Sunday, September 21, 2008

Tidur siang hari

Waktu siang terutama waktu tengahari memang mengundang rasa mengantuk yang amat sangat. Berbagai faktor boleh dikemukakan mengenai hal ini. Semuanya mungkin betul mengikut keadaan hal diri masing-masing. Mungkin faktor tabiat, faktor kesihatan, faktor persekitaran, faktor tuntutan kehidupan seperti bertugas malam, beribadat, belajar sampai larut malam dan sebagainya. Ada juga orang mengatakan tabiat suka tidur tengahari dianggap sebagai petanda kemalasan.

Apakah pandangan Islam dalam hal ini ? Islam menganggap tidur tengahari sebagai suatu amalan yang baik asalkan tidak berlebih-lebihan atau terlalu lama. Tidur sekejap di waktu tengahari (qailulah) menurut Imam al-Ghazali adalah perlu kerana ia membantu ibadah di malam hari sebagaimana bersahur membantu puasa di siang hari. Namun bangunlah sebelum tergelincir matahari untuk solat zohor.


Rasulullah saw pernah melakukan tidur yang sekejap di waktu tengahari. Jadi ia bukan suatu yang keji. Tujuannya adalah jelas untuk kesegaran tubuh badan agar dapat menghasilkan produktiviti kerja dan ibadah yang berkualiti.

Bagaimana pula pandangan sains terhadap tabiat ini? Tidur sekejap diwaktu siang (day napping) khususnya di waktu tengahari amat berkesan mempertingkatkan tenaga, fokus dan produktiviti kerja. Menurut satu kajian, mendapati 92.5% pekerja-pekerja yang tidur sekejap di waktu tengahari mempunyai daya kreatif yang tinggi dan keupayaan untuk menyelesaikan masalah meningkat.

Menurut seorang pakar tidur dari Cornell University, Dr James Maas, bahawa tidur tengahari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan. Seorang lagi pakar tidur Donald Greeley, menyatakan bahawa tidur tengahari adalah bermanfaat selama orang yang tidur itu tidak tidur melebihi satu jam.

Sunnah tidur tengahari yang diajar oleh Nabi saw rupa-rupanya suatu yang dibuktikan relevan mengikut kajian saintifik. Persoalannya, jika anda tidur tengahari, berapa lamakah anda tidur ?

Di sekolah-sekolah di Malaysia fenomena pelajar-pelajar mengantuk atau lesu mental waktu tengahari adalah merupakan fenomena biasa. Apakah perlu ada satu masa untuk pelajar-pelajar ini tidur sekejap (day napping) di sekolah ? Agaknya bagaimanakah sikap Kementerian Pelajaran terhadap "day napping" ini?

2 comments:

Anonymous said...

aku memang kaki tido siang, tak tido aku akan jadi lain macam...lepas zohor aku tido sampai asar...malam aku cergas nak buat macam macam. blog kau ni ok jugak...banyak info yang boleh dikongsi...teruskan usaha kau ni li, aku sokong seratus peratus..tapi memang memerlukan komitmen tinggi. blog yang baik ilah blog yang banyak memberikan manafaat pada pembacanya

Aku Pemerhati said...

Terima kasih di atas dorongan saudara mat skodeng. Saya ini ibarat "buah cempedak di luar pagar...". Insya Allah walaupun blog ini berusia 'bayi', saya akan cuba jadikan blog ini, bermanfaat kepada pembacanya.