Friday, September 26, 2008

Perjalanan Balik Kampung Sudah Bermula

Hari ini dalam perjalanan saya bersama isteri ke bandar Mersing, saya rasakan sudah bermula perjalanan balik kampung. Kenderaan berbagai jenis sudah mula berjujuk-jujukkan di jalanraya. Pemanduan saya terpaksa lebih cermat dan berhati-hati dari biasa. Kesabaran saya perlu saya tingkatkan.

Berbagai gaya dan cara pemanduan sudah mula kelihatan. Ada yang memandu begitu cermat malah ada yang terlalu cermat sehingga menyusahkan pemandu-pemandu lain. Ada juga kelihatan yang memandu laju. Mereka ini seolah-olah sudah tidak peduli kepada operasi perangkap laju dan kesalahan lalu lintas yang lain. Bas ekspress tetap meluncur laju.

Yang paling menggerunkan tadi, apabila kenderaan besar seperti lori panjang atau bas ekspress berada di belakang kereta saya. Susah hati saya dibuatnya. Mereka mengekori terlalu dekat mungkin mencari ruang menjimatkan untuk cuba memotong kereta saya.

Motorsikal dan basikal juga kelihatan begitu sibuk di jalanraya. Paling membimbangkan apabila memandu di kawasan-kawasan kampung. Penunggang motorsikal yang veteran cukup perlu diberi perhatian. Membelok ke kiri dan kanan jarang-jarang menggunakan lampu isyarat atau isyarat tangan. Rasa nak belok, belok saja. Rasa nak melintas jalan, melintas saja. Tadi, seorang pak cik yang agak berumur menunggang basikal dengan cara yang cukup membahayakan keselamatan dirinya sendiri. 'Menyasoo' saya membrekkan kereta saya kerana kereta di depan terpaksa membuat brek kecemasan. Pak cik yang saya maksudkan itu melintas jalan 'selambe' tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan. 5 buah kereta terpaksa membuat brek kecemasan kerana pak cik itu seorang.


Anak muda dengan ragam anak muda. Menunggang motosikal tanpa memikirkan keselamatan diri. Aidil fitri semakin dekat, risau saya melihat budak-budak ini menunggang motosikal. Buatnya kemalangan, tak berayalah jawabnya. Dengan mak ayah sekali susah, terpaksa beraya di hospital. Bila memotong kereta saya dan kereta-kereta yang lain tadi, tak habis-habis dengan 'menceluk." Berebut-rebut hendak memotong dengan cara mencelah-celah ikut kiri dan kanan. Ngeri betul aksi mereka ini! Boleh terganggu pemanduan kita dibuatnya.

Pendek kata kepada sahabat-sahabat yang membuat perjalanan jauh untuk balik kampung, berhati-hatilah di jalan raya. Fokus kepada pemanduan hendak 100%. Benar, kita perlu berhati-hati di jalanraya tetapi jangan sekali-kali percaya kepada penunggang-penunggang basikal, motosikal dan pemandu-pemandu yang lain. Kita cermat orang lain lalai, kemalangan boleh juga berlaku.

Oleh yang demikian berdoalah kepada Allah sebelum memulakan perjalanan dan juga sepanjang perjalanan setiap kali teringat akan kemalangan dan musibah. Semoga selamat sampai ke destinasi. Selamat hari raya aidil fitri maaf zahir batin.

No comments: