Monday, October 31, 2011

Bagaimana kita menggunakan masa


Masa adalah kehidupan. Sekiranya kita tidak mampu menguasai masa, maka ia bererti kita tidak mampu menguasai kehidupan kita. Setelah kita menerima hakikat bahawa masa tidak boleh diurus tetapi hanya boleh digunakan, maka kita akan dapat menggunakan masa dengan lebih baik.

Fokuskan kepada hasil serta keberkesanan dan bukannya kepada proses dan kecekapan. Sekiranya kita sering menggunakan masa kita untuk menghasilkan pencapaian yang cemerlang maka kita telah menggunakan masa dengan sebaik-baiknya. Keberkesanan bererti melakukan sesuatu kerja itu dengan tepat. kebanyakan kita sangat cekap melakukan kerja yang silap untuk diri sendiri.

Tidak kiralah bagaimana pendapat kita tentang pengurusan masa, isu sebenarnya ialah bagaimana kita menggunakan masa kita. Andainya kita selalu memberi tumpuan kepada menggunakannya bagi isu-isu yang paling penting untuk kita, maka kita menang. Sebaliknya, sekiranya kita memberi tumpuan kepada isu-isu yang tidak penting dan remeh, maka kita kalah!

Wednesday, October 26, 2011

Kita membina masa depan hari demi hari


Apa juga yang kita lakukan, kita tidak boleh menambah masa yang kita miliki. Pilihan yang ada hanyalah menentukan keutamaan atau peluang yang kita ada akan hilang begitu sahaja.

Mulakan dengan menerima hakikat bahawa cara yang paling berkesan untuk memberi tumpuan ialah dengan merancang masa kita terlebih dahulu kerana masa adalah terhad sifatnya.

Setelah mengetahui jumlah masa yang kita miliki, maka penuhilah masa kita dengan tugas-tugas yang paling penting yang ingin kita sempurnakan. Sesungguhnya masa depan kita terbina dengan apa yang kita lakukan hari demi hari.

Monday, October 24, 2011

Tiada yang percuma dalam hidup ini....ada kosnya!


Kita akan dapati bahawa semua yang kita perolehi kini, kita telah perolehi dengan pelbagai pengorbanan. Pendek kata, apa yang kita ingin capai dan ingin perolehi memang dengan terpaksa melakukan pengorbanan. Tiada yang percuma dalam hidup ini.

Matlamat yang menjadi pilihan kita akan menentukan pengorbanan yang perlu kita buat. Sekiranya kita sanggup membayar harganya dan mengikuti pelbagai kaedah yang kita pelajari melalui pembacaan, diskusi dan kuliah, maka Insya Allah kita akan berjaya.

Harga yang perlu kita bayar tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit. Ianya selalu dalam bentuk usaha mendapatkan lebih banyak pengetahuan, komitmen, keghairahan, kesediaan menanggung risiko, lebih anjal dan lebih bersikap bertanggungjawab. Ataupun, ia mungkin dalam bentuk pengurangan kebebasan, kuasa, keseronokan dan seumpamanya.

Pilihan yang ada buat kita adalah banyak dan pelbagai. Kita hanya perlu bijak memilih. Malah sekalipun kita memilih untuk tidak melakukan apa-apa, maka kita tetap perlu menanggung dan membayar kosnya.


Thursday, October 20, 2011

Terus melangkah untuk mencapai matlamat

Dunia sekarang menuntut kepakaran. Ilmu pengetahuan berkembang pada kadar yang menjadikan tidak mungkin bagi kita untuk mempelajari dan menguasai pelbagai ilmu.

Pilihan yang kita ada di dunia yang mempunyai masa, tugas dan ilmu yang terhad ini ialah memberi tumpuan kepada apa yang menjadi keutamaan kita iaitu dengan memilih perkara-perkara yang paling penting ke arah merealitikan matlamat kita.

Kita menyalurkan semua masa yang kita ada kepada satu arah yang positif dan seterusnya menjadikannya matlamat kita. Berilah keutamaan kepada matlamat kita dan kemudian kita terus mengatur langkah demi langkah dengan keyakinan dan tanpa rasa takut untuk mencapainya dengan segala kemahiran yang kita miliki.

Friday, October 14, 2011

Pilih yang utama


Mereka yang berkesan biasanya tahu bahawa selalunya kerja yang patut dilakukan adalah melebihi masa dan tenaga yang mereka miliki. Satu-satu cara untuk mengatasi masalah ini ialah dengan menentukan keutamaan. Pilihlah tugasan yang paling penting dan tumpukan masa serta tenaga yang kita miliki untuk mempastikan tugasan kita itu akan berjaya disempurnakan.

Pablo Picasso pernah berkata, " Setiap orang mempunyai tenaga yang sama banyak tetapi kebanyakan orang membazirkannya dengan beribu cara yang berlainan. Saya menyalurkan masa saya hanya kepada satu arah yang positif dan mengorbankan yang lain-lainnya".

Oleh yang demikian, tindakan menetapkan keutamaan untuk membolehkan kita memberi tumpuan kepada matlamat kita yang paling penting, adalah perkara yang sangat kritikal dalam menentukan kejayaan kita.

Tuesday, October 11, 2011

Apa makna Angau?

Sebagai seorang pendidik, saya sering diajukan pelbagai soalan dan kemusykilan oleh para pelajar terutama yang becuk atau yang 'banyak mulut'. Kadang-kadang persoalan yang ditanya, jika mahu menjawab dengan baik, tidak boleh dijawab spontan. Kena buat rujukan dahulu!

Soalan yang ditanyakan kepada saya semalam ialah, "Sir, apa makna angau?".

Senyap dalam hati saya membuat andaian mudah, iaitu budak ini mesti sedang angau sebab itulah nak tahu sangat makna angau, agak sayalah! Saya bagi tahu kepada pelajar ini jika dia mahu jawapan saya, esok saya akan bagi tahu maknanya. Saya akan jawab makna angau sebaik mungkin! Kalau mampulah!

Selepas itu lantas saya merayau-rayau di alam maya untuk mencari jawapan tentang angau. Maka saya tertarik dengan penerangan yang saya copy paste dari alamat di bawah sana tu. Bacalah:

Dalam bidang psikologi, terdapat satu istilah yang disebut infatuation.

Dalam Bahasa Melayu, perkataan yang paling hampir dengannya ialah 'angau' (eh, betul ke istilah ni wujud? Tak kiralah..asalkan pembaca boleh faham). Lazimnya melibatkan sepasang manusia yang berbeza jantina, yang mula timbul perasaan saling menyukai antara satu sama lain.

Angau ini juga boleh terjadi hanya pada salah seorang, tetapi istilah yang lebih sesuai untuk kes sebegini, adalah 'gila bayang', yang selalunya terjadi dalam kes-kes yang disebut sebagai 'bertepuk sebelah tangan'.

Baiklah. Apakah definisi infatuation ataupun angau ini? Takrifan secara ringkas ialah 'perasaan saling menyukai di antara sepasang lelaki dan wanita di awal perkenalan, yang zahir secara agak keterlaluan dan lazimnya hanya bersifat sementara'. Boleh faham kan?

Situasi ini juga kadangkala dirujuk sebagai 'mabuk cinta', 'jatuh cinta', 'mabuk air sejuk' (slanga di pantai timur Semenanjung), dan sebagainya. Tidak dapat dipastikan pula samada 'cinta pandang pertama' itu boleh dimasukkan ke dalam kategori angau, akan tetapi kedua-duanya mempunyai banyak persamaan.

Ciri-ciri utama angau ini ada tiga, iaitu:


i. Muncul di awal perkenalan,
ii. Zahir secara keterlaluan, dan
iii. Hanya bersifat sementara.


Berikut adalah huraian tentang ciri-ciri yang telah disebutkan ini:

i. Muncul di awal perkenalan


Ketika mula berkenalan, secara tiba-tiba anda menyukai insan tersebut. Ataupun anda hanya melihat wajahnya atau mendengar suaranya, tetapi perasaan suka (teramat SUKA!) tu dah muncul.

Jika ketika itu anda disoal apakah sebab anda menyukai si dia, pasti jawapan anda amat kabur...atau tiada rasional langsung. Mungkin anda akan menjawab "sebab mata dia cantik", "kerana kulitnya cerah", atau "sebab suara dia manja".

ii. Zahir secara keterlaluan


Emosi yang lahir dalam bentuk perasaan yang amat indah ini datang dalam sifat yang agak keterlaluan.

Contohnya, anda melihat kesan jejak tapak kasut si dia pun sudah dapat mendatangkan perasaan bahagia. Atau, cukup dengan mendengar dia berkata "Saya sukakan tulisan/kemeja/kasut/kucing/mata/misai awak", sudah memadai untuk membuat anda berada diawang-awangan..sedangkan dalam situasi normal, anda tidak sewajarnya menghasilkan reaksi sedemikian. Ibarat kata ungkapan orang sekarang, 'kentut pun berbau wangi'..


iii. Hanya bersifat sementara.


Mm, inilah ciri-ciri angau yang paling jelas. Perasaan 'berbunga-bunga' itu tidak bertahan lama. Cuma tempohnya bergantung kepada situasi dan individu itu sendiri. Ada orang yang mengalaminya sesingkat beberapa jam sahaja, ada yang mengalaminya buat beberapa hari, dan ada yang hingga berbulan-bulan. Ini bergantung kepada kekerapan anda berkomunikasi atau bertemu dengan si dia.

Setelah habis tempoh angau, 'perasaan ajaib' itu akan mulai pudar, dan anda sudah tidak hairan lagi dengan si dia. Biasanya anda mula menyedari tentang beberapa kelemahan atau kekurangan yang ada pada si dia. Atau dia dilihat mempunyai terlalu banyak kekurangan.

The spell has been broken. The charm isn't there anymore. Suddenly your sight is clearer than before.

Jika kesemua yang dinyatakan di atas ini berlaku pada anda, tahniah! Anda sudah bebas dari angau.

Dipetik dari :sini


Sekadar untuk menerangkan apa itu ANGAU! Jadi kepada yang sedang angau, rentikanlah! Buang masa! Fokus kepada matlamat yang lebih besar untuk kehidupan masa hadapan yang lebih gemilang!

Ada yang sedang angau?

Saturday, October 08, 2011

Masa berlalu tanpa mampu ditahan


Manusia yang cekap selalunya merancang masa mereka terlebih dahulu kerana masa adalah sesuatu yang berlalu terus tanpa sesiapa boleh menahannya dan menunggunya dan masa seringkali bersifat terhad. Setelah itu barulah mereka merancang kerja yang hendak dilakukan.

Orang yang tidak cekap sering merancang kerja terlebih dahulu iaitu sesuatu yang jarang terhad sifatnya dan setelah itu barulah mereka cuba menyesuaikan dengan masa yang tidak mereka miliki.

Akibatnya kerja bertimbun di atas meja, terpaksa bekerja lebih masa atau membawa balik kerja ke rumah. Orang yang bersikap lambat dan terhegeh-hegeh selalu ditinggalkan atau tidak kecukupan masa.

Tuesday, October 04, 2011

Masa dan kehidupan


Sebenarnya adalah sesuatu yang menyedihkan kerana kebanyakan kita melakukan kerja kita mengikut tabiat dan kita terus-terusan melihat masa sebagai satu blok. Kita melihat blok masa daripada sudut, kita dilahirkan sebagai permulaan bagi hidup kita dan kematian sebagai penghujungnya.

Antara tempoh-tempoh inilah kita pasangkan blok-blok masa yang besar pengaruhnya sama ada positif atau negatif kepada pembangunan hidup kita selama ini. Ramai di antara mereka yang cemerlang menganggap persepsi ini adalah salah. Tiada siapapun patut melihat bahawa kehidupan ini merupakan suatu bentuk masa dan tiada siapapun dapat membuat keputusan atau membahagi-bahagikan keseluruhan jumlah masa yang kita miliki.

Ingatlah bahawa esok tidak dijanjikan kepada sesiapapun manakala masa dan kehidupan datang kepada kita mengikut detik waktunya.

Sunday, October 02, 2011

Masa bukan anjal dan tidak boleh dicari


Masa bukanlah sesuatu yang anjal. Kita tidak boleh menariknya menjadi panjang. Kita juga tidak boleh mencarinya. Mengatakan bahawa kita boleh mencari masa adalah suatu pandangan yang salah.

Satu-satu pilihan yang betul, yang ada bagi kita ialah bagaimana hendak menggunakan masa yang sedang kita punyai ini. Hakikat sebenar ialah bagi tempoh 24 jam sehari orang bijak mendapat masa yang sama dengan orang bodoh. Jutawan mendapat masa yang sama dengan orang miskin. Orang alim pun mendapat masa yang sama dengan orang jahil. Mereka yang bahagia mendapat jumlah masa yang sama dengan mereka yang sedih.

Oleh yang demikian, yang berbeza mengenai masa ialah bagaimana kita menggunakannya. Perbezaan tidak terletak pada masa itu sendiri tetapi pada kegiatan yang kita lakukan dan kualiti hidup yang kita hasilkan.