Tuesday, September 04, 2012

Rusydiah telah tiada

Pada 24 Januari 2009 saya pernah menulis satu entry menceritakan kisah seorang pelajar yang antara paling singkat menjadi anak murid saya di blog ini. 

Pada waktu itu, saya begitu tertarik untuk menulis kisah ringkas pelajar ini kerana sebagai seorang guru, saya dapat rasakan ada sesuatu yang begitu istimewa bagi pelajar ini mengenai kecekalan, kegigihan dan enthusiasmenya terhadap ilmu pengetahuan. 

Walaupun bunyinya biasa sahaja namun bagi saya tetap ada kelainan yang saya dapati dari sikap yang ditonjolkannya sewaktu beberapa ketika mendapat khidmat nasihat dan berbual dengannya. 

Selepas beliau berpindah dari sekolah ini dari aliran sains tingkatan enam ke aliran sastera saya tidak pernah lagi berjumpa dengannya melainkan satu ketika yang cukup pendek tempohnya sewaktu saya dijemput memberi ceramah motivasi di sekolah barunya. Itupun dia datang berjumpa dan menyapa saya dengan penuh kemesraan sambil bertanya khabar saya selepas selesai ceramah. Memang baik dan cukup bersopan budaknya.

Dengar tidak dengar saya akan berita pelajar ini ialah tatkala dia diisytiharkan pelajar terbaik STPM daerah ini dengan mendapat pointer yang cukup sempurna iaitu 4. Dari jauh saya cukup berbangga dengan pencaipaiannya dan itulah antara yang dijanjikan kepada saya sewaktu sering berjumpa saya sebelum bertukar sekolah. Dia sesungguhnya telah membuktikan apa yang dia janjikan iaitu pencapaian pointer 4.

Kemudian selepas itu saya mendengar berita dia telah melanjutkan pengajian ke jurusan undang-undang di UIA. Maknanya jika dia tamat belajar nanti dia adalah bakal peguam dan saya yakin dia mampu menjadi peguam yang hebat!

Bagi saya jika mana-mana pelajar mahu mencari contoh pelajar terbaik, maka pelajar ini adalah antara contohnya.

Namun segala-galanya adalah ketentuan Ilahi. Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita akan kembali. Hari ini sewaktu saya mencoretkan entry ini anak murid paling singkat saya itu telah tiada! Dia telah pergi meninggalkan saya dan kita semua buat selama-lamanya tatkala dia belum lagi tamat pengajiannya di UIA.

Rusydiah yang comel, baik dan cekal itu telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya sewaktu ingin berbakti secara sukarela kepada anak bangsanya di sekolah tempat dia menagih ilmu. Saya cukup terkejut dengan berita yang saya terima walaupun saya sedar ajal maut ketentuan Tuhan! Malang saya tidak hadir ke majlis pengkebumian Rusydiah kerana saya sedang berada dikejauhan.

Semoga Allahyarhamah Rusydiah yang cukup istimewa bagi saya itu, dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan bersama dengan para ahli syurga Allah. Allah lebih menyayangi mu Rusydiah. Al-Fatihah!


No comments: