Tuesday, October 23, 2012

Rakyat di bawah terus merungut!

Nampaknya kehidupan bagi kebanyakan orang menjadi semakin rumit sekarang. Di mana-mana aku mendengar rungutan mengenai semua benda menjadi mahal!

Seorang sahabat yang gemar roti canai merungut roti canai semakin mahal. Katanya dahlah mahal, saiz roti canai semakin mengecut! Kalau makan roti kosong katanya setakat dua keping tak rasa apa! Aku hanya tersenyum mendengar rungutan sambil dalam hati berkata, jangan makan roti canai banyak sangat nanti kena penyakit jantung dan kolestrol tinggi! Aku cakap begitu sebab itulah yang biasa aku dengar nasihat daripada para pemimpin kita!

Ada seorang sahabat pulak merungut, harga teh boleh naik sepuluh sen bila gula naik harga! 

"Melampau orang jual air ni, kalau gula naik 10 ke, 20 sen ke tak kan secawan teh jugak ikut naik sampai 10 sen! Secawan teh banyak mana sangat!" rungut nya.

Aku hanya mendiamkan diri sambil terus memberi nasihat senyap-senyap, jangan minum manis nanti kena kencing manis! Aku kata begitu sebab itulah nasihat yang sering diklankan dalam media!

Manakala seorang sahabat yang hendak pulang ke Kangar tiba-tiba merungut terkejut, "Hai, harga tambang bas pun dah naik? Tahun lepas aku rasa taklah harga sampai macam ni? Mahalnya!!!".

Dalam hati aku jugak memberi rasional yang popular dalam kalangan umum, biasalah kan harga minyak dunia naik, jadi harga minyak dalam negara tak bolehlah turun...maka tambang terpaksalah naik jugak!

Seorang sahabat yang juga kakitangan kerajaan pula merungut kerana gaji kasarnya RM5000 lebih sikit, isteri tak bekerja, tiga orang anak tinggal di asrama kena banyar yuran seorang RM3 lebih sehari! Bagai nak mampos aku tiap-tiap bulan nak bayar yuran asrama untuk 3 orang anak, leternya! 

Katanya "Kita nak tipu pendapatan tak boleh kerana ada penyata gaji, tapi kontraktor kaya-raya dan taukeh-taukeh, senang-senang buat surat pengesahan pendapatan RM800 sebulan maka bayarlah dia orang yuran asrama anak dia orang cuma seringgit lebih sehari! Teruk betullah sekarang ni!"

Begitulah antara rungutan harian yang sering menjadi bualan! Apa nak buat...terima je lah! Pada siapa nak mengadu lagi...terima je lah! Sampai bila? Entah!

Friday, September 14, 2012

Jangan ikut nasihat syaitan!

6 perkara yang merosakkan Iman:

1. Malas hendak melakukan perkara berkebajikan.

2. Menurut nasihat syaitan (walaupun syaitan itu dikatakan syaitan yang dikenali kerana ianya tetap syaitan!)

3.Berhenti berusaha untuk mencari keredaan Tuhan dengan maksud untuk mencari keredaan makhluk.

4. Membiarkan diri terperangkap oleh hawa nafsu dan keluar dari jalan orang salih yang hidup secara nabi dan sahabat-sahabatnya.

5. Menyatakan kesalahan-kesalahan aulia Allah dengan niat untuk menurut jalan yang sesat dan tidak mahu menyebut nama soleh mereka.

Thursday, September 06, 2012

Awas, bala makin hampir!

15 maksiat yang mengundang bala:

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila umatku telah membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka, iaitu:

1. Apabila harta negara hanya beredar kepada orang-orang tertentu atau kroni sahaja.

2. Apabila amanah dijadikan sumber keuntungan.

3. Zakat dijadikan hutang.

4. Suami yang menurut kehendak isteri.

5. Anak derhaka kepada ibunya.

6. Sedangkan dia berbaik-baik dengan kawannya.

7. Anak-anak menjauhkan diri daripada ayahnya.

8. Suara-suara ditinggikan di dalam masjid.

9. Yang menjadi ketua satu kaum adsalah yang TERHINA di antara mereka.

10. Seseorang yang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.

11. Khamar (arak) sudah diminum di merata-rata tempat.

12. Kain sutera banyak dipakai oleh kaum lelaki.

13. Para artis disanjung dan menjdi pujaan serta idola.

14. Muzik banyak dimainkan.

15. Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat)

Tuesday, September 04, 2012

Rusydiah telah tiada

Pada 24 Januari 2009 saya pernah menulis satu entry menceritakan kisah seorang pelajar yang antara paling singkat menjadi anak murid saya di blog ini. 

Pada waktu itu, saya begitu tertarik untuk menulis kisah ringkas pelajar ini kerana sebagai seorang guru, saya dapat rasakan ada sesuatu yang begitu istimewa bagi pelajar ini mengenai kecekalan, kegigihan dan enthusiasmenya terhadap ilmu pengetahuan. 

Walaupun bunyinya biasa sahaja namun bagi saya tetap ada kelainan yang saya dapati dari sikap yang ditonjolkannya sewaktu beberapa ketika mendapat khidmat nasihat dan berbual dengannya. 

Selepas beliau berpindah dari sekolah ini dari aliran sains tingkatan enam ke aliran sastera saya tidak pernah lagi berjumpa dengannya melainkan satu ketika yang cukup pendek tempohnya sewaktu saya dijemput memberi ceramah motivasi di sekolah barunya. Itupun dia datang berjumpa dan menyapa saya dengan penuh kemesraan sambil bertanya khabar saya selepas selesai ceramah. Memang baik dan cukup bersopan budaknya.

Dengar tidak dengar saya akan berita pelajar ini ialah tatkala dia diisytiharkan pelajar terbaik STPM daerah ini dengan mendapat pointer yang cukup sempurna iaitu 4. Dari jauh saya cukup berbangga dengan pencaipaiannya dan itulah antara yang dijanjikan kepada saya sewaktu sering berjumpa saya sebelum bertukar sekolah. Dia sesungguhnya telah membuktikan apa yang dia janjikan iaitu pencapaian pointer 4.

Kemudian selepas itu saya mendengar berita dia telah melanjutkan pengajian ke jurusan undang-undang di UIA. Maknanya jika dia tamat belajar nanti dia adalah bakal peguam dan saya yakin dia mampu menjadi peguam yang hebat!

Bagi saya jika mana-mana pelajar mahu mencari contoh pelajar terbaik, maka pelajar ini adalah antara contohnya.

Namun segala-galanya adalah ketentuan Ilahi. Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita akan kembali. Hari ini sewaktu saya mencoretkan entry ini anak murid paling singkat saya itu telah tiada! Dia telah pergi meninggalkan saya dan kita semua buat selama-lamanya tatkala dia belum lagi tamat pengajiannya di UIA.

Rusydiah yang comel, baik dan cekal itu telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya sewaktu ingin berbakti secara sukarela kepada anak bangsanya di sekolah tempat dia menagih ilmu. Saya cukup terkejut dengan berita yang saya terima walaupun saya sedar ajal maut ketentuan Tuhan! Malang saya tidak hadir ke majlis pengkebumian Rusydiah kerana saya sedang berada dikejauhan.

Semoga Allahyarhamah Rusydiah yang cukup istimewa bagi saya itu, dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan bersama dengan para ahli syurga Allah. Allah lebih menyayangi mu Rusydiah. Al-Fatihah!


Tuesday, August 28, 2012

Renung sekejap!

#  Waktu kamu lahir, kamu menangis dan orang-orang sekelilingmu tersenyum. Maka jalanilah hidup mu sehingga pada waktu kamu meninggal, kamu kelihatan terseyum dan orang-orang di sekelilingmu menangis.

#  Jangan tertarik kepada seseorang kerana rupa parasnya, sebab keelokan paras dapat menyesatkan. Jangan pula tertarik kepada kekayaannya kerana kekayaan dapat memusnahkan. Tertariklah kepada seseorang yang dapat membuatu tersenyum kerana hanya senyum yang dapat membuat hari-hari yang gelap menjadi cerah.

#  Seekor burung di tangan lebih baik daripada 10 ekor burung dipohon.

Wednesday, August 22, 2012

Imam Al-Ghazali: Jangan bergaul dengan pemimpin yang zalim...

Imam Al-Ghazali pernah berwasiat agar tinggalkan 4 perkara bagi menjaga keelokan akhlak iaitu:

1. Janganlah kamu suka berbahas dengan seseorang mengenai sesuatu perkara seboleh yang mungkin kerana ia lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan. Ia adalah punca akhlak buruk seperti riya', hasad dengki, bermusuhan, berbangga diri dan sebagainya. Jika terpaksa juga berbahas maka kamu mesti mempunyai 2 tanda pada niat dalam hatimu iaitu;  kamu mengakui sesuatu kebenaran tidak kira ia berada di sebelah kamu atau pihak lain dan kamu lebih suka mencari kelemahan dirimu daripada mencari kelemahan orang lain.

2. Elakkan dirimu daripada menjadi pendakwah yang mengajak kepada kebaikan sekiranya kamu sendiri belum melaksanakannya.

3. Jangan bergaul dengan pemimpin atau pembesar yang zalim malah jika boleh jangan berjumpa dengan mereka kerana lebih banyak padahnya daripada faedahnya.

4. Jangan menerima sebarang pemberian daripada golongan pemimpin atau pembesar walaupun kamu tahu pemberian itu adalah daripada sumber yang halal kerana dibimbangi kamu akan terhutang budi sehingga takut untuk menegur kesalahannya.

Saturday, August 18, 2012

Esok hari raya!

Hari ini hari terakhir Ramadhan bagi tahun ini 1433 H bersamaa 2012 M. Apakah tahun depan sempat berjumpa Ramdhan lagi? Wallahu aklam!

Sepanjang Ramadhan ini aku tidak banyak bergerak ke mana-mana cuma berada di sekitar tempat kerja dan rumah kecuali pada sebelah malam, bertarawih. Di rumah aku banyak membaca. Buku yang sedang aku baca sungguh-sungguh ialah buku '99 Kecerdasan berasaskan Asmaul Husna' karangan Sulaiman AlKumayi. Bagi aku, buku ini satu buku yang menarik dan mungkin aku akan membacanya berkali-kali lagi!

Sekali-sekala bila keluar rumah terdengar kemalangan motosikal di sana sini. Sebelum bulan puasa telah dua orang pelajar aku kemalangan motosikal dan kelmarin seorang lagi anak  jiran yang tersembam di jalanraya. Katanya masih belum sedar. Tak sempat lagi nak pergi ziarah di HTAA Kuantan. Tahun lepas dua orang pelajar aku parah sewaktu merayakan aidil fitri. Seorang selamat dan seorang meninggal dunia!

Bagi aku pada ketika musim perayaan ini, menunggang motosikal dalam suasana kenderaan sederhana dan besar sendat di jalan raya adalah merbahaya. Maklumlah melanggar pun padah, apatah lagi dilanggar! 

Nak salahkan siapapun tak tahu sebabnya yang memandu pun  boleh tahan lajunya. Tapi kadang-kadang tak lajupun dilanggar juga! Yang menunggang motosikal pun sama handal macam diri kebal sepanjang hayat, celok sana celok sini, akhirnya tersadung bawah tayar kereta. Lagi dajal apabila ada yang bagi signal ke kanan, belok ke kiri! Adoi...macam-macam! Pendekkata dalam suasana sekarang tak boleh percaya pemandu lain, sendiri kena hati-hati!

Kalau pergi ke pasaraya pula orang ramai boleh tahan. Kalau dulu nak buat ketupat, orang akan sibuk cari pokok kelapa sebab nak ambil daun kelapa tapi hari ini orang sibuk pergi ke pasaraya, cari ketupat segera! Dulu ayah aku kalau nak buat lemang habis dilembangnya pokok buluh, hari ini tak payah, kalau malas beli kat tepi-tepi jalan, pergi je beli kat pasaraya....lemang segera pun ada!

Sebelum bercuti sekolah sempat aku bertanya dua orang pelajar tentang baju raya. Seorang kata warna tema bajunya merah jambu dan yang seorang lagi merah hati! Beraya sakanlah nampaknya. Yang minta duit raya pun satu hal...satu sekolah minta duit raya, taukeh sawit pun jual ladang! Aku bukan YB atau koperat, sekadar cikgu cabuk, nak bagi satu sekolah tak mampulah!

Okaylah Selamat Hari Raya Maaf Zahir Bathin kepada semua pembaca blog ini yang tidak seberapa ramai, yang sudi jadi followers dan seluruh muslimin dan muslimat! Jemputlah beraya di rumah.