Thursday, October 09, 2008

Bila ada anggota tubuh bergerak-gerak...

Masih ada dalam kalangan generasi tua kita suka menghubungkan sesuatu kejadian sebagai suatu petanda atau alamat. Sejauh mana kebenarannya kita tidak tidak pasti. Cuma kita sangat pasti masyarakat lama kita, banyak meramal sesuatu melalui pemerhatian dan pengalaman yang mereka lalui. Sikap peka mereka sangat mengkagumkan. Mungkin di sebabkan banyak kebetulan yang berlaku mengakibatkan mereka mempercayai sesuatu kejadian sebagai suatu petanda atau alamat.

Di sini saya perturunkan beberapa petanda yang berkaitan dengan pergerakan tubuh kita. Maklumat ini boleh dijadikan bahan kajian atau sebagai pengetahuan dan bukan untuk dipercayai sebagai sesuatu yang sahih.

Pergerakan Tubuh - Alamat

1. Kelopak mata kanan bergerak - beroleh keamanan


2. Kelopak mata kiri bergerak - hendak melihat perempuan

3. Kelopak mata kiri bergerak dari atas - ada orang akan berjalan jauh

4. Kelopak mata kiri di bawah bergerak - ada orang hendak menangis

5. Ekor mata kanan bergerak-gerak - menerima kedatangan orang jauh

6. Ekor mata kiri bergerak-gerak - mendapat sedikit kepayahan

7. Biji mata kanan bergerak-gerak - akan menangis dalam bercinta

8. Biji mata kiri bergerak-gerak - gembira dihati

9. Umbun bergerak-gerak - berbahagia di hari itu

10. Kening kiri bergerak-gerak - beroleh kelapangan


11. Bibir bawah bergerak - akan menangis

12. Siku kanan bergerak-gerak - beroleh kebahagiaan

13. Siku kiri bergerak-gerak - orang yg mengasihi kita akan datang

14. Pelipis telinga bergerak-gerak - alami kebahagiaan

15. Telinga bergerak - akan berkelahi

16. Kepala bergerak - ada orang akan menyakiti hati kita

17. Kepala bergerak ke kiri - akan beroleh kebesaran

18. Bahu kanan bergerak-gerak - akan memperolehi harta

19. Bahu kiri bergerak-gerak - bakal berjumpa orang besar (VVIP)

20. Lengan kanan bergerak- gerak - akan sakit kepala

21. Lengan kiri bergerak-gerak - hendak dapat harta

22. Pipi kanan bergerak-gerak - alamat hendak sakit mata

23. Pipi kiri bergerak-gerak - alamat sentiasa bahagia.

Demikian. Bukan untuk dipercayai kerana segala-galanya di bawah kehendak Allah SWT.

Macam-macam !!!

Seorang lelaki menaiki sebuah bas lalu bertanya kepada pemandu bas tersebut, "Vang, vas nih fegi Ghongfeng ke ?" ( Bang, bas ni pergi ke Rompin ke?). Mendengar soalan itu, pemandu bas itu mendiamkan diri.

Marah kerana tidak dilayan, lelaki sengau itu serta merta turun dari bas sambil merungut, "Songfong!". Seorang lelaki lain yang berada di belakang tempat duduk pemandu yang melihat adegan itu, bertanya kepada pemandu bas. "Kenapa awak diam, kesian dia ?"

Pemandu itu menjawab, " Masham hana haya hak hawab, haya hung hengaa hugok, hanti hiya hata haya hehek hiya hulok!!!" ( Macam mana saya nak jawab, saya pun sengau juga, nanti dia kata saya ejek dia pulak !!!!)

Wednesday, October 08, 2008

Pertolongan di kemalangan maut

Saya baru sahaja membaca akhbar. Antara berita yang menarik perhatian saya ialah kemalangan jalan raya. Ops sikap ke 17 sudah masuk hari yang ke 13 semalam, nampaknya kemalangan jalan raya masih berlaku. Kadar kematian akibat kemalangan yang tinggi adalah pengguna motosikal. Diharap semua pemandu terutama pengguna motosikal lebih berhati-hati.

Melihat dan membayangkan anak-anak dan saudara mara mangsa kemalangan, bersedih dan ada yang menjadi yatim piatu, cukup mengharu dan menyedihkan. Lagi mengharukan apabila kita yang berada di tempat kejadian tidak mampu untuk membantu.
Tiga tahun yang lalu, saya sendiri pernah berpengalaman menyaksi dan menjadi antara orang yang terawal berada di tempat kemalangan maut. Pada satu kemalangan jalan raya antara Kota Tinggi - Mersing, saya menjadi orang nombor dua berada di tempat kemalangan. Saya terpaksa memberhentikan kereta saya kerana seorang pakcik yang berkupiah putih melambai-lambai ke arah saya, agaknya supaya membantunya mengeluarkan mangsa kemalangan. Saya yang cukup fobia dengan kemalangan terasa malu alah dengan pakcik tersebut dan terpaksalah memberhentikan kereta saya.

Meninggalkan isteri dan ibu di dalam kereta, saya bersama sepupu meluru ke tempat kemalangan. Melihat muka pemandu yang dengan lemah meminta tolong dan beraduh, berlumuran darah dan tersepit, membuatkan saya menjadi haru-biru seketika. Ya Tuhan...darah yang banyak keluar dari kepala, muka, hidung dan mulut cukup mengganggu saya. Tak tahu apa nak buat! Hanya mampu saya memberi tahu pemandu yang semakin lemah itu agar zikirkan nama Allah, jangan sebut aduh. Waktu itu juga terus bertukar sebutannya dari "aduh" kepada "Allah" dalam keadaan yang begitu lemah sekali. Tak lama selepas itu dia beraduh-aduh lagi. Saya ingatkan dia kembali agar menyebut kalimah Allah. Itulah yang mampu saya lakukan di samping berusaha dengan sepupu saya membuka pintu kereta yang kemek. Tak terbuka pun! Apabila saya menyedari pemandu-pemandu lain dan orang ramai telah ramai berkerumun untuk memberi pertolongan, saya mengambil kesempatan berundur dari lokasi.

Saya turun ke parit jalan untuk membasuh tangan saya yang terkena dan berbau darah. Rupanya dalam parit tersebut ada sebuah lagi kereta terlungkup. Saya ternampak seorang lelaki cina yang tidak cedera berusaha mengeluarkan seorang kanak-kanak perempuan dari keretanya. Saya datang membantu dan membawa kanak-kanak itu naik ke tepi jalan dan meminta isteri saya mengawasi anak itu. Saya rasa terharu dan sedih kerana anak kecil yang berusia dalam lingkungan 4 tahun itu, yang dipeluk oleh isteri saya, memeluk kembali dengan erat isteri saya sambil menangis dan memanggil "ma...ma...ma !!".

Saya turun kembali membantu lelaki yang sedang berusaha mengangkat isterinya yang terjelepok dalam air paras pinggang. Si suami minta tolong saya angkat. Saya kata, susah nak angkat berdua sebab isteri tuan mungkin patah. Dia terus mendesak, tak apa, tak apa kita angkat juga. Bersama lelaki cina itu, saya membantu mengangkat isterinya ke atas. Mak tuan....kesihan perempuan itu menjerit kesakitan waktu kami mengangkat.

Terfikir oleh saya kalau adalah anggota perempuan ini yang patah, maka akan lebih teruk patahnya, agaknya. Sekali lagi perempuan ini meraung apabila diangkat naik ke atas ambulan yang tak cukup ruang. Kesian ! Dan saya tidak tahu apa kesudahan yang berlaku kepada pemandu yang tersepit kerana saya sudah tidak sanggup berada di situ. Orang semakin ramai termasuk anggota polis, bomba dan ambulan. Saya meneruskan kembali perjalanan saya ke destinasi.

Sambil memandu saya terfikir betapa pentingnya orang ramai menguasai kemahiran pertolongan cemas. Ini adalah kerana dari pengalaman yang saya lalui, (sebagai seorang yang tidak tahu memberi pertolongan cemas), agaknya begitu ramai mangsa yang diberi pertolongan sewaktu kemalangan menjadi lebih parah kecederaannya atau boleh mengakibatkan maut, jika pertolongan cemas yang diberikan itu tidak betul atau salah. Dan adalah besar kemungkinan, kecederaan atau maut mampu dikurang atau dielak, jika sekiranya pertolongan cemas yang betul berjaya diberi.

Masalahnya, berdepan dengan situasi mendesak dan kritikal sedemikian, naluri ingin membantu kerana kesian atau kebimbangan mangsa menjadi lebih kritikal atau akan berlaku kematian, mendesak pertolongan yang terbaik dan termampu tanpa memikir tahu atau tidak memberi pertolongan cemas. Lebih memilukan ada juga yang bertembung dengan kemalangan seperti itu, terus cabut dari lokasi kemalangan. Kalau berhenti pasti ada orang akan minta tolong atau terpaksa memberi pertolongan. Anda bagaimana agaknya ?

Monday, October 06, 2008

Pengangkutan awam yang cekap untuk jarak dekat sangat diperlukan segera.

Semalam saya tidak menulis. Hari ini saya menulis tetapi cerita hari ini adalah cerita semalam. Saya ke Kuantan semalam kerana menghantar anak keempat saya pulang ke asrama. Memulakan perjalanan dari rumah lebih kurang dalam pukul 10 pagi, sempat singgah beraya di rumah sahabat lama. Sahabat dari darjah satu hingga darjah enam sewaktu belajar di SK Pontian. Begitu banyak cerita lama yang menjadi kenangan timbul kembali. Maklumlah lama tidak berjumpa.

Meneruskan perjalanan ke Kuantan bagaikan berkonvoi. Dari Rompin ke Kuantan berderet kereta, tidak kurang 15 hingga 20 buah. Begitu juga yang berselisih menuju ke arah selatan. Perjalanan balik dari kampung ke tempat kerja atau mungkin menghantar anak-anak ke asrama macam saya agaknya. Pemanduan begitu perlahan 80 hingga 90 kilometer sejam. Mak tuan mengantuknya..!!
Banyak sungguh kereta di jalan raya. Agak-agaknya setiap isi rumah di Malaysia sekarang bukan lagi ada sebuah kereta, tetapi sudah ada dua atau tiga buah kereta paling kurang. Jarang kelihatan rumah-rumah di pinggiran jalan raya, ada sebuah kereta sahaja di halaman. Kelihatan lebih dari tiga buah. Bayangkan keadaan pada masa akan datang dalam keadaan semua orang mampu membeli kereta, jalan raya pasti akan bertambah sesak. Pemanduan terpaksa bertambah perlahan dan pastilah semakin membosankan.

Untuk menghadapi keadaan ini, saya berpendapat pihak kerajaan perlu mengambil serius untuk memperbaiki kecekapan pengangkutan awam seperti teksi, bas, LRT, keretapi dan seumpamanya. LRT dan keretapi untuk perjalanan jarak dekat perlu di perluaskan keseluruh negara bukan setakat di Lembah Kelang sahaja. Perkhidmatan bas perlu lebih selesa dan lebih kerap sekerap 15 atau 20 minit sekali. Kalau di daerah Rompin ini perkhidmatan bas cukup tidak cekap. Untuk perjalanan dalam lingkungan 15 kilometer penumpang terpaksa menunggu satu jam atau mungkin lebih. Sungguh merugikan masa dalam keadaan kita perlu bergerak maju dalam semua bidang. Perkara ini perlu di atasi segera. Pada pemerhatian saya, perkhidmatan awam jarak dekat di seluruh kawasan dalam negara yang cekap, adalah lambang taraf sebuah negara yang telah mencapai tahap negara maju.

Saya sangat yakin jika pengangkutan awam yang pelbagai, cekap dan selesa dapat disediakan, ramai yang tidak mahu membawa kenderaan sendiri untuk ke destinasi terutama ke tempat kerja. Tetapi dengan tahap penegangkutan awam yang ada sekarang, kenderaan sendiri tetap menjadi satu keperluan kerana dengan menggunakan kenderaan sendiri kita lebih cekap dan produktif dalam menguruskan urusan kehidupan dan pekerjaan kita.
Nampaknya perancangan dan hasrat kerajaan sudah ada, cuma realiti belum dapat dirasai oleh rakyat di seluruh negara. Setelah 51 tahun merdeka, bilakah realiti akan menyeluruh ?

Saturday, October 04, 2008

Stressnya !!

Hari ini hari Sabtu. Esok Ahad dan lusa Isnin. Ada orang sudah mula bekerja esok, manakala sebahagian besarnya hari Isnin. Institusi sekolah juga akan beroperasi seperti biasa. Maka hari ini jalanraya akan kembali sesak sampai hari esok. Mereka yang memandu, ada di antaranya sudah mula rasa stress. Ada yang akan melakukan perjalanan pendek dan dekat tetapi cukup sibuk. Mereka yang akan meneruskan perjalanan panjang lagilah stress, tiada jalan alternatif yang boleh dikatakan aman dari kesibukan. Laluan manapun tetap sibuk. Stress sungguh.

Yang hendak mula bekerja pada hari esok atau lusa sudah memikirkan pejabat dan rutin tugasan di pejabat. Aktiviti berulang-alik ke tempat kerja saja sudah memenatkan. Berebut-rebut di waktu pagi dan tergesa-gesa sewaktu pulang. Anak-anak perlu dihantar ke rumah para pengasuh. Begitulah hari-hari. Harga petrol pula semacam tidak memberi kesan apa-apa terutama kepada harga barangan keperluan lain. Oh...stressnya !!

Guru-guru pula sudah mula sesak kembali dengan perancangan harian dan mungkin analisis peperiksaan yang belum siap. GPK Hem, kaunselor sekolah dan guru disiplin dah mula tension, apa pula perangai segelintir pelajar yang tak makan saman selepas hari raya ni. Stress tu !

Anak-anak pelajar yang hendak pulang ke asrama petang ini atau petang esok nampaknya menggeliat dan sering mengeluh panjang. Waktu prep, kerja sekolah, kelas tambahan dan latih tubi sudah berputar-putar dan 'berasap' di kepala. Fo yo...stresslah mak !! Sekurang-kurangnya cuti aidil fitri mampu menghilang stress sekejap. Esok atau lusa rutin kehidupan di asrama akan bermula kembali !

Calon-calon PMR ada dua kumpulan. Satu kumpulan cukup stress. Kumpulan ini kelihatannya ada dua kumpulan juga. Satu kumpulan stess - panik! Tak habis-habis garu kepala bila memikirkan PMR. Satu kumpulan lagi stress juga - tapi kelihatan tenang saja. PMR sudah semakin hampir. Prestasi menjawab di dalam dewan peperiksaan sangat penting.
Kumpulan besar yang kedua macam tidak stress langsung - aahh...tak kesah langsung PMR yang bakal tiba. Lulus - lulus, tak lulus- sudah !

Hari ini saya banyak memperkatakan tentang stress. Antara tanda-tanda stress yang perlu di atasi dua tiga hari ini oleh kita semua sebagai ketua keluarga, isteri, suami, pemandu, pekerja, guru-guru, pelajar dan sesiapa jugalah ialah ;
1. Kemurungan.

2. Marah.

3. Tindak balas yang melampau (mungkin terlampau gembira dan seronok sangat !)

4. Corak tidur terganggu dari kebiasaan

5. Sakit-sakit sendi atau otot-otot badan.

6. Terlampau letih ( mental atau fizikal).

7. Kemaruk merokok ( semakin banyak dan meningkat)

8. Kecelaruan seksual ( naluri seksual terganggu )

9. Cuba melakukan banyak perkara dalam satu masa.

Akhirnya, kita mungkin tidak boleh mengelak dari stress, tapi biarlah kita kembali kepada rutin kehidupan kita selepas aidil fitri ini dengan stress yang positif. Selamat maju jaya !!

Thursday, October 02, 2008

Masih beraya sakan...

Hari ini hari raya kedua, suasana aidil fitri masih terasa. Saya sudah menjadi orang tua dalam keluarga. Sejak dari semalam boleh tahan juga penat melayan tetamu. Esok masih ada yang telefon nak datang. Siap order teh o ais limau. Ada pelajar jemput pergi rumah makan nasi dagang. sir kena datang juga jangan tak datang. Nampaknya sebulan berpuasa berat badan turun tujuh kilo tetapi dua hari adil fitri naik tiga kilo.


Sms berjujuk-jujuk masuk. Macam-macam bunyi. Ada "kambing biri-biri naik lrt". Ada "anak monyet curi ketupat". Ada " katak pisang tercekik tulang". Macam-macam gaya kerana hendak sampaikan ucapan salam aidil fitri. Ada yang sempat dibalas ada yang tak sempat. Begitulah zaman ict ni. Apakah kad hari raya semakin kehilangan tempat ?

Di jalan raya kenderaan sibuk semula. Agaknya warganegara sedang bertukar tempat beraya pula. Hari raya pertama rumah mak engkau, raya kedua rumah mak aku lah pula. Baguslah tu, pakat elok-elok. Ada juga yang dah nak balik awal ke tempat kerja. Walau bagaimanapun berhati-hati memandu. Jangan ikut rentak orang, ikut rentak sendiri, sabar ! Sepatah kata Tun Mahathir, biar lambat asalkan sampai ke destinasi, jangan nak cepat akhirnya ke bilik mayat!

Kepada calon-calon PMR, nampaknya agak resah, apa tidaknya, seminggu naik sekolah PMR akan bermula. Tak mengapa, berayalah dulu tetapi jika ada masa terluang tengok-tengok juga nota. Jangan tinggal terus. Banyakkan buat solat hajat sendiri kat rumah sebelum masuk ke asrama hari Ahad ini. Paling penting di musim perayaan ini ialah jaga makan. Jangan kemaruk makan atau tersalah makan yang boleh mengakibatkan keracunan makanan, nanti sakit perut atau demam, pasti akan merudumkan prestasi di hari peperiksaan. Keadaan yang serupa juga harus diberi perhatian oleh calon-calon SPM.

Ada yang dah mula puasa sunat Shawal atau puasa enam. Puasa cepat, habis cepat. Ada yang tidak mahu puasa lagi kerana masih tak puas beraya. Ikutlah mana-mana pun boleh. Yang penting sebagai hamba Allah, kita harus lebih baik dari hari semalam. Jika begitu kita adalah termasuk dalam kalangan orang-orang yang beruntung.

Wednesday, October 01, 2008

Dipecat

Majikan : KAMU DIPECAT !!

Pekerja : Tapi encik, saya tak melakukan apa-apa encik !

Majikan : ITULAH SEBABNYA KAMU DIPECAT.....!!