Tuesday, September 30, 2008

Terus tabahkan hati dan kuat keazamanmu wahai sahabatku

Sewaktu berbuka puasa di SK Rompin tiga hari yang lalu, saya diberitahu dengan gembiranya oleh seorang sahabat lama, Masdi Abdul namanya bahawa dia dah lama tidak merokok. Saya bertanya dengan lurus bendul, "mengapa ?".

"Dah bulan puasa", masdi menjawab. He..he...Masdi gelak.

"Ah...buat apa," saya perlekehkan dia. "Berhenti sebulan lepas tu sambung balik".

Sambil menjauhkan sedikit kepada dari saya, dengan wajah serius dia berkata "ah...tu lah ngka...".Dia bagi tahu dia dah berhenti sebulan, siang dan malam dan dia tidak akan sambung semula.

"He...he..." saya ketawa kecil sambil menjuehkan bibir. Saya bukan tidak percayakan sahabat saya seorang ni, tapi susah nak percaya seorang perokok tegar yang berkata begitu. Namun prasangka baik tetap ada. Saya yakin kalau sekuat itulah keazamannya mahu berhenti merokok dan mengambil sempena ramadhan al-mubarak ini, saya yakin Masdi akan berjaya kerana saya tahu sahabat saya ni kalau dia kata dia nak, biasanya dia dapat dan dia boleh. Teruskan keazaman itu Masdi dan kita berjumpa lagi di mana-mana nanti untuk bertanya khabar. Selamat berjaya Masdi.

Masdi dah tahu, cuma saya nak tulis juga kat sini. Setiap batang rokok yang dinyalakan mengeluarkan lebih 4000 bahan kimia beracun yang membahayakan kesihatan dan boleh menyebabkan kematian.

Antara bahan kimia yang digunakan:

1. Metoprena iaitu bahan kimia yang digunakan untuk menghapuskan kutu pada binatang peliharaan.

2. Benzopirena terdapat di dalam asap rokok yang merupakan bahan kimia penyebab kenser yang berbahaya di dunia.

3. Aseton merupakan bahan kimia yang digunakan untuk membuat pengilat kuku.

4. Turpentin merupakan racun yang kebiasaannya digunakan sebagai penanggal cat. Selepas mengecat rumah kita gunakan turpentin untuk menanggal cat pada berus cat atau apa-apa sahaja.

5. Butana merupakan komponen utama petrol.

6. Nikotin merupakan sejenis dadah yang mampu bertindak balas di dalam otak dan memberi kesan kepada sistem mesolimbik yang menjadi punca ketagihan kuat kepada mereka yang menghisap rokok.

Kepada sahabat-sahabat yang telah mengambil insiatif berhenti merokok dengan mengambil sempena bulan ramadhan ini, teruskan keazaman anda dan ingatlah perjuangan anda hanya akan bermula beberapa jam sahaja lagi. Selepas ini bulan ramadhan yang penuh barakah ini, akan berlaku pergi untuk kita temuinya lagi pada tahun hadapan. Itu pun jika kita diizinkan Allah, panjang umur! Semoga berjaya dan Salam Aidil Fitri Maaf Zahir Batin.

Dulu-dulu di ambang aidil fitri....

Dulu-dulu, dua tiga hari sebelum aidil fitri mak dan ayah mula bermesyuarat di atas lambo (beranda) rumah untuk memutuskan ayam mana yang hendak dikorbankan. Biasanya perbincangan mak dan ayah cukup ringkas dan cepat. Kadang-kadang sekali cadang, kedua-dua sudah bersetuju. Mereka tidak kira siapa yang mencadang dahulu, ayah atau mak, sapa-sapa pun boleh. Sungguh tulus dan spontan perbincangan mereka.

"Awak sembelih je ayam bapak tu, asyik nak naik atas rumah je !"
"Rasanya baik ayam betina yang warna hitam tu, lama dah tak bertelur"
"Pilihlah ayam yang besar sikit manalah tahu takut-takut ada "ular lipan" datang...."
Begitulah antara perbincangan mereka. Dengan perbincangan seperti itu ayah mula meninjau ke dalam reban dan hari ini sehari sebelum aidil fitri sama ada ayah suruh anak-anak dia yang tangkap atau dia yang tangkap sendiri. Sesekor atau dua ekor ayam akan dikorbankan.

Mak di dapur sudah mula siap panaskan air untuk mencelur ayam-ayam tersebut dengan tujuan memudahkan kerja-kerja mencabut bulu-bulu ayam. Prosesnya agak lambat tetapi cukup teliti dan pasti suci. Anak-anak dara jarang nak buat kerja-kerja begini, biasanya golongan yang dah berusia yang melakukannya. Selalu juga ayah yang buat sendiri.

Kerja-kerja persiapan raya dulu-dulu memang lambat. Nak rebus ketupat lama, bakar lemang pun lama, kacau dodol atau wajik, mak tuan berpeluh ketiak, nak bungkus ketupat pulut atau ketupat palas bukan senang. Kalau isteri saya (orang johor) yang bungkus, mesti mak mentua dia buka balik. Begitu cerewet orang dulu-dulu dengan kerja tangan mereka. "Workmanship" cukup dijaga.

Dulu-dulu kalau nak gosok (iron) baju raya pun boleh tahan mengambil masa. Mula-mula kena pastikan ada arang atau tidak. Kalau ada, kena bakar arang dulu. Apabila arang sudah membara mulalah dialihkan arang-arang itu ke dalam setarika yang cukup antik bentuknya. Sebelum hendak menggosok baju, kena tunggu dulu. Biarkan seterika itu panas.

Satu lagi kerja dulu-dulu yang paling saya tidak suka iaitu hendak menyalakan dapur kayu. Kayu api mesti kering. Kalau basah tak boleh. Stok kayu api kering mesti ada kat bawah rumah. Hendak menyalakan api untuk menjadikan bara cukup saya tak pandai. Api kena tiup supaya api boleh makan kayu-kayu kering tersebut. Kat tepi dapur mesti ada corong buluh yang ayah buat untuk tiup api. Yang menjadi masalah bila saya tiup, api mesti padam. Itulah kelemahan saya yang menyebabkan mak mula mengitap dan bersuara " tepi...tepi... tepi !!!"
Itulah secebis nostalgia kehidupan dulu-dulu. Untuk menjayakan semua itu memerlukan minda yang santai tetapi cekal. Sebuah kehidupan survival yang penuh persediaan dan perancangan. Hari ini bagaimana ? Jom kita ke pasar berebut ayam dan daging, esok hari raya ! Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Batin.

Monday, September 29, 2008

Pengamalan cara makan yang sepatutnya.

Aidil fitri menjelang tiba. Pelbagai kuih-muih dan makanan berligar di fikiran. Membeli dan masak sendiri merupakan lumrah. Semuanya mengikut kemahiran dan kemampuan. Zaman ini kuih-muih yang dibeli lebih terkenal dengan panggilan popular iaitu 'kuih tunjuk'. Sekali tunjuk dapat 3 jenis kuih. 1o kali tunjuk dapat 30 jenis.
Itu kuih-kuih kering manakala makanan basah sudah ada dalam perancangan. Demi makanan basah, esuk perlu keluar awal pagi, nak berebut daging dan ayam. Kalau tak percaya, pergilah tengok kat pasar-pasar esok. Itulah rakyat Malaysia dengan rayanya !


Oklah, tidak mengapalah kalau itu telah menjadi budaya dan keperluan. Tetapi jangan sampai membazir, berdosa pula jadinya.


Dari sudut kesihatan, penyediaan dan pengambilan makanan perlu sentiasa dalam perkiraan:

1. Makanlah pelbagai jenis makanan kerana tiada satu jenis makanan pun yang dapat membekalkan semua zat makanan yang diperlukan. Sebab itu perlulah dipilih makanan dari gabungan makanan yang berasaskan piramid makanan. Dan makanan yang pelbagai ini perlu diambil secara tetap.
2. Pengambilan makanan perlu diimbang dengan aktiviti fizikal. Jika berlebihan berat badan, aktiviti fizikal perlu ditingkatkan dan pengambilan makanan perlu dikurangkan. Usaha ini dilakukan kerana berat badan ideal perlu dikekal. Ingatlah, umur, jantina dan aktiviti fizikal menentukan keperluan makanan.


3. Sumber tenaga yang utama haruslah diambil dari bijirin. Bijirin penuh adalah lebih baik.


4. Buah-buahan dan sayur-sayuran, suka tidak suka perlu diambil lebih sedikit kerana inilah sumber vitamin , mineral dan serat yang sangat baik. Kalau ikut cara yang ideal untuk kesihatan, makanlah buah-buahan dan sayur-sayuran setiap kali waktu makan utama (meal).
5. Ramai yang tidak kesah tentang perkara ini. Sama ada tidak tahu atau kerana sikap iaitu pentingnya pilih makanan yang rendah lemak dan kolestrol. Justru itu sangat penting kurangkan makan makanan bergoreng. Bukan tidak boleh makan tetapi kurangkan. Budaya Malaysia terutama orang Melayu boleh dikatakan hari-hari bergoreng dan berorientasikan minyak.
6. Juga penting untuk bersikap memilih atau menyediakan makanan yang mengandungi kurang gula atau garam. Gunakan garam dan gula secara sederhana. Kurangkan atau jangan makan langsung makanan segera atau snek dan perencah yang mengandungi banyak garam, gula dan monosodium glutamat (MSG) dan yang diproses. Mengambil makanan dari bahan semula jadi atau yang disediakan segar adalah lebih baik. Satu petua yang pernah didengar memberitahu, untuk menghilangkan mudharat garam kepada kesihatan ialah dengan cara isikan garam ke dalam masakan pada waktu suhu masakan menurun bukan sewaktu menaik. Katanya insya Allah garam tidak akan memudharatkan kesihatan dan makanan akan lebih enak. Cubalah...


7. Sangat penting adalah perbanyakkan minum air kosong dan kurangkan minum minuman manis dan berkarbonat. Iklan-iklan mempromosi minuman berkarbonat sebagai baik untuk kesihatan dan kesegaran badan, perlu sangat diperhalusi dan dirujuk kepada pakar pemakanan.


8. Sudah pasti makanan yang bersih dan selamat perlu menjadi piawai utama. Makan dan minum hanya di premis yang bersih yang mempunyai cara penyediaan, penyimpanan, dan penyajian yang bersih.


9. Amalan pemakanan wajarlah berasaskan fakta bukan kekarutan.


10.Akhirnya, bagi orang Islam pula, makanan dan minuman perlulah dari sumber dan cara penyediaan yang halal.

Saturday, September 27, 2008

Obesiti - masalah dunia.

Pada hari ini masalah obesiti telah menjadi masalah seantero dunia. Para pakar sering membincangkan masalah obesiti di banyak persidangan dan seminar. Menurut perangkaan WHO pada sekitar tahun 2005, lebih satu billion orang penduduk dunia mengalami masalah 'overweight'. Dari jumlah tersebut sejumlah 300 million adalah dianggap obes. Jelas satu jumlah yang begitu besar !
Para pakar dan ahli professional kesihatan bimbang masalah obesiti akan memendekkan lagi jangka hayat generasi akan datang berbanding dengan generasi yang ada pada hari ini. Justru itu berbagai langkah telah diambil untuk mengatasi masalah ini.
Menurut para pakar dalam salah satu Forum Ekonomi Dunia yang membincangkan isu obesiti sebagai masalah dunia, antara sebab yang ketara peningkatan jumlah obesiti adalah:
i. Kurang bersenam di rumah dan di sekolah.
ii. Tabiat pemakanan yang membudaya.
iii. Pengambilan berlebihan makanan kudapan (snack food)
iv.Tersalah label dan pengiklanan makanan
iv.Gaya hidup yang lebih memberi fokus kepada televisyen dan komputer.
Oleh itu para pakar tersebut bersetuju, masalah obesiti ini memerlukan tindakan bersepadu dari pihak kerajaan, pihak koorporat, swasta dan keluarga, jika tidak masalah yang sudah tidak mampu dielakkan ini akan mengancam kesihatan generasi akan datang.

Friday, September 26, 2008

Dah banyaaak berubah....

Semasa saya zaman kanak-kanak dulu, saya sering melihat ayah mula sibuk masuk ke belukar atau hutan belakang rumah, apabila menjelang aidil fitri. Sambil menyisip parang di pinggang ayah akan menyusun langkah ke belakang rumah kami. Ada ketika saya bertanya, ayah hendak ke mana dan buat apa ?

Semasa mood ayah baik, ayah akan mengajak saya ikut sekali. Kalau tidak jangan harap. Ayah hendak pergi cari daun palas. Itulah jawapan ayah. Bila sebut daun palas, saya tahulah apa tujuannya. Ini mesti mak saya hendak buat ketupat pulut. Kadang-kadang ayah memberitahu, ayah hendak pergi tebang buluh. Inipun saya tahu apa tujuannya. Mesti nak buat lemang.

Di waktu lain pula, ayah akan bagitahu bahawa dia hendak pergi panjat pokok kelapa. Ini pun saya dah boleh agak. Tentu nak pergi ambil pucuk daun kelapa untuk buat ketupat nasi.

Begitulah senario dahulu, dua tiga hari sebelum aidil fitri ayah-ayah akan sibuk ke belukar atau masuk hutan mencari "prasarana" tradisional berhari raya.

Kini ayah sudah tiada. Mak pun sudah tiada. Yang paling ketara bukan ayah dan mak sahaja sudah tiada, malah hutan dan belukar di belakang rumahpun dah tiada. Kalau dulu, dua tiga langkah dah boleh sampai ke belukar dan hutan. Tapi hari ini kalau saya hendak ke belukar saya terpaksa memandu kereta berkilometer jugalah untuk mencari "prasarana" hari raya yang saya maksudkan.

Dah banyaak berubah.... Petang tadi saya ke sebuah gedung beli belah. Mak tuan ramainya orang! Sambil menolak troli dan mengekori isteri membeli, saya agak 'ralit' memerhati dan memikir. Hari ini dah tak payah masuk hutan lagi dah. Hendak buat ketupat pulut, beli saja daun palas (agak mahal harganya- dulu tak berharga langsung). Hendak buat ketupat nasi, tak payah panjat pokok kelapa beli je kat gedung tersebut. Hendak makan lemang, bersepah lemang segera.

Waktu inilah saya teringatkan zaman ayah. Nak buat ketupat pulut, lemang dan ketupat nasi ayah akan ke belukar atau masuk hutan bertemankan sebilah parang tajam!. Zaman kini, nak itu semua, berduyun-duyun turun ke bandar bertemankan ringgit-ringgit malaysia !
Itulah perubahan yang kita kena terima berdasarkan realiti kehidupan dan persekitaran kita hari ini. Menimbulkan tanda tanya, apakah perubahan suasana kehidupan ini akan juga mengubah jati diri kita ? Apakah nanti ketupat nasi, ketupat pulut, lemang dan seumpamanya tidak akan menjadi dominasi kita lagi. Dominasi siapakah kelihatannya !?

Perjalanan Balik Kampung Sudah Bermula

Hari ini dalam perjalanan saya bersama isteri ke bandar Mersing, saya rasakan sudah bermula perjalanan balik kampung. Kenderaan berbagai jenis sudah mula berjujuk-jujukkan di jalanraya. Pemanduan saya terpaksa lebih cermat dan berhati-hati dari biasa. Kesabaran saya perlu saya tingkatkan.

Berbagai gaya dan cara pemanduan sudah mula kelihatan. Ada yang memandu begitu cermat malah ada yang terlalu cermat sehingga menyusahkan pemandu-pemandu lain. Ada juga kelihatan yang memandu laju. Mereka ini seolah-olah sudah tidak peduli kepada operasi perangkap laju dan kesalahan lalu lintas yang lain. Bas ekspress tetap meluncur laju.

Yang paling menggerunkan tadi, apabila kenderaan besar seperti lori panjang atau bas ekspress berada di belakang kereta saya. Susah hati saya dibuatnya. Mereka mengekori terlalu dekat mungkin mencari ruang menjimatkan untuk cuba memotong kereta saya.

Motorsikal dan basikal juga kelihatan begitu sibuk di jalanraya. Paling membimbangkan apabila memandu di kawasan-kawasan kampung. Penunggang motorsikal yang veteran cukup perlu diberi perhatian. Membelok ke kiri dan kanan jarang-jarang menggunakan lampu isyarat atau isyarat tangan. Rasa nak belok, belok saja. Rasa nak melintas jalan, melintas saja. Tadi, seorang pak cik yang agak berumur menunggang basikal dengan cara yang cukup membahayakan keselamatan dirinya sendiri. 'Menyasoo' saya membrekkan kereta saya kerana kereta di depan terpaksa membuat brek kecemasan. Pak cik yang saya maksudkan itu melintas jalan 'selambe' tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan. 5 buah kereta terpaksa membuat brek kecemasan kerana pak cik itu seorang.


Anak muda dengan ragam anak muda. Menunggang motosikal tanpa memikirkan keselamatan diri. Aidil fitri semakin dekat, risau saya melihat budak-budak ini menunggang motosikal. Buatnya kemalangan, tak berayalah jawabnya. Dengan mak ayah sekali susah, terpaksa beraya di hospital. Bila memotong kereta saya dan kereta-kereta yang lain tadi, tak habis-habis dengan 'menceluk." Berebut-rebut hendak memotong dengan cara mencelah-celah ikut kiri dan kanan. Ngeri betul aksi mereka ini! Boleh terganggu pemanduan kita dibuatnya.

Pendek kata kepada sahabat-sahabat yang membuat perjalanan jauh untuk balik kampung, berhati-hatilah di jalan raya. Fokus kepada pemanduan hendak 100%. Benar, kita perlu berhati-hati di jalanraya tetapi jangan sekali-kali percaya kepada penunggang-penunggang basikal, motosikal dan pemandu-pemandu yang lain. Kita cermat orang lain lalai, kemalangan boleh juga berlaku.

Oleh yang demikian berdoalah kepada Allah sebelum memulakan perjalanan dan juga sepanjang perjalanan setiap kali teringat akan kemalangan dan musibah. Semoga selamat sampai ke destinasi. Selamat hari raya aidil fitri maaf zahir batin.

Tuesday, September 23, 2008

Ada sisa makanan, tuan ?

Seorang peminta sedekah pergi ke sebuah warung dan bertanya kepada tuan punya warung, "Ada sisa makanan tuan?". Tuan warung menjawab," Tak ada.". Peminta sedekah itu berlalu pergi sambil mengeluh, " inilah nasib aku!" Keesukan harinya peminta sedekah datang dan bertanya lagi, "Ada sisa makanan tuan?". Tuan Warung yang kesibukan itu menjawab, "Tak adaaa!". Peminta sedekah itu berlalu pergi sambil mengeluh lagi.

Besuknya, peminta sedekah itu datang lagi ke warung tersebut dan bertanya lagi, " Ada sisa makanan tuan?". Tuan warung menjawab kegeraman, " Saya dah bagitau awak banyak kali dah, saya tak ada sisa makanan. Semuanya dah habis saya jual ! Jika awak bertanya lagi, saya akan paku kaki awak ke lantai, gheti ?". Peminta sedekah itu berlalu pergi.

Besoknya lagi peminta sedekah itu datang lagi ke warung dan bertanya, " Ada paku tuan?" "Tak ada." jawab tuan warung. Dan peminta sedekah itu bertanya lagi, "Ada sisa makanan tuan!?"

Sunday, September 21, 2008

Tidur siang hari

Waktu siang terutama waktu tengahari memang mengundang rasa mengantuk yang amat sangat. Berbagai faktor boleh dikemukakan mengenai hal ini. Semuanya mungkin betul mengikut keadaan hal diri masing-masing. Mungkin faktor tabiat, faktor kesihatan, faktor persekitaran, faktor tuntutan kehidupan seperti bertugas malam, beribadat, belajar sampai larut malam dan sebagainya. Ada juga orang mengatakan tabiat suka tidur tengahari dianggap sebagai petanda kemalasan.

Apakah pandangan Islam dalam hal ini ? Islam menganggap tidur tengahari sebagai suatu amalan yang baik asalkan tidak berlebih-lebihan atau terlalu lama. Tidur sekejap di waktu tengahari (qailulah) menurut Imam al-Ghazali adalah perlu kerana ia membantu ibadah di malam hari sebagaimana bersahur membantu puasa di siang hari. Namun bangunlah sebelum tergelincir matahari untuk solat zohor.


Rasulullah saw pernah melakukan tidur yang sekejap di waktu tengahari. Jadi ia bukan suatu yang keji. Tujuannya adalah jelas untuk kesegaran tubuh badan agar dapat menghasilkan produktiviti kerja dan ibadah yang berkualiti.

Bagaimana pula pandangan sains terhadap tabiat ini? Tidur sekejap diwaktu siang (day napping) khususnya di waktu tengahari amat berkesan mempertingkatkan tenaga, fokus dan produktiviti kerja. Menurut satu kajian, mendapati 92.5% pekerja-pekerja yang tidur sekejap di waktu tengahari mempunyai daya kreatif yang tinggi dan keupayaan untuk menyelesaikan masalah meningkat.

Menurut seorang pakar tidur dari Cornell University, Dr James Maas, bahawa tidur tengahari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan. Seorang lagi pakar tidur Donald Greeley, menyatakan bahawa tidur tengahari adalah bermanfaat selama orang yang tidur itu tidak tidur melebihi satu jam.

Sunnah tidur tengahari yang diajar oleh Nabi saw rupa-rupanya suatu yang dibuktikan relevan mengikut kajian saintifik. Persoalannya, jika anda tidur tengahari, berapa lamakah anda tidur ?

Di sekolah-sekolah di Malaysia fenomena pelajar-pelajar mengantuk atau lesu mental waktu tengahari adalah merupakan fenomena biasa. Apakah perlu ada satu masa untuk pelajar-pelajar ini tidur sekejap (day napping) di sekolah ? Agaknya bagaimanakah sikap Kementerian Pelajaran terhadap "day napping" ini?

Santai pagi ini...

Kerjaya yang menguntungkan ?

"Jadi, Isyad, kamu pasti mahu menjadi doktor mata seperti ayah kamu?"

"Tak cikgu, saya nak jadi doktor gigi!"

"Oh...doktor gigi ? Kenapa ? Bukankah doktor mata pekerjaan yang bagus ?

"Memang ! Tapi setiap manusia hanya memiliki dua mata sedangkan gigi 32 !"

" !!!????", terbeliak mata cikgu !

Saturday, September 20, 2008

Berguru boleh sahaja di mana-mana. Dia adalah guruku...

Aku masih ingat sewaktu aku mahu menamatkan pengajianku di UKM dulu aku perlu menyiapkan Kertas Projek kursus Psikologi yang aku ikuti. Aku terpaksa menyempurnakan satu kajian ilmiah sebagai syarat pengijazahan. Aku telah memilih pelajar-pelajar asrama SMK Tanjung Gemuk sebagai responden. Di sinilah aku mengadap insan tokoh ini.
Insan tokoh ini seorang yang tidak cerewet dan seorang Pengetua yang sangat meminat ilmu. Itulah persepsi aku terhadap dia. Aku tersentuh hati kerana dia sendiri yang mengambil inisiatif menerima aku membuat kajian di situ, memilih responden, mengedar dan memungut kembali kajianku tanpa menyuruh sesiapa sahaja yang boleh diarah olehnya.
Aku mengenalinya kerana aku pernah berpenguruskannya sewaktu mewakili Pahang dalam bahas antara guru. Dia seorang pengurus yang sangat komited terhadap pasukan bahas negeri Pahang pada waktu itu. Di sinilah aku mula mengenali dia secara dekat.
Aku tidak pernah bertugas di bawah pengurusan dia. Tetapi dia menjadi istimewa kepada aku kerana beberapa sebab yang telah aku nyatakan di atas. Rupa-rupanya istimewanya insan tokoh ini kepada aku tidak terhenti setakat itu.
Aku tidak pernah kesah untuk berblog walaupun anak-anakku mampu membuat blog untuk aku. Aku tidak minat untuk mengambil tahu. Tetapi tiba-tiba, insan tokoh ini telah berjaya meransang minat ku untuk menjadi seorang blogger. Dari sentuhannya, bimbingan dan tunjuk ajarnya kini aku menjadi kemaruk dengan blogku sendiri.
Terima kasih cikgu. Terima kasih cikgu wahab. Cikgu Wahab adalah guruku ! Istimewanya cikgu dalam kerjaya saya, saya tidak akan lupakan. Selamat Hari Raya Aidil Fitri maaf zahir batin.

10 tabiat yang boleh menyebabkan kerosakkan otak anda


1. Terlebih tidur - Tidur bagus untuk merehatkan otak tetapi tidur yang berlebihan dan panjang boleh mengakibatkan sel-sel otak anda mati. Jadi bulan puasa ni, kurangkan tidur. Banyakkan membaca al-quran.

2. Terlebih makan- Tabiat ini akan membebankan pembuluh darah otak dan mengurangkan kuasa mental otak anda. Jadi, bersabarlah semasa berbuka. Berhentilah makan apabila terasa nak tambah lagi.

3. Tidak mengambil sarapan pagi - Tidak gemar mengambil sarapan pagi sering berlaku kepada pelajar-pelajar yang tinggal di asrama puteri. Tabiat ini akan mengakibatkan paras gula dalam darah menjadi rendah untuk mengurangkan bekalan nutrisi pada otak dan menjadikan nya kurang aktif. Sebab itu terdapat pelajar yang sering nak pitam sewaktu perhimpunan pagi.

4. Perokok- Asap rokok akan mengakibatkan sel-sel otak terjejas atau terbakar dan boleh mengakibatkan penyakit ' Alzheimer'.

5. Menutup muka sewaktu tidur- Tabiat sedemikian akan mengakibatkan otak menerima lebih karbon dioksida berbanding oksigen dan ini boleh memudaratkan otak anda.

6. Mengambil gula berlebihan- Pengambilan gula berlebihan akan mengganggu penyerapan protein dan nutrisi - mengganggu perkembangan otak yang sihat.

7. Kurang berimiginasi- Berfikir adalah kaedah terbaik untuk melatih otak kita. Kurang berimiginasi boleh menyebabkan tahap kecerdasan otak anda menurun.

8. Jarang berfikir- Tabiat ini menyebabkan otak kurang aktif. Oleh yang demikian, perbincangan yang membina boleh menambah keberkesanan kecerdasan otak anda.

9. Pencemaran udara- Otak adalah pengguna oksigen yang terbesar dalam badan anda. Pencemaran udara boleh menyebabkan pengurangan oksigen ke otak dan keaktifan otak.

10. Membiarkan otak bekerja semasa anda berada di dalam keadaan kurang sihat.

Ceria pagi...


Tidak Melihat:

"Hey, kamu tak nampak ke lampu merah tu ?", tanya seorang polis kepada mat motor.
"Saya...saya nampak encik," jawab si mat tergagap-gagap.
"Habis tu, kenapa tak berhenti ?" sergah encik polis.
"Saya tak nampak encik".
"ish...budak ni kang!!"

Friday, September 19, 2008

Petir menyambar entiti paling menonjol


Petir menyambar dari atas ke bawah. Ia umpama percikan arus eletrik yang sangat kuat dan selalunya dikaitkan dengan kewujudan cas. Justru itu ia akan cuba menyambar titik-titik tertentu di muka bumi yang mempunyai cas yang bertentangan.

Harus diingat percikan arus dalam petir cenderung untuk menyambar titik yang paling tinggi atau menonjol (yang mempunyai cas yang berlawanan) di sesuatu kawasan.

Semua alatan eletrik seperti telefon, televisyen mempunyai cas masing-masing dan berpotensi disambar petir. Walau bagaimanapun ada juga ketikanya menonton televisyen ketika hujan dan petir, tidak pula disambar. Sebenarnya ini bergantung kepada di mana petir itu berada dan apakah titik entiti di atas muka bumi yang disambar petir untuk dialirkan cas.

Maksudnya petir yang menyambar titik tertentu di luar misalnya tiang eletrik boleh mengalirkan casnya di sepanjang kabel dan sampai kepada pengguna eletrik di dalam rumah. Jika ini berlaku bermakna barangan eletrik di dalam rumah adalah bersambng terus kepada tempat (titik) sambaran petir.

Jenis-jenis petir:

1. In-Cloud Lightning - Jenis paling biasa. Ia bergerak antara pusat cas positif dan negatif ketika ribut petir.

2. Cloud-to-Ground Lightning - Kilat yang datang dari awan yang mengalami ribut petir ke tanah.

3. Cloud-to-Cloud Lightning - Kejadian yang jarang berlaku. Ia petir yang bergerak dari satu awan ke satu awan.

4. Sheet Lightning- Petir di dalam awan yang memberi seakan cahaya pada awan.

5. Ribbon Lightning - Ia terjadi bila percikan cloud-to-cloud bertiup secara sehala disebabkan angin menjadikan ia kelihatan seperti dua pancaran kilat (bolt) yang sama.

6. Bead Lightning - Dikenali juga sebagai chain lightning kerana pancaran kilat petir terpecah kepada fragmen disebabkan kecerahan yang berubah-ubah atau disebabkan sebahagian bolt itu ditutup awan.

7. Ball Lightning - Jarang dapat dilihat. Ia terjadi dalam bentuk bola saiz buah anggur dan bertahan untuk beberapa saat.

Relek sekejap !

Markah matematik.

Perbualan dua beranak setelah anak darjah satu pulang dari sekolah dengan gembiranya.

Anak : Mak, adik dapat 10 markah dalam ujian matematik. Cikgu kata adik sorang je dapat 10
markah!

Mak : Pintarnya anak mak ! Murid lain dapat berapa ?

Anak : Kata cikgu yang lain dapat 100.

Mak : !!??

Thursday, September 18, 2008

Aidil Fitri semakin menghampiri

Aidil fitri semakin hampir. Masing-masing dah mula sibuk membuat persiapan. Dan juga sudah berkira-kira nak balik ke mana - kampung sendiri atau kampung pasangan atau balik kedua-dua sekali. Yang dekat bolehlah buat begitu. Bagaimana jika yang sorang di Johor dan rumah orang tua pasangan di Perlis? Pening juga hendak buat keputusan dan kos pulang boleh tahan juga tingginya. Terpaksalah buat pilihan. Bincang elok-elok !

Zaman aku dulu balik selang seli. Tahun ini rumah mak ayah dia, tahun depan rumah mak ayah aku. Sekarang ni, mak ayah kedua-dua pihak sudah tiada, maka duduk je-lah beraya kat rumah!

Kata orang, beraya tidak ada kanak-kanak tak macam beraya tapi begitu juga dengan orang tua. Beraya kalau tak ada orang tua lagilah terasa tak ada daya penarik. Orang tua ni penyejuk dan juga penyeri suasana.

Maka itu jagalah hati kedua-dua ibubapa. Sayangi dan kasihilah mereka. Selamat Hari Lebaran dan berhati-hati dijalan raya.

Petua membuang rasa hasad dengki

1. Ucapkan tahniah dan tunjukkan rasa gembira kepada orang yang kita tidak senangi itu tatkala dia mendapat nikmat.

2. Sanjung dan puji kebaikan dan keistimewaannya terutama di belakangnya.

3. Tutup keaiban dan kesalahannya - jangan diceritakan kepada orang lain.

4. Ziarahilah dia selalu sambil membawa buah tangan atau hadiah.

5. Menghormati dan menyayangi kaum kerabatnya serta orang-orang yang dikasihinya.

6. Pertahankan dia kalau ada orang memburukkannya atau cuba menjatuhkannya.

7. Berdoalah kepada Allah agar Allah membantu kita menghilangkan rasa hasad dengki dalam diri kita itu.


( terima kasih kepada insan mulia ini yang memberi ilham kepadaku ini -al fatihah )

Semalam


Sewaktu aku memandu ke tempat kerja aku terserempak dengan beberapa ekor monyet yang sibuk dan terkial-kial di atas jambatan sabak. Dasar monyet tak bimbang langsung akan keselamatannya di jalanraya. Lori, bas, tankers dan macam-macam jenis kenderaan memecut laju. Tengah-tengah aku berfikir membimbangi nasib monyet-monyet itu tiba-tiba bersepai seekor bapa monyet dilenyek oleh lori minyak di hadapan mata ku. Masya Allah....kesian !

Harga barang semakin mahal sekarang !

Nampaknya harga barangan keperluan bukan semakin menurun tapi semakin mahal. Tak kira masa, harga tetap tidak turun. Tambah-tambah lagi di musim perayaan. Dengar cerita harga daging dah dalam sekitar rm20 hingga 25 sekilo. Kalau beli sekilo banyak mana agaknya. Amboi mak.... kalau beli 5 kilo..., hah kau, seratus lebih. Ayam pencen pun dah mahal. Harga ikan masya Allah pun tinggi. Kalau boleh makan ikan plastik tak pe lah juga.

Nampak gayanya pengguna dah terkepung teruk. Turun harga minyak 15 sen macam tak ada beza je! Adoo lahh !! PTPTN anak-anak tak cukup...macam mana ni !!? Kesihan sungguh bagi mereka yang tiada pendapatan tetap. Bagi yang berkerja tetap, menabung...jangan tak menabung. Beringatlah sebelum anak ramai ! Bagitau je !