Thursday, July 25, 2013

Bonus raya hanya dapat RM500, pucuk paku merah pun kena dibeli!

Sebaik terlihat pucuk paku merah dijual seikat-seikat, aku termenung sejenak memikirkan zaman sekarang ini nampaknya sayur-sayur hutan seperti ini pun perlu dibeli! 


Dahulu, kalau arwah ibu perlukan pucuk paku merah seumpama itu, arwah ibu hanya perlu ke belukar kecil di belakang rumah dan petiklah pucuk paku merah itu semahunya untuk diisi dalam bubur lembuk di bulan puasa seumpama ini! 

Hari ini aku tinggal ditapak rumah yang sama dengan rumah arwah ibu dan ayah dahulu tapi di belakang rumah sudah tidak ada lagi pokok pucuk paku merah, yang ada pokok sawit! Alahai!

Hari ini, kalau nak kan pucuk paku merah, aku terpaksa meninjau-ninjau di sekitar pasar tani. Kena beli woi! Kalau ada yang percuma pun hanya dalam belukar atau paya di tepi-tepi jalan raya yang sukar untuk dipetik. 

Dunia kian berubah dan kian jauh. Semua orang kena ada wang jika memerlukan sesuatu, yang dulu hanya percuma sahaja. 

Pendek kata semua orang kena jadi BERWANG. Tapi kali ini ramai jugak yang merungut, macam nak berwang, bonus raya pun hanya dapat RM500. Aku hanya diam!


Sunday, June 23, 2013

Semalam hari kenduri

Semalam hari kenduri. Dari pagi sampai malam pelbagai menu disediakan. Syukur alhamdulillah. Di sini aku hanya nak menyenaraikan menu jamuan yang dihidang!

Kenduri tahlil, sebelah pagi. Kami para tetamu dihidangkan dengan juadah menyelerakan. Pulut kuning, rendang ayam, ikan masin, laksa pahang dan kopi o kaw. Pilih sahaja untuk berlumba meningkatkan tahap kolestrol masing-masing!





Kenduri majlis pertunangan pada tengah hari. Wau...nasi putih berlaukkan ikan patin masak tempoyak! Ayam goreng rempah! Ikan masin pun ada jugak lagi! Pelbagai ulam-ulaman dan  sambal belacan. Ada pula kuih bakar dan bengka pulut lawan dengan teh ooo.... manis sangat! Belasah lagi....acara menaikkan tekanan darah dan gula! Huhuhu....




Kenduri masuk rumah baru pada sebelah malam, berjumpa pulak dengan nasi kerabu ayam bakar, keropok goreng, sambal ikan, buduuuuu.... dan yang paling mengecurkan air  liur ialah tumis belacan kaw-kaw...fuh! Mak tuan...berdenyut jantung diibuatnya!






Sampai rumah pukul 10.30 malam, tidur! Heh kalau amal selalu meeemang panjang umur jawabnya!!! Amal...amal...! Amaaal!!!

Friday, June 21, 2013

Jerebu kuat weh...sesak nafas!

Sejak dari pagi tadi, sebaik sampai di sekolah dalam pukul 6.50 pagi, aku terasa bahang panas. Menjelang pukul 7 pagi kelihatan para pelajar mula bergerak dari asrama. Aku lihat mereka bergerak ke sekolah dalam keadaan bagaikan diselubungi kabus pagi!


Bagi mereka yang tidak ambil kisah, mereka akan menyangkakan itu kabus pagi tetapi bagi mereka yang perasan dengan suasana yang membahang, panas dan terasa payah bernafas serta bau suasana yang berasap, mereka tahu itu adalah jerebu!

Aku terus memerhati para pelajarku menuju ke sekolah!

"Sir...pakai topeng!" terdengar suara dari atas!

Aku menoleh dan kelihatan seorang pelajar perempuan menegurku agar memakai topeng tutup mulut dan hidung. 

"Ok nanti beli", kataku sambil senyum kepadanya.

Memang waktu itu aku berdiri di tempat terbuka, tanpa memakai topeng. Memang terasa payah untuk bernafas pada waktu itu.

Agak lama aku berada di laluan itu, dalam suasana yang terbuka, terasa tidak tahan lagi kerana sudah mulai rasa perit tekak dan sedikit pening. Aku bersegera ke bilikku untuk minum sebotol kecil air mineral sambil menikmati suasana yang lebih nyaman!

Sejak dari semalam beberapa orang pelajarku mengadu panas dan sakit tekak. Aku menasihati mereka agak banyakkan minum air masak dan jangan berada di tempat terbuka.

"Sir, sir ada panadol tak?" seorang pelajar tingkatan 6 bawah tiba-tiba menerjah aku soalan itu sebaik aku masuk kelas pagi semalam. 

Dia kelihatan letih, terasa nak muntah dan katanya sukar hendak menelan. Demam! Aku meminta kawannya membawa dia ke bilik sakit untuk kemudiannya di bawa ke klinik berhampiran oleh guru bertugas bagi mendapat rawatan.

Begitulah suasana dua tiga hari ini. Jerebu terlalu kuat.

Sebelah petang selepas solat Jumaat aku ke Mersing, suasana sepanjang perjalanan pun diselubungi jerebu! Dari jauh, aku sempat melihat berapa orang sukarelawan parti DAP mengedar topeng kepada pemandu-pamandu dan orang ramai di bandar Mersing. Bagus juga usaha mereka itu, dapat menyedarkan orang ramai untuk menjaga kesihatan. 

Lantas aku memberhentikan kereta ku dihadapan sebuah farmasi, untuk isteri turun sebentar membeli topeng (mask). Esok aku pasti akan terdedah dengan jerebu lagi kerana aku terpaksa ke Kuantan untuk ke majlis pertunangan anak saudara sepupuku.

Kepada semua jagalah kesihatan, jerebu sedang melanda negara kita!

Sunday, June 16, 2013

Teh daun buluh!


Semasa zaman kanak-kanak dahulu, aku cukup takut meghampiri pokok buluh. Di kampung ku, pokok buluh begitu sinonim dengan tempat kediaman ular sawa! Kerap orang kampung terjumpa ular sawa belengkar dalam rimbunan buluh. Maka dengan sebab itulah dilarang kanak-kanak bermain dalam rimbunan buluh! Satu sebab lagi bimbang gatal-gatal (miang)!


Kadang-kadang aku terfikir sendiri, daripada pokok buluh itu, apakah yang boleh dimakan selain daripada rebungnya? Daun buluh boleh? Hiss.... miang ‘menggelaha’ (bahasa kampung) batang leher tapi sang kambing relek je 'mengulami' daun buluh!

Tidak pernah terdengar pula ada orang buat teh daun buluh. Kalau ada maka aku ketinggalan maklumatlah! Lainlah kalau masak lemak rebung buluh!

Rupa-rupanya, daun buluh memang banyak kegunaan dan memang boleh dibuat teh daun buluh! Ianya boleh dibuat ubat untuk membunuh cacing usus. Daun buluh kalau dididihkan boleh dijadikan teh dan katanya mempunyai rasa yang sedap apabila diminum!


Namun begitu tolong ambil perhatian! Tulisan ini bukan bertujuan mempromosi makanan dan minuman daripada batang buluh dan daunnya serta apa-apa yang berkaitan dengannya! Tiada langsung tujuan itu. 

Sebarang masalah dari sebarang percubaan minum teh daun buluh tiada kena mengena dengan tulisan ini dan sudah tentu aku tidak bertanggungjawab. Aku bukan pakar buluh! Sumber maklumat aku ialah buku: ‘Rasulullah is my Doctor’- Jerry D Gray, untuk hanya sebagai maklumat umum.  Rujuklah pada pakar buluh  jika nak minum teh daun buluh!

Saturday, June 15, 2013

A'ah ... siapa suruh jadi cikgu!

Dihujung-hujung perkhidmatan ini melihatkan guru-guru bekerja, kadang-kadang aku rasa tercungap-cungap juga. Menguruskan arahan pengurusan data disaat-saat akhir memang stress dibuatnya. 


Semua kerja perlu disegerakan, maka sibuklah masing-masing online sana-online sini! Waktu sekolah di waktu free online, waktu petang online, malam kat rumah online, dinihari pun online...tu dia! Syabas cikgu...eh sabar cikgu! Berkhidmat untuk negara!

Tak kisahlah online tu kerana sekarang bukan lagi zaman moden, zaman terlebih-lebih moden....zaman melampaui kemodenan! Orang dah tak main paper work lagi! Ketinggalan zaman! Semua perlu merealisasikan; semua maklumat dihujung jari!

Masalahnya coverage internet ya robbii!!! Harapkan hak sekolah, jawabnya banyaklah kerja yang tak dapat dionline

Sudahnya belilah broadband sendiri! Sambung lagi online kat rumah sambil berebut dengan anak-anak yang nak berFB dan berbagai!

Nak pasang wifi atau streamix, supaya sekeluarga boleh guna....pun coverage tak dapat! Kampunglah katakan! 

Orang di bandar bolehlah....senanglah online itu ini!

Sudahnya cikgu ke bandar, sewa bilik hotel...duduk sorang-sorang dalam bilik hotel, siapkan kerja yang perlu dionlinekan dengan kadar segera. Siapa tahu cikgu terpaksa bermalam di hotel? Kalau tidak, kerja tak siap, maka adalah yang serba sempurna, berleter, bodoh...tak pandai nak selesaikan masalah!

Nasiblah cikgu...siapa suruh jadi cikgu?


Monday, December 03, 2012

Keselesaan tubuh dan jiwa

Keselesaan tubuh kerana sedikit makan. Makan banyak membuat kita malas, kuat tidur, mudah dapat penyakit dan sebagainya. Sepatutnya makanan yang diambil mestilah berkadar dengan tugasan yang dibuat.

Makanan yang diambil juga perlu seimbang dan berzat. Adalah wajar kita tidak mengabaikan untuk memakan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Keselesaan jiwa kerana sedikit dosa. Jiwa yang hidup, jika membuat dosa akan terasa resah dan gelisah. Jika banyak melakukan kebajikan dan mengingati Allah, maka jiwa akan tenang. Walau bagaimanapun terdapat orang yang bergelumang dengan dosa tidak terasa apa-apa, malah bangga untuk memberitahu orang lain tentang keburukan yang dibuat.

Tuesday, October 23, 2012

Rakyat di bawah terus merungut!

Nampaknya kehidupan bagi kebanyakan orang menjadi semakin rumit sekarang. Di mana-mana aku mendengar rungutan mengenai semua benda menjadi mahal!

Seorang sahabat yang gemar roti canai merungut roti canai semakin mahal. Katanya dahlah mahal, saiz roti canai semakin mengecut! Kalau makan roti kosong katanya setakat dua keping tak rasa apa! Aku hanya tersenyum mendengar rungutan sambil dalam hati berkata, jangan makan roti canai banyak sangat nanti kena penyakit jantung dan kolestrol tinggi! Aku cakap begitu sebab itulah yang biasa aku dengar nasihat daripada para pemimpin kita!

Ada seorang sahabat pulak merungut, harga teh boleh naik sepuluh sen bila gula naik harga! 

"Melampau orang jual air ni, kalau gula naik 10 ke, 20 sen ke tak kan secawan teh jugak ikut naik sampai 10 sen! Secawan teh banyak mana sangat!" rungut nya.

Aku hanya mendiamkan diri sambil terus memberi nasihat senyap-senyap, jangan minum manis nanti kena kencing manis! Aku kata begitu sebab itulah nasihat yang sering diklankan dalam media!

Manakala seorang sahabat yang hendak pulang ke Kangar tiba-tiba merungut terkejut, "Hai, harga tambang bas pun dah naik? Tahun lepas aku rasa taklah harga sampai macam ni? Mahalnya!!!".

Dalam hati aku jugak memberi rasional yang popular dalam kalangan umum, biasalah kan harga minyak dunia naik, jadi harga minyak dalam negara tak bolehlah turun...maka tambang terpaksalah naik jugak!

Seorang sahabat yang juga kakitangan kerajaan pula merungut kerana gaji kasarnya RM5000 lebih sikit, isteri tak bekerja, tiga orang anak tinggal di asrama kena banyar yuran seorang RM3 lebih sehari! Bagai nak mampos aku tiap-tiap bulan nak bayar yuran asrama untuk 3 orang anak, leternya! 

Katanya "Kita nak tipu pendapatan tak boleh kerana ada penyata gaji, tapi kontraktor kaya-raya dan taukeh-taukeh, senang-senang buat surat pengesahan pendapatan RM800 sebulan maka bayarlah dia orang yuran asrama anak dia orang cuma seringgit lebih sehari! Teruk betullah sekarang ni!"

Begitulah antara rungutan harian yang sering menjadi bualan! Apa nak buat...terima je lah! Pada siapa nak mengadu lagi...terima je lah! Sampai bila? Entah!