Sunday, April 10, 2011

Jangan suka menempah kegagalan!

Kita hendaklah sentiasa ingat dan sedar tentang satu hakikat besar bahawa "manusia dilahirkan untuk ke dunia adalah untuk mencapai kejayaan, bukan untuk mengalami kegagalan dan penderitaan".

Oleh itu apakah rahsia kejayaan yang sebenar-benarnya? Henry Thoreau memberitahu bahawa rahsia kejayaan yang paling penting ialah sikap percaya kepada diri sendiri.

Kebanyakan kita sebenarnya kurang percaya kepada diri kita sendiri, sering meragui kemampuan dan kebolehan diri sendiri. Maka tidak hairanlah ramai di antara kita yang terbantut di tengah jalan dan gagal dalam mencapai impian hidup. Kita seringkali ragu-ragu dan takut kepada yang tidak jelas. Kita sentiasa dibayangi perasaan khuatir untuk melakukan sesuatu, lalu tidak membuat apa-apa kerananya. Bila begitu, kegagalan telah ditempah secara terang-terangan!

Saturday, April 09, 2011

Memiliki sifat-sifat orang berjaya

Jika kita mahu berjaya dalam hidup maka kita perlu mempunyai sifat-sifat seperti mereka yang berjaya.

Proaktif. Orang yang mampu mengawal diri sesuai dengan arah yang hendak dituju. Tidak mudah terpengaruh dengan unsur-unsur luar dirinya. Orang seperti ini akan dapat dilihat pada penampilan dan sikapnya terhadap sesuatu.

Berani. Sikap berani dalam erti kata yang positif. Dia berani berfikir dan bertindak, tidak terhalang dari melakukan sesuatu yang difikirkan baik dan benar walaupun menyedari ada pelbagai risiko yang menunggu.

Berwawasan. Orang yang berwawasan sudah pasti mampu melihat masa depannya dengan kacamata yang jernih, setelah meneliti segala kemungkinan dan latar belakang apa juga perkara yang diyakini akan mewarnai masa ddpan tersebut.

Harga diri. Orang yang menyedari kelemahan dan kekurangan diri sendiri di samping kelebihan serta keunikannya. Tidak akan merendah diri di atasa kekurangan fizikal yang dimiliki kerana sedar bahawa itu adalah ketentuan buatnya yang tidak mampu diubah. Pada waktu yag sama sangat menyedari bahawa semua oarang adalah sama dari segi keupayaan pemikiran, jiwa dan emosi.

Memiliki sifat-sifat yang disebutkan itu kita mampu mencapai apa yang kita impikan dan menjadi kita yang hebat dalam kehidupan kita asalkan kita kuat berusaha.

Thursday, April 07, 2011

Disiplinkan minda

Sudah diterima umum bahawa tiada kejayaan yang lebih bermakna daripada kejayaan itu sendiri. Ini bererti bahawa sekiranya kita mewujudkan satu pola pemikiran berjaya dalam hidup kita maka minda bawah sedar kita akan menjadi sebati dengan perkara ini dan bertindak menjadikannya suatu relaiti setiap hari.

Keadaan yang sebaliknya juga telah terbukti kebenarannya iaitu sekiranya setiap hari dalam hidup ini kita menghadapi kegagalan maka minda bawah sedar kita akan menerima keadaan itu sebagai apa yang kita mahu amalkan dalam hidup ini dan oleh itu kegagalan akan menjadi cara hidup kita.

Kejayaan dan kegagalan hanya muncul melalui permikiran kegagalan atau pemikiran berjaya. Oleh yang demikian kita perlu menerima hakikat bahawa mereka yang sering mendapat kejayaan adalah terdiri daripada mereka yang berjaya mendisiplinkan minda mereka untuk sentiasa berfikir tentang kejayaan.


Wednesday, April 06, 2011

Carilah peluang!


Hidup ini penuh dengan peluang. Had dan batasan adalah kemampuan kita berfikir dan bertindak. Peluang dan harapan ada pada setiap orang dari kita. Jika ada harapan maka akan adalah segala-galanya. Sebaliknya jika kita berputus asa, goyang kaki, menunggu bulan jatuh ke riba, maka sia-sia hidup seseorang itu. Itu negatif namanya!

Peluang untuk berjaya tidak datang sekali sahaja dalam hidup. Ia tetap ada pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Kita hanya perlu menyedari hakikat bahawa setiap dari kita, peluang masih ada dan cuma berusaha gigih.

Cuba lagi! Kita mesti mempraktikkan kemahuan dan tekad untuk m,cipta hidup yang berjaya dan bahagia ke tahap tertinggi yang mampu.



Tuesday, April 05, 2011

Bersikap positif

Jika kita bersikap negatif iaitu selalu berfikir secara " kalau, tetapi dan kecuali", serta sentiasa mudah menyerah kalah, pesimis, belas diri, tidak ada masa, sudah tua dan sebagainya maka sudah tentu kita tidak akan berjaya dalam hidup. Kesemuanya itu adalah benteng yang menyekat kita daripada mencapai kejayaan dan kebahagiaan hidup. Dengan lain perkataan semakin kurang kita diganggu dan dinodai oleh penyakit mental yang disebutkan itu, semakin baik peluang kita untuk mencapai cita-cita.

Kata Cicero, " Manusia adalah musuh sendiri yang paling tegar". Ingatlah bahawa sifat suka merungut, menyesal dan mengadu adalah milik orang bodoh.

Disiplinkan diri daripada terikut-ikut kepada tarikan luar yang hanya memberi keseronokan sementara. Ia akan memesong dan mematahkan pencapaian cita-cita kita. Ia adalah godaan iblis yang menjahanamkan.


Sunday, April 03, 2011

Tingkatan Enam Sains atau Matrikulasi?

Ada seseorang bertanya saya, tidak pasti pelajar atau bukan, tapi gelaran yang dipakai ialah Luna. Luna bertanya apakah susah belajar di Tingkatan Enam Sains berbanding di Matrikulasi? Untuk menjawab persoalan itu saya berpendapat sesuai untuk saya menulisnya sebagai entri baru.

Saya tidak berhasrat untuk menimbulkan polimik di sini. Cuma sekadar mahu menyatakan pandangan yang termampu.

Bagi saya yang pernah mengharungi pahit getir belajar, susah atau senang adalah perkara yang subjektif. Ianya sangat bergantung kepada individu. Bagi individu ini mungkin terasa susah tetapi bagi individu itu sebenarnya senang. Pendirian begitu kerana biasanya kita adalah kita, hasil daripada pengalaman masa lalu yang pernah kita tempuhi dan inilah yang menjadikan sikap peribadi kita sekarang, sering mengambil kira susah atau senang!

Bagi saya, senang - tidak semestinya mudah berjaya, dan susah - bukan bermakna susah berjaya. Pokoknya bagaimana kita menghadapi cabaran dan rintangan pembelajaran yang kita terpaksa tempuhi. Mana persediaan dan perancangan kita? Mana iltizam dan keazaman kita? Mana disiplin dan fokus kita? Mana pengurusan masa dan dan kesungguhan kita? Semua itu menentukan kejayaan kita, bukan susah atau senang yang berselirat di sekeliling kehidupan kita, yang terpaksa kita hadapi.

Jika saya katakan, Tingkatan Enam aliran sains lebih susah daripada Matrikulasi, ianya tidak bermakna itu adalah jalan yang sukar untuk mencapai kejayaan. Jika pula saya memberitahu bahawa Matrikulasi itu mudah, ianya tidak bermakna Matrikulasi adalah jangan mudah untuk mencapai kejayaan masa depan!

Sesuatu yang bernilai dan berharga memang sukar untuk diperolehi, melainkan melalui usaha dan perjuangan yang benar-benar mantap yang mesti dilakukan. Memahami hakikat itu, kita pasti akan memperolehi kejayaan dan kecemerlangan dalam mengejar impian hidup kita. Perpatah Melayu ada mengatakan, "Kalau tidak sanggup dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai".

Fitrahnya semua kita boleh berjaya. Selamat berjuang dan semoga Luna terus cemerlang!




Friday, April 01, 2011

Sabar dalam berjuang

Sabar bererti menahan diri, cekal memikul beban, tetap dan kuat menderita kepayahan tanpa keluh kesah dan gelisah. Gopoh atau keresahan adalah contoh orang tidak sabar. Ia adalah sejenis penyakit. Ia berpunca daripada emosi takut atau bimbang atau gelisah.

Takut akan gagal atau takut gagal lagi adalah perkara yang biasa menghantui. Akibatnya kita akan selalu diserang sakit kepala, migrain. gentar, sesak nafas dan kadang-kadang datang rasa putus asa.

Untuk mengatasi penyakit ini kita perlu banyak bersabar. Lakukan sesuatu dengan perlahan dan teratur. Sematkan di dada bahawa tiada gunanya bersifat resah kerana kemenangan pasti menjelma bagi mereka yang tidak kenal erti putus asa.

Hanya orang yang sabar, akan mampu memimpin dirinya kepada kejayaan dan kecemerlangan hidup. Asalkan kita bersabar, kepahitan berjuang di permulaan akan berakhir dengan kemenangan yang sangat manis. Percayalah, orang yang tidak sabar adalah orang lemah yang berjiwa kecil.