Tuesday, May 24, 2011

Mengarahkan minda bawah sedar


Sekali lagi kesibukan menjadi kekangan untuk menulis di blog ini setiap hari. Namun jika diikut kesibukan mungkin blog ini tak akan dibuka lagi. Ruang yang ada ini perlu digunakan untuk terus menyumbang kepada mereka yang ingin mencapai impian hidup.

Kita bercakap kepada diri sendiri pada kadar kira-kira 500 hingga 600 patah perkataan seminit sama ada waktu tidur atau jaga, sejak dilahirkan hinggalah kita meninggal dunia. Oleh yang demikian berhati-hatilah tentang apa yang kita cakapkan kerana pada akhirnya kita akan menjadi sepertimana yang kita cakapkan.

Seperti komputer, apa yang dimasukkan ke dalamnya, maka itulah yang akan keluar. Jadi sekiranya kita menggunakan apa yang kita tahu tentang minda kita untuk memperbaiki kebolehan kita, mempertingkat harga diri kita dan mencipta imej diri yang baru dan positif, maka kita perlu memahami bagaimana caranya untuk mengarahkan minda bawah sedar kita.

Minda bawah sedar kita umpama sebuah komputer. Ia adalah bank data. Kita masukkan bahan ke dalamnya secara sedar ataupun tidak. Ini kita lakukan melalui percakapan diri dan imej mental kita.

Tuesday, May 17, 2011

Sambutan Hari Guru di SMK Seri Rompin

Masih belum terlambat buat semua guru; Selamat Hari Guru!. Semalam SMK Seri Rompin turut mengadakan sambutan hari guru. Suasana cukup meriah. Pelbagai acara mengenang jasa bakti guru dipersembahkan. Tahniah buat semua.

Aku masih belum mampu untuk menjawab sms ucapan hari guru daripada para sahabat, bekas pelajar dan para pelajar sendiri. Cuba juga menjawab dua tiga sms sebelum bersarapan pagi ini tapi masih tak mampu untuk mengucapkan terima kasih kepada semua. Bermula pukul 12 tengah malam kelmarin sms ucapan hari guru mula masuk. Ada satu ketika keluar pemberitahuan dari henfon buruk aku bahawa kotak mesej penuh, maka terpaksa aku memadamkan sebahagian untuk membuka laluan masuk sms seterusnya. Terima kasih kepada semua!

Aku juga ingin merakamkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tuan Pengetua, semua rakan guru dan para pelajar di SMK Seri Rompin di atas anugerah khas guru kepada aku sempena sambutan hari guru SMK Seri Rompin pada tahun ini. Sesungguhnya anugerah seumpama itu adalah untuk kita semua para guru di SMK Seri Rompin. Tanpa kerja berpasukan tidak akan wujud jasa individu!

Terima kasih dan Selamat Hari Guru!


Wednesday, May 11, 2011

Bina azam yang padu

Awasilah pemikiran negatif dan jangan jadikan diri kita sebahagian daripadanya. Perkara ini mungkin sukar untuk dilakukan, tidak semudah kita bercakap mahu melakukannya tetapi keazaman untuk berubah menjauhkan diri daripada yang negatif menjadi keutamaan perubahan positif itu.

Sekali lagi diingatkan tumpukan minda dan percakaran diri kepada elemen "aku boleh", "aku akan", "aku harus" dan bukannya "aku tidak boleh", "aku tidak akan", atau "aku tidak mungkin boleh melakukannya".

Sekerap yang mungkin jadikan keinginan kita, azam yang padu dan berkesan. Perteguhkan di hati kita apa yang ingin kita capai dan buangkan apa yang kita tidak ingini.

Monday, May 09, 2011

Jangan khianati diri sendiri

Kita perlu meletakkan nilai yang lebih tinggi terhadap diri kita. Keyakinan diri kita dikhianati apabila kita menyalahi label diri kita dan juga diri orang lain. Setiap kali kita mengamalkan pola pemikiran yang merugikan diri sendiri, maka kita mencipta lebih banyak masalah.

Mereka yang mempunyai harga diri yang rendah seringkali terdorong untuk merendahkan kemampuan sendiri dan seterusnya mengurangkan prestasi sendiri. Percakapan diri mereka lebih kepada berbunyi begini: " Aku tidak berjaya melaksanakan perjuangan ini dengan jayanya; aku selalu menghadapi masalah untuk menyempurnakan apa yangpatut disempurnakan; aku akan cuba tetapi aku tahu yang aku tidak ada akan mampu; orang lain tidak mengalami kegagalan seperti aku; bukan aku tak mahu tapi kerja yang diberitakan itu susah!".

Apa yang perlu dilakukan ialah menterbalikkan pemikiran tersebut. Tukar "aku tidak boleh" kepada "aku boleh". Tukar "aku tidak akan" kepada "aku akan". Selalulah bercakap kepada diri kita melalui bisikan hati seolah-olah kita memiliki kejayaan yang menjadi impian kita itu. Jika tidak, kita tidak akan ke mana!

Saturday, May 07, 2011

Selamat hari ibu.

Setelah cukup tempoh dikandung, akhirnya dilahirkan, di rumah atau di hospital, cara biasa atau dibedah.

Kemudian dibesarkan siang dan malam. Diawasi dari segala yang menganggu baik agas mahupun nyamuk. Kadang-kadang bersengkang mata demi membelai dengan penuh kasih sayang.

Pembesaran berterusan. Kesihatan dijaga. Inilah kaca inilah berlian inilah harapan. Inilah segala-galanya.

Kini kitatelah dewasa dan menjadi orang kerana dia. Menjadi kebanggaan dia. Menjadi buah percakapan dan pujian dia. Bangga sungguh dia pada kita.

Apakah kita masih terlalu sibuk untuk ingatkan dia? Apakah kita sering sibuk untuk balik menjenguk dia? Apakah kita masih berkira untuk hantar belanja buat dia, sedangkan minyak kereta kita ke hulu kehilir bersama anak isteri, kita tidak ambil kira. Untuk dia kita berkira. Betulkah kita, tunggu hari ibu baru ada masa untuk ingatkan ibu? Jika bukan hari ibu, kami sibuk ibu!

Kepada yang masih ada ibu, ingatlah insan besar yang melahirkan kita, jagailah ibu. Selamat hari ibu terutama buat ibu kepada anak-anak ku.


Thursday, May 05, 2011

Kemasukan dan Pendaftaran Pra-universiti Tingkatan 6 pada 9hb Mei 2011

Kepada para pelajar SPM 2010 yang berhasrat memasuki ke Tingkatan Enam mungkin sudah menyemak status masing-masing di laman web www.emoe.gov.my. Dalam laman tersebut para pelajar boleh menyemak sekolah Tingkatan Enam mereka. Pendaftaran masuk bermula pada 9 Mei 2011 (Isnin).

Pada waktu ini mungkin terdapat sebahagian besar pelajar yang tidak terpilih ke matrikulasi mula merasakan mereka kononnya berada di dalam kumpulan pelajar yang gagal! Ini adalah satu pandangan atau andaian yang sangat negatif malah jauh dari kebenaran.

Sama ada ke matrikulasi, Tingkatan 6 mahupun ke program diploma semuanya ada kelebihian dan kekurangan yang tersendiri. Pokoknya ialah walau di mana pun belajar, tanya diri sendiri mahu berjaya atau tidak? Sesungguhnya kejayaan ada di mana-mana termasuk melalui Tingkatan Enam.

Terdapat segelintir pelajar memberi alasan yang remeh terutama dalam kalangan para pelajar berbangsa Melayu iatu sudah boring pakai baju sekolah maka mereka lebih rela belajar di IPTS yang kadang-kadang entah apa-apa atau memasuki program diploma yang tiada nilai pasaran kerja langsung!

Hakikatnya kejayaan ada di mana-mana. Isu utama kita ialah sikap dan penyakit malas berusaha terlaku berkerak dalam perangai dan cara belajar kita. Ingat dalam mencapai impian hidup kita, no pain no gain!

Selamat membuat pilihan yang tepat!

Tuesday, May 03, 2011

Gunakan peluang membina imej diri

Kita mengubah imej diri dengan memahami bahawa ia merupakan keyakinan yang tertanam di dalam diri kita bahawa kita adalah seorang manusia yang bernilai, patut dikenali, patut disayangi dan patut dihormati.

Semasa kecil, kita mengenali diri kita melalui ajaran, sikap dan tindak balas ibu bapa kita serta orang lain dan walaupun kebanyakan pengaruh ini mungkin tidak tepat, kita tetap membawanya hingga ke alam dewasa sebagai sesuatu yang betul.

Apabila usia kita semakin meningkat, kita mendapat aset yang sangat bernilai, sesuatu yang tidak kita perolehi semasa kita masih kanak-kanak. Aset berkenaan ialah kemampuan kita untuk mencipta dan membina semula imej dan harga diri kita.