Sejak setahun dua ini, kelihatannya persoalan yuran sekolah dan bayaran tambahan ini, yang tidak pernah pun menjadi isu sebelum-sebelum ini menjadi kelam kabut sedikit. Kelam kabut dan tidak menentu kepada banyak pihak.
Majoriti ibubapa yang tidak pernah bermasalah membayar yuran, kelam-kabut dan bingung dengan apa yang berlaku. Pada hari pertama sekolah sesi 2009, ibubapa dari kumpulan yang tidak tahu apa-apa yang berlaku, dan dari kumpulan yang tahu pun tetap hendak membuat dasar sendiri, hendak bayar jugak. Pihak sekolah tak mahu ambil jugak!
Sudahnya mereka pelik dan bingung kenapa pihak sekolah tidak mahu terima bayaran mereka. Hinggakan salah seorang penjaga sewaktu berbual dengan saya memberitahu , " Duit saya ni bukan duit Jepun cikgu !"
Ramai juga orang mengambil kesempatan untuk tidak mahu membuat pembayaran langsung atas alasan tidak mampu ! Pihak sekolah terkedu untuk beberapa ketika !
Akhirnya, saya sebagai salah seorang guru tertanya-tanya sendiri, kenapa benda yang tidak pernah menjadi isu nasional pun semenjak 25 tahun saya menjadi guru, akhirnya menjadi haru biru?
Semoga pembayaran persekolahan sesi 2010 kembali tenang dan lancar!
KUALA LUMPUR 2 Dis. - Kementerian Pelajaran akan mengenakan bayaran tambahan kepada pelajar bagi sesi persekolahan tahun depan.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, berbeza dengan yuran persekolahan, bayaran tambahan tersebut akan digunakan untuk manfaat para pelajar.
Menurut beliau, yuran persekolahan pula akan digunakan untuk menampung hal ehwal pentadbiran sekolah serta penambahbaikan beberapa kemudahan yang disediakan.
Katanya, jumlah bayaran tambahan itu akan diumumkan kelak dan ia boleh dibayar ketika sesi persekolahan bermula.
"Bayaran tersebut tidak akan membebankan ibu bapa dan para pelajar. Ia juga akan digunakan untuk kemudahan dan aktiviti mereka.
"Sebagai contoh, duit yuran tambahan itu akan digunakan sebagai insurans dan untuk menjayakan aktiviti kurikulum pelajar sepanjang sesi persekolahan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas hasil perbincangan Mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2010 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Dalam pada itu, Alimuddin berkata, mesyuarat itu kebiasaannya akan diadakan setiap hujung tahun bagi meneliti persiapan persekolahan serta menangani pelbagai isu yang timbul sebelum bermulanya sesi persekolahan baru.
"Dalam mesyuarat tersebut, apa jua perkara berbangkit seperti infrastruktur, perabot, peralatan dan jumlah guru akan diperbincangkan.
"Ini bertujuan agar para pelajar dapat mengikuti sesi persekolahan dalam keadaan selesa serta memastikan segala kemudahan yang disediakan berada dalam keadaanbaik," jelasnya.
Sesi persekolahan baru bermula pada 3 dan 4 Januari ini.
No comments:
Post a Comment