keadaan sedar dan amat tahu bahawa kita berterusan melahirkan lulusan yang sebenarnya boleh dipertikai kualitinya setiap tahun. Kenapa jadi begitu ? Saya tidak mampu dan begitu lemah untuk menjawabnya !!

Lebih menyedih dan sangat menyakitkan hati saya sebagai seorang anak Melayu yang mencintai bangsanya, bahasa Melayu dan ilmu, saya yakin jika dasar PPSMI ini diteruskan, bahasa jiwa bangsa sudah tidak mempunyai erti lagi. Dan jika dasar PPSMI ini diteruskan, saya sangat yakin Bahasa Melayu akan berkubur sebagaimana berkuburnya tulisan jawi yang sangat saya cintai.

Sebagai guru Bahasa Inggeris berpuluh tahun, saya sangat tahu bukan PPSMI caranya untuk mengatasi kelemahan Bahasa Inggeris para pelajar kita. Bukan !

Tuesday, March 03, 2009

Perkampungan Penulis Muda Sekolah-sekolah Menengah Pahang 2009


Hari ini saya telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perkampungan Penulis Muda Sekolah-sekolah menengah Negari Pahang tahun 2009. Perkampungan tersebut yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Pahang akan berlangsung selama empat hari iaitu dari 10 hingga 13 Mac 2009 di Kem Bestari Pendidikan Rompin di Kampung Kuala Pontian.

Objektif perkampungan penulis muda tersebut adalah:

i. Mencungkil bakat penulis-penulis muda dalam bidang penulisan kreatif dalam genre cerpen
dan puisi.

ii. Meningkatkan kecintaan terhadap kesusasteraan dan budaya Melayu.

iii. Melahirkan penulis muda yang kreatif dan kritis.

iv. Memberi pendedahan kepada golongan muda tentang aspek-aspek penulisan.

v. Memperkukuhkan jati diri golongan penulis muda.

Dijangka 66 orang pelajar Tingkatan 4 dan 5 yang terdiri dari pelajar lelaki dan perempuan dari semua daerah akan menjadi peserta pekampungan. Antara pengisian program yang dijangka diadakan ialah Bicara Tokoh, Bicara Cerpen, Bicara Puisi, Bersama Deklamator Jemputan, Sesi Bedah Karya, Latihan Dalam Kumpulan serta aktiviti riadhah dan pengisian kerohanian.

Tema perkampungan kali ini ialah Kalam muda.

Diharap Perkampungan penulis muda ini dapat dilangsungkan dengan jayanya bagi mencapai objektif yang telah ditentukan.

Monday, March 02, 2009

Kajian sains: Solat rawat penyakit kritikal

Petikan dari Harakahdaily

HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.

Prof Dr Wan Abu Bakar bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok dengan buku mengenai rahsia solat dari segi sains.

Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas - Aktiviti Otot

Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan.

Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

"Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,"katanya.

Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh.

Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenal pasti otot yang aktif ketika solat.

Ng Siew Chok - Isyarat Otak

Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.

"Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang," katanya

Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

"Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,"katanya.

Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.

Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh

Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

"Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain, katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.

Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasullullah bersabda: Sesungguhnya solat berjemaah adalah 27 kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian. (Riwayat Imam Malik, Bukhari dan Muslim).

"Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

"Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,"katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.

Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.

Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

"Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,"katanya.

Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.

Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.

"Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,"katanya.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit

Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

"Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus," katanya.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.

Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.-end-

(Artikel ini dipetik daripada tulisan Ziauddin Sharuddin dalam laman web berita harian, untuk panduan dan rujukan umat Islam berhubung manfaat dan fadhilat solat )


Tips elak Histeria: Haron Din saran amal Muawizat


Petikan dari Harakahdaily:

Kejadian histeria adalah fenomena yang sering berlaku di sekolah-sekolah berasrama penuh yang perlu diambil perhatian oleh pelbagai pihak di samping mengamalkan beberapa kaedah, amalan dan doa tertentu bagi mengatasi gejala terbabit.

Bagi menghindari kejadian histeria atau rasuk akibat gangguan makhluk halus berulang di kalangan para pelajar sekolah asrama mahupun orang awam, salah satu amalan dan petua yang sebaiknya diamalkan ialah Muawizat.

Muawizat adalah surah-surah yang terdiri daripada surah al-Ikhlas,al-Falaq dan an-Nas yang dibaca setiap hari baik sebelah pagi atau pada sebelah malam, selain hadis sahih Rasulullah s.a.w menyebut ayatul Qursi juga turut dibaca bagi menghindari kejahatan dan gangguan makhluk halus.

Demikian saranan Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din ketika diminta mengulas berhubung kejadian histeria di sekolah-sekolah yang terpaksa ditutup akibat kejadian Histeria.

Beliau turut menjelaskan beberapa punca yang menyebabkan terjadinya kerasukan di kalangan para pelajar antaranya ialah berlaku 'breakdown' pada perasaan atau jiwa seseorang disebabkan tekanan (tension) belajar yang terlalu tinggi di samping kelemahan seseorang mengalami emosi ketakutan yang bersangatan sehingga memudahkan gejala makhluk halus mengganggu hingga terjadinya histeria.

"Ketakburan juga boleh menyebabkan histeria iaitu berani yang terlampau sehingga mengganggu atau mencabar tempat-tempat yang dipercayai ada makhluk halus," katanya yang kini berada di Langkawi ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

"Selain itu, akibat manusia yang menceroboh kawasan 'mereka' hingga mereka datang 'membalas' pula.

"Dan fenomena ini tidak hanya berlaku di sekolah-sekolah agama, sekolah biasa atau berasrama penuh sahaja tetapi juga banyak terjadi di kilang-kilang serta tempat orang berkenduri kendara," kata pengamal perubatan Islam itu.

'Pindahkan' makhluk halus ke kawasan lain

Ini menjelaskan lagi katanya bahawa dunia ini tidak didiami oleh manusia sahaja malah turut dihuni oleh makhluk-mahkluk lain juga yang dikenali dengan pelbagai nama dan oleh yang demikian manusia sewajarnya tidak sewenang-wenangnya menceroboh kawasan 'mereka' atau lebih baik lagi berdoa kepada Allah SWT supaya dihindari dari gangguan jin syaitan mahupun makhluk halus.

"Sebaik-baiknya sebelum buat bangunan atau sekolah di satu-satu kawasan, perlu berdoa terlebih dahulu supaya dilindungi ataupun 'memindahkan' makhluk tersebut ke kawasan yang lain," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Rasullulah juga turut berdoa kepada Allah agar dilindungi daripada diganggu oleh makhluk yang mendiami alam ghaib ini.

Doa tersebut katanya berbunyi begini: "Wahai bumi, tuhanku dan tuhanmu sama iaitu Allah, aku mohon perlindungan Allah daripada kejahatanmu dan kejahatan yang keluar darimu, dan kejahatan yang turun atasmu, kejahatan yang melata atasmu seperti binatang berbisa dan mahkluk halus yang mendiami tempat ini serta keturunan-keturunan mereka."


Sunday, March 01, 2009

Iya ke ? Boleh jadikah begitu ?

Kelmarin saya berjumpa seketika dengan pelajar Shasha (bukan nama sebenar) di bandar, yang kini menuntut di sebuah IPTA di Pantai Timur ini . Lagak tomboynya semakin berkurangan. Sudah nampak semakin feminin sekarang. Berjumpa seketika dengan Shasha, telah mengingatkan saya kepada suatu kisah dirinya sewaktu menghuni di asrama puteri pada tahun 2005 yang lalu.

Shasha seorang pelajar Tingkatan Empat pada waktu itu, seorang yang cerdik tetapi selamba orangnya. Shasha seorang yang jarang mahu berjumpa dengan saya, akhirnya datang juga menemui saya di bilik saya pada waktu rehat sekolah. Pada mulanya dia bertanya khabar saya dan bersembang. Saya melayan seperti biasa sembangnya itu sambil melakukan kerja-kerja saya.

Tiba-tiba Shasha bertanya saya " Sir, saya nak minta pandanga sedikit boleh tak sir ?",

"Tentang apa ?", tanya saya kembali.

"Sir jangan gelak pulak !" pinta Shasha.

Shasha memberitahu saya, dua tiga malam ini, tidurnya sentiasa diganggu di asrama puteri. Sampai kadang-kadang katanya , dia tidak boleh tidur.

Saya bertanya Shasha, macam mana bentuk gangguan tersebut. Dia memberitahu saya sewaktu dia mahu tidur macam ada sesuatu akan tidur disebelahnya ! Tercengang saya mendengar cerita Shasha. Ya ke budak ni atau dia sedang berimajinasi.

Saya tanya Shasha, bagaimana mana dia tahu macam ada orang tidur sebelah dia ?

"Laa...sir ni, badan saya ni terasa teralih, tergerak ke tepi katil macam ada orang langgar lah," jawab Shasha sambil melihat muka saya yang suspen. Budak ni biar betul !

"Malam tadi pun kena lagi.... tu yang saya datang tanya sir ni nak buat macam mana ?".

Macamlah saya ni tok bomoh ! Saya ni seorang yang agak penakut dengan benda-benda begini terasa seram juga sewaktu Shasha bercerita. Kenapalah budak ni tanya aku, kata hati.

Saya tak tahu sama ada Shasha serius minta tolong saya atau Shasha sahaja hendak bercerita dan menduga saya.

Sambil berlagak, bahawa apa yang berlaku kepada Shasha itu perkara kecil sahaja, saya secara spontan sambil berlawak mencadangkan Shasha buat sesuatu kalau-kalau malam nanti dia diganggu lagi. Oleh kerana Shasha ini seorang pelajar yang cerdik tetapi selamba maka saya pun mencadangkan idea berbentuk selamba juga !

Saya bagi tahu Shasha, " Sha, malam nanti kalau Sha diganggu lagi Sha cakap macam ni kat penggganggu Sha tu, "Eh engkau ni apa ni, engkau ni lelaki ke perempuan ? Kalau kau perempuan tidurlah elok-elok, janganlah ganas macam ni sampai teralih aku. Perempuan tak baik tidur lasak-lasak macam ni tau tak. Kalau engkau ni lelaki ...engkau tahu tak aku ni perempuan, mana boleh tidur sebelah perempuan bukan muhrim berdosa tau ! Pergi lah tidur tempat engkau!" , nanti Sha cakap macam tu tau!"

Itu cadangan saya kepada budak Shasha tu. Shasha semacam tercengang dengan cadangan saya sambil dahinya berkerut. Walaupun begitu Shasha seorang yang suka mencuba dan dia memberi jaminan kepada saya akan cuba melakukan cadangan saya itu.

Saya tidak berjumpa Shasha selamat empat hari kerana kesibukan saya dan Shasha pun sibuk dengan kelas dan aktivitinya yang agak padat. Pada hari Jumaat minggu berikutnya Shasha muncul di tepi tingkap bilik saya dalam perjalanan ke makmal kimia.

"Sir, hebatlah sir, menjadilah sir. Saya cakap apa yang sir ajar tu, saya dah tak kena ganggu lagi. Wah faham juga benda tu dengan cakap kita ye sir ?" kata Shasha tersenyum sambil tangan kanannya menumbuk tapak tangan kirinya.

Mendengar pemberitahuan Shasha itu saya tercengang. Berkali-kali saya bertanya Shasha, seriuskah dia dengan apa yang dia cakap ni.

"Iya sir!" akui Shasha.

Dalam keadaan hendak percaya atau tidak, saya terus berfikir bahawa kata-kata yang bertujuan lawak dulu itu rupa-rupanya diambil serius oleh spesis pengganggu itu. Bagus juga, selamat pelajar aku !

Sampai kini saya tertanya-tanya , boleh jadikah begitu ?