Tuesday, September 20, 2011

Apa yang kita buat untuk diri kita adalah keputusan kita sendiri


Kehidupan sentiasa penuh dengan masalah yang berkaitan dengan masa, manakala masa pula sentiasa penuh dengan masalah kehidupan, kerana kedua-duanya adalah benda yang sama.

Sama ada kita dapat mengawal kehidupan kita atau tidak, ia sangat bergantung kepada sama ada kita mampu menggunakan masa kita dengan berkesan atau tidak.Ia adalah mengenai kemampuan kita mengawal dan memahami bahawa kehidupan ini akan menjadi sepertimana yang kita bentuk.

Hakikat bahawa kehidupan adalah sebenarnya penuh dengan kursus pembangunan diri secara sepenuh masa. Ia bukannya mengenai apa yang kita boleh jadi tetapi mengenai apa yang kita bersedia untuk jadi. Oleh yang demikian hati-hati, apa yang kita buat untuk diri kita adalah keputusan kita sendiri.

Monday, September 19, 2011

Masa tidak boleh diganti...


Masa tidak boleh diulang dan diganti. Ia adalah sekarang, ia segera, ia adalah hari ini ATAU tiada langsung! Hari ini adalah apa yang akan kita miliki pada hari ini juga. Semalam sudah berlalu untuk selama-lamanya. Esok sebenarnya tidak pernah menjelma.

Jadi, yang ada hanyalah hari ini ATAU kita tiada apa-apa langsung, tiada apa-apa pun!Masa bukanlah sesuatu yang anjal. Kita tidak boleh menarik masa menjadi panjang. Kita tidak boleh mencari masa!

Mengatakan kita boleh mencari masa adalah suatu pandangan yang salah. Satu-satunya pilihan yang ada bagi kita mengenai masa ialah bagaimana hendak menggunakan masa yang ada!

Wednesday, September 14, 2011

Masa adalah kehidupan


Masa adalah kehidupan. Seperti yang kita ketahui, masa kita bermula sejak kita dilahirkan dan menurut kepercayaan atau tabiat kehidupan, ia akan hilang daripada kita apabila kita meninggal dunia.

Masa dan fikiran adalah kehidupan dan apa yang ada bagi kita hanyalah kehidupan. Dengan izin dan dalam penguasaan ketentuan Allah, masa akan menentukan selama mana kita hidup, manakala fikiran pula menentukan kualitinya.

Sekiranya kita ingin mencapai kemenangan dalam hidup, kita perlu menerima hakikat bahawa masa dan fiikiran sebenarnya adalah kehidupan dan kehidupan ini berkisar antara dua penghujung ia itu kemenangan atau kekalahan. Tiada istilah seri bagi kehidupan ini!

Tuesday, September 13, 2011

Sentiasa bercakap positif


Percayalah, percakapan diri yang positif boleh membawa kepada imej diri yang positif, manakala imej diri yang positif sangat penting bagi menghasilkan prestasi yang tinggi.

Setiap apa yang kita lakukan bersama kawan-kawan dan sahabat kita, mestilah dapat mebina imej diri kita. Ini dapat dilakukan dengan paling berkesan dengan memiliki pandangan yang positif dan mengwujudkan persekitaran yang dapat menjadikan kita bersikap positif.

Sikap positif adalah sangat penting untuk menghadapi dan melepasi sebarang cabaran dan rintangan yang berada dalam laluan kembara ilmu dan perjuangan kita. Hanya orang yang positif akan berani berfikir untuk maju dan berada dipuncak kejayaan tanpa mencipta alasan demi alasan.

Monday, September 12, 2011

Cipta suasana memotivasi diri


Tidak terdapat sebarang rahsia sebenarnya tentang bagaimana motivasi berperanan. Sekiranya kita melihat apa yang dicapai oleh mereka yang berjaya dan cemerlang, kita akan dapati bahawa mereka yang mencapai kejayaan cemerlang "membuat apa yang mereka tahu".

Mereka yang kurang berjaya selalunya tahu, tetapi tidak membuat apa yang mereka tahu. Sekiranya kita melakukan sesuatu perkara yang memang kita tahu, kita akan mencipta satu suasana di mana kita akan mencapai tahap potensi diri kita yang lebih tinggi berbanding dengan sekiranya kita tidak membuat apa yang kita tahu.

Apakah asas yang perlu kita amalkan? Pertama kita patut faham bahawa semua motivasi sebenarnya adalah motivasi diri. Seseorang manusia itu mempunyai dua keadaan, sama ada dia mempunyai motivasi atau langsung tidak mempunyai motivasi. Langkah paling baik yang boleh kita lakukan untuk memudahkan terciptanya motivasi diri ialah dengan mencipta satu suasana di mana kita akan tergerak untuk memotivasikan diri kita sendiri.

Sunday, September 11, 2011

Berikan komitmen


Terdapat manusia yang berusaha dengan begitu gigih dalam menghadapi pelbagai rintangan sehingga mereka berjaya mencapai apa yang mereka impikan. Terdapat manusia yang mengalami pelbagai keperitan dalam perjuangan mereka yang menyebabkan orang yang rendah harga diri lemah untuk melalui jalan dan perjuangan seperti itu, lalu mengalah dan tidak cuba membuat apa-apa.

Sepatutnya jalan dan perjuangan getir itu menjadi sumber motivasi dalam mencapai kejayaan tetapi ia sebaliknya berlaku kepada mereka yang lemah jiwa. Sebenar tidak terdapat jalan tertentu untuk menang dan kalah apabila kita memperkatakan tentang motivasi diri. Apa yang menjadi titik terakhir bagi seseorang, menjadi titik permulaan bagi orang yang lain.

Yang penting ialah sikap sedar diri, fokus kepada matlamat dan sikap mahu atau pun tidak mahu. Itu sahaja faktor yang sewajarnya memotivasikan diri! Elakkan banyak memberi dan mencipta alasan. Alasan sentiasa ada jika dicari tetapi dalam kehidupan ini kita perlukan komitmen bukan alasan!



Saturday, September 03, 2011

Punyailah imej diri positif


Bagaimanakah kita dapat mencipta dalam diri kita daya penggerak untuk mengarahkan motivasi kita agar kita boleh mencapai apa yang kita impikan?

Bagaimanakah caranya untuk kita menguasai daya penggerak dan komitmen yang begitu penting untuk mencapai kejayaan dan bukannya mencipta daya penggerak yang menjadikan kita manusia yang biasa sahaja atau lebih teruk lagi manusia yang terlalu rendah pencapaiannya?

Apakah yang menjadi daya penggerak jangka panjang yang sentiasa mendorong kita untuk mencapai potensi diri kita? Jawabnya ialah kejayaan! Untuk benar-benar bermotivasi, ia itu bermotivasi sendiri, kita perlu mempunyai imej diri positif yang berasaskan kepada hasil pencapaian yang positif !