Sebaik keputusan STPM dan SPM diumumkan maka banyaklah pertanyaan diterima dari para pelajar yang sedang berusaha memohon melanjutkan pelajaran ke IPT. Ada yang telefon, ada yang sms dan ada yang datang berjumpa dan berbincang.
Pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang bertanya dan berbincang untuk lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Mereka yang mendapat keputusan cukup makan berbincang untuk meneruskan nadi perjuangan. Semuanya mengharapkan sesuatu yang meyakinkan masa depan.
Soalan yang sering diajukan antaranya ialah, kursus apa yang sesuai ? kursus mana yang mudah dapat kerja? kursus mana mempunyai masa depan? kalau saya memohon kursus ini macam mana? kalau pula memohon kursus itu bagaimana ? Semuanya bertanya dengan penuh harapan untuk kursus yang boleh memberikan peluang pekerjaan terutama kerja dengan kerajaan !
Sebagai seorang guru, kadang-kadang susah juga hendak memberi panduan yang mampu membantu mereka. Semuanya berjaya dan semuanya cemerlang. Arus persaingan kuat berlegar di kalangan yang cemerlang. Yang tidak mencapai tahap cemerlang pasti akan terkial-kial dan mungkin kelemasan dalam persaingan yang ganas itu!
Sesunguhnya zaman sekarang, zaman yang serba tidak boleh diduga. Bagaimana saya mahu memberi panduan kepada para pelajar saya, sedangkan ramai graduan yang telah tamat belajar mempunyai diploma dan ijazah lagi, masih tidak mendapat pekerjaan atau masih tidak mempunyai kerja tetap ?
Kepada ramai pelajar yang mendapat keputusan bertahap berjaya tetapi bukan cemerlang, saya sering mencadangkan, mereka mengambil kursus kemahiran seperti Sijil Kemahiran Malaysia tetapi mentaliti sebahagian pelajar ini, keluarga dan masyarakat kita menganggap kursus kemahiran ini adalah untuk mereka yang tidak mendapat keputusan baik, mereka yang gagal PMR atau mungkin merasakan kursus kemahiran tidak glamour, tidak bertaraf graduan universiti ! Oleh kerana itu apabila cadangan mengambil kursus kemahiran yang dilontarkan kepada mereka, ramai menunjukkan sikap tidak berminat dan leceh.
Pengalaman peribadi saya sendiri sebagai seorang bapa, saya bersama isteri telah membuat keputusan menghantar anak keempat saya untuk mengikuti kursus SKM walaupun anak saya itu memperolehi 5 kepujian dan 3 lulus dalam SPMnya. Dia terlalu layak untuk menduduki Tingkatan Enam Kemanusiaan atau melanjutkan pengajiannya di mana-mana IPT. Namun kami tidak meletakkan anak kami itu di tempat yang tidak memberi masa depan buat dirinya.
Dia bermula dengan SKM1, SKM2, SKM3 dan hari ini dia telah berada di SKM4 yang bertaraf diploma. Dia berazam paling kurang, untuk terus pengajian SKMnya hingga ke tahap SKM6 bertaraf ijazah sarjana muda katanya. Saya dan isteri sangat yakin bahawa anak saya itu akan berjaya sampai ke tahap yang dia azamkan. Bayangkan diketika usianya semuda itu dia telah menguasai kemahiran yang cukup tinggi dalam bidang rekaan dan fesyen di saat-saat rakannya masih bergelut sakan di Tingkatan Enam!
Kepada para pelajar yang datang menemui saya, saya memberitahu mereka sebagai motivasi dan untuk membuka minda mereka, untuk anak saya itu, saya tidak bimbang soal pekerjaan setelah dia tamat SKMnya nanti. Jika dia terus menunjukkan prestasi yang baik dia mungkin mampu mempunyai pekerjaan tetap sebaliknya jika tidak, dia hanya memerlukan sedikit kursus perniagaan untuk mencari rezeki dengan bekerja sendiri.
Ramai yang mendengar pandangan saya namun ramai juga yang lebih berminat ke IPT untuk mengikuti kursus-kursus yang saya tidak yakin langsung memberi masa depan yang cerah buat mereka. Namun ada juga seorang dua yang tertarik dan bertindak.
Sesungguhnya dunia dan kehidupan hari ini tegar dengan cabaran yang hebat kepada generasi muda kita jika alang-alang mereka bertindak untuk masa depan mereka. Oleh yang demikian satu usaha yang lebih aggresif adalah perlu untuk melahirkan para pelajar yang mempunyai kemahiran tinggi jika pihak kerajaan bukan lagi tempat mendapatkan pekerjaan.
No comments:
Post a Comment