Wednesday, February 03, 2010

Kejayaan manusia.

Siapakah manusia yang pernah mendapat markah paling tinggi dalam ujian IQ? Adakah beliau seorang lelaki? Mungkinkah lelaki itu saintis paling terkenal zaman ini, iaitu Albert Einstein?

Tidak ! Dia bukan seorang lelaki. Manusia yang paling tinggi IQnya dalam rekod dunia ialah seorang perempuan. Namanya Marilyn Mach Vos Savant. Beliau lahir di St. Louis Amerika Syarikat pada tahun 1946. Sewaktu beliau berusia 10 tahun dan masih belajar di sekolah rendah, beliau mengambil ujian IQ Stanford-Binet dan mendapat markah 230. Berapa tinggi IQ 230 ?

Dalam ujian Stanford-Binet, markah 100 ialah purata. Kalau saudara mengambil ujian ini dan saudara mendapat 116, saudara sudah termasuk dalam golongan 16 peratus manusia terpintar. Bayangkan, Marilyn mendapat markah dua kali ganda lebih tinggi daripada saudara. Orang kedua yang paling tinggi markahnya mendapat 200. Jadi IQ Marilyn tidak ada tolok bandingnya. Marilyn tidak memegang sebarang ijazah universiti tetapi dalam masa 2 tahun sahaja beliau sudah berjaya menamatkan kursus di Universiti Washington dan St. Louis Community College.

Ayahnya bernama Ernst Mach. Beliau berketurunan Austria dan beliau seorang ahli falsafah serta seorang doktor perubatan. Beliau juga pelopor bidang fizik bunyi. minat semulajadi Marilyn ialah bidang penulisan kreatif dan beliau sudah menulis beberapa belas buku dan beberapa drama pentas. Beliau kini menulis ruangan pojok di sebuah akhbar dan memberi kuliah berkenaan kepintaran. Kini beliau menetap di New York bersama suaminya.

Dalam bidang perubatan sakit jantung, nama Dr. Robert Jarvick sangat terkenal. Beliaulah orang yang mencipta jantung tiruan Jarvick yang mengambil sempena namanya. Jantung tiruan ciptaannya adalah jantung tiruan pertama yang betul-betul dapat berfungsi. Ciptaan Dr. Jarvick itu kini membantu ramai pesakit-pesakit jantung yang tenat terus hidup sementara menanti adanya penderma jantung manusia sebenar. Dr. Jarvick diiktiraf sebagai seorang genius. Bagi mencipta jantung itu beliau menggabungkan pengetahuannya sebagi seorang pakar jantung dengan kepintarannya dalam bidang mekanik.

Kisah kejayaan Dr. Jarvick tidak seperti kisah Marilyn Mach Vos Savant. Kisah kejayaan Dr. Jarvick penuh dengan cerita-cerita kegagalan. Daripada ujian Stanford-Binet yang pernah diambilnya, IQ Dr. Jarvick didapati terlalu rendah. Beliau gagal dalam semua ujian masuk fakulti-fakulti perubatan di Amerika. Selepas gagal mendapat tempat belajar di universiti di Amerika beliau memohon masuk fakulti perubatan di Itali, barulah di sana beliau diterima, dan akhirnya beliau lulus sebagai seorang doktor perubatan. Secara kebetulan Dr. Jarvick ialah suami kepada Marilyn Mach Vos Savant-Jarvick. Elok juga kalau doktor itu belajar dengan isterinya cara-cara menjawab soalan ujian IQ sebab kalaulah dahulu dia pandai menjawabnya tentulah dia dapat masuk universiti di Amerika.

Seperti yang dialami oleh Dr. Jarvick, bagi menjadi seorang yang amat berjaya dan kreatif dalam kerjayanya, seseorang itu tidak perlu mendapat markah tinggi dalam ujian IQ. Ramai tokoh-tokoh yang sangat kreatif mempunyai ujian rekod IQ yang lemah sewaktu di sekolah. Dr. Jarvick bukanlah seorang yang terkecuali.

Di antara tokoh-tokoh lain yang seperti Dr. Jarvick ialah Thomas Edison. Guru sekolah rendah Edison pernah mengatakan beliau otak udang. Malah Edison tidak habis bersekolah. Sir Winston Churchill pun begitu juga di mana guru-guru di sekolahnya menyangka beliau budak bodoh. Guru matematik Albert Eistein pula mengatakan dia pelajar dungu!

Mari kita kembali ke negara kita sendiri. Sebagai seorang pelajar, Dr. Mahathir Mohamed gagal terpilih untuk diberi biasiswa melanjutkan pelajarannya keluar negara dan hanya mendapat tempat belajar di dalam negeri, waktu itu di Singapura dan berjaya lulus sebagai doktor perubatan.

Seorang tokoh cendekiawan Melayu yang luar biasa ialah Anwar Ibrahim. Semasa di sekolah beliau gagal memasuki aliran sains, dan seperti Dr. Matahir juga, beliau gagal terpilih belajar di luar negara, dan hanya belajar di Universiti Malaya, di situ pun beliau pernah mengulang setahun. Beliau menubuhkan sebuah persatuan belia yang paling berpengaruh di negara ini iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Persatuan ini sekarang mempunyai hampir 400 buah tadika dan sekolah di seluruh negara yang dikendalikan oleh ahli-ahli persatuan itu.

Sekadar menyebut satu lagi nama, barangkali tidak ada remaja Melayu yang tidak pernah menikmati kelazatan burger berjenama Ramly Burger. Kini En. Ramly bin Mokni ialah pengeluar burger yang terbesar di Malaysia dengan nilai jualan RM50 juta setahun. Beliau hanya setakat lulus sijil Pelajaran Malaysia dan tidak pernah memasuki mana-mana unversiti.

No comments: