Sunday, July 22, 2012

Renungan pesanan Imam Al-Ghazali

Imam Al-Ghazali pernah berpesan agar dilakukan 4 perkara berikut agar dapat cantikkan akhlak iaitu:

Pertama: Bermu'amalat atau berurusanlah dengan Allah sebagaimana kamu suka orang bawahanmu berurusan dengan mu. Kamu tidak berasa bingung atau marah dengannya. Apa yang kamu tidak suka dilakukan oleh orang bawahanmu maka Allah juga tidak suka perlakuan sedemikian oleh makhluknya kerana Allah itu adalah Tuhan mu yang hakiki. 

Kedua: Setiap kali kamu berkerja dengan orang lain maka perbuatlah sebagaimana kamu mahu diperbuat ke atas dirimu kerana tidak sempurna keimanan seseorang itu selagi dia tidak suka orang lain memperolehi sesuatu yang dia sendiri menyukainya. 

Ketiga: Sekiranya kamu hendak mempelajari sesuatu maka pilihlah ilmu yang dapat memperbaiki hati dan menghidupkan jiwamu. Sekiranya kamu tahu umurmu hanya tinggal seminggu sahaja lagi nescaya kamu hanya mempelajari ilmu untuk mengawasi hatimu dan berusaha melepaskan diri daripada belenggu dunia. 

Keempat: Jangan mengumpul harta dunia lebih daripada keperluan mu untuk tempoh setahun kerana Rasulullah s.a.w sendiri hanya menyediakan bekalan terhadap isteri-isteri baginda untuk tempoh sehari setengah sahaja.

Friday, July 20, 2012

Warisan kata Saidina Ali r.a

Saidina Ali r.a. berkata:

Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyu'.

Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia.

Tiada kebaikan bagi pembaca Al-Quran tanpa mengambil pengajaran daripadanya.

Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifat wara' (memelihara diri dan hati dari dosa).

Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang menyayangi.

Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki.

Doa yang paling sempurna ialah doa yang dilandasi keikhlasan.

Barang siapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya. Siapa yang banyak salahnya, maka hilanglah harga dirinya. Siapa yang hilang harga diri, bererti dia tidak wara', sedang orang yang tidak wara' itu bererti hatinya mati.

 

 

 

Thursday, July 19, 2012

Tuntutan menjaga percakapan

Gambar hiasan

Al-Imam al-Mawardi seorang ulama tafsir menjelaskan tuntutan menjaga percakapan bahawa setiap perkataan yang dilontarkan hendaklah memenuhi syarat-syarat:

Pertama: Isi kandungan percakapan itu haruslah untuk sesuatu keperluan.

Kedua: Ia disampaikan sesuai dengan tempat dan masanya.

Ketiga: Ia difokuskan pada perkara yang berkaitan dengan apa yang sedang dibicarakan.

Keempat: Ia disampaikan sesuai dengan keperluan.

Kelima: Memilih kata-kata yang tepat, ringkas dan padat agar sampai maksudnya.

Wednesday, July 18, 2012

Aku kembali sekali lagi!

Alahai, lama sungguh aku tidak menulis di blog ini. Sekali lagi aku cuba memberi alasan bahawa aku terlalu sibuk dengan pelbagai urusan, sehingga ruang-ruang masa aku terlalu sempit untuk meng-update-kannya! 

Iya...sekali lagi aku akan gagahi diri untuk mencuba buat kesekian kalinya bagi menjadikan ia terus berada di alam maya ini buat aku mencurah sekelumit apa yang aku fikir dan terfikir.

Apakan daya, kadang-kadang otak  bagaikan menjadi beku untuk berfikir mengenai idea dan fakta yang perlu dilontarkan sebagai bahan dakwah dan informasi. 

Insya Allah mulai saat ini aku akan mencuba sekali lagi dengan gigih dan gagah mengembara ke alam pemikiran ku buat ku bentangkan ke alam maya segagah dan segigih tembok besar itu.

Selamat terus bertandang ke blog aku ini untuk titipan terbaru nanti. Terima kasih!

Wednesday, April 25, 2012

Fakta badan manusia

Otak menggunakan lebih daripada suku oksigen yang digunakan oleh badan manusia. Jantung kita berdegup kira-kira 100,000 kali sehari, 36,500,000 kali setahun dan lebih berbilion kali jika hidup lebih daripada 30 tahun.

Sel darah merah membawa oksigen ke seluruh badan. Ia dihasilkan dalam tulang sum-sum kita. Ia berperanan penting membawa darah ke seluruh tubuh kita. 

Manusia mempunyai peringkat tidur yang menunjukkan pergerakan mata yang pantas (REM). Tidur REM merupakan kira-kira 25% daripada jumlah masa tidur dan selalunya apabila kita bermimpi dengan jelas. 

Bayi mengelipkan matanya hanya sekali atau dua kali seminit sementara orang dewasa berkelip mata dengan purata kira-kira 10 kali seminit.

Bersyukurlah dengan setiap anugerah Allah kepada kita sebagai manusia.

Thursday, April 12, 2012

Fokus pada yang satu


Sesuatu kerja atau fokus yang sepatutnya, dibuat sekali sahaja, jangan dibuat dua kali. Usah berhenti daripada memberi fokus terhadap apa yang ingin kita capai.

Pastikan setiap kegiatan yang kita lakukan memberi sumbangan kepada semua matlamat kita. Dengan cara ini kita tidak membazirkan masa dan tenaga kerana semuanya memberi sumbangan ke arah yang sama.

Tuesday, March 27, 2012

Fokus pada matlamat


Sekiranya matlamat yang ingin kita capai itu berkaitan dengan pelajaran dan kehidupan kita, eloklah bincang mengenainya dengan ibubapa kita atau dengan kaunselor kita atau dengan sahabat karib kita atau dengan mana-mana orang yang kita yakini mampu memotivasi diri kita.

Lebih harmoni hubungan yang kita jalin, lebih banyak bantuan yang kita dapat dari orang itu, maka lebih mudahlah kita mempertingkatkan motivasi kita ke arah matlamat kita.

Ingatlah, matlamat sepatutnya menjadi alat untuk kita mencapai apa yang kita impikan dan bukannya menjadi tuan kita. Kita bertanggungjawab mengawal diri kita. Matlamat hanyalah cara untuk mencapai apa yang kita mahu. Insya Allah!