Saturday, October 11, 2008

Sudah makan tapi belum kenyang.


Ini masalah sebenarnya. Mungkin ramai yang begini. Sudah makan tapi belum kenyang. Pelik, tapi itulah hakikatnya yang berlaku. Mengapa ya ?


Para sahabat pernah berjumpa Rasulullah s.a.w. dan bertanya masalah tersebut. " Ya Rasulullah s.a.w., sesungguhnya kami telah makan tetapi kami tidak berasa kenyang.". Rasulullah s.a.w bertanya pula kepada para sahabat yang bertanya tadi, " Adakah kamu makan secara berasingan ( bersendirian) ?". Para sahabat menjawab, "Ya!". Tambah Rasulullah: " Makanlah bersama-sama dan sebutlah nama Allah ( membaca basmallah ), pasti kamu akan diberkati". (Riwayat Abu Daud).


Apabila sudah makan tapi tidak berasa kenyang, maka kita akan makan lagi sampai rasa betul-betul kenyang. Makan hingga menjadi terlampau kenyang tidak ubah seperti ular sawa. Dari segi kesihatan pun banyak mudharatnya, apatah lagi dari segi agama. Untuk mengatasi masalah ini, Rasullah telah memberi nasihat yang wajib kita patuhi dan ikuti.


Dalam hadith di atas, Rasulullah s.a.w. menekankan dua perkara iaitu makan secara berjemaah atau berteman dan sebulum hendak makan jangan lupa membaca basmallah.


Sesungguhnya makan secara berjemaah sama ada dengan keluarga atau para sahabat akan menimbulkan rasa tenang, santai dan gembira. Ia pastinya berbeza dengan makan bersendirian yang biasanya murung, sedih dan mungkin makan itu adalah akibat dari rasa bosan yang mendalam. Oleh itu betapa penting rasa tenang, seronok dan tertib sewaktu makan dan makanan yang dimakan akan dapat dihadam secara sempurna dalam tubuh. Hasilnya akan dapat menikmati makanan dan akan berasa kenyang. Maka di sinilah akan lahir keberkatan rezeki yang dijamah akibat dari makan secara berjemaah itu.


Manakala memulakan sesuatu dengan mengingati Allah atau membaca basmallah adalah dituntut dalam semua pekerjan apatah lagi sewaktu hendak makan. Sesuatu makanan yang halal dan dari sumber yang halal dengan amalan membaca basmallah akan sentiasa diberkati Allah.


Kesimpulannya amalkanlah budaya makan secara berjemaah sama ada di rumah atau di tempat kerja dan jangan gopoh hingga terlupa amalan membaca basmallah sebelum hendak menjamah rezeki yang Allah kurnia. Insya-Allah dengan budaya dan amalan seperti ini, makan kita akan tetap kita rasa kenyang dan nikmat, walau pun makan hanya sedikit.


No comments: