Monday, February 07, 2011

Hakikat kehidupan

Hakikatnya kehidupan ini adalah kursus pembangunan diri yang tiada hentinya. Ia bukannya mengenai apa yang ingin kita jadi tetapi hanyalah mengenai apa yang kita bersedia untuk jadi.

Setiap detik kita manusia sering sibuk membina kehidupan. Sejak dilahirkan hinggalah menemui ajal, kita sibuk dengan usaha menyelesaikan masalah. Tetapi, sekiranya kita mempunyai disiplin, kesungguhan dan keimanan dalam menyelesaikan masalah, kita akan dapat menikmati kehidupan yang cukup memuaskan hati kita, yang penuh dengan kesyukuran kepada Ilahi.

Sekiranya kita tidak berani menghadapi dan mengatasi masalah, (hingga ke tahap kita cuba mengelakkan diri daripada masalah yang timbul), maka kita mungkin akan menjadi sasau atau mengalami sakit jiwa yang parah. Atau mungkin juga kita akan mencipta dan hidup dalam satu alam palsu di mana tidak terdapat sebarang masalah. Ini terpulang kepada kita sendiri.

Sunday, February 06, 2011

Mencari impian yang munasabah


Salah satu impian yang munasabah ialah membebaskan diri kita daripada kegagalan, kesedihan dan segala macam masalah yang mungkin menanti. Ini adalah akibat daripada keadaan semula jadi atau kerana sikap yang rancu dan kesilapan sendiri yang menyebabkan kita sering mencapai apa yang bertentangan daripada perkara yang paling dihajati.

Oleh itu impian yang munasabah merupakan peluang untuk membebaskan pemikiran daripada sebarang belenggu dan memanfaatkan semua kuasa yang hebat yang ada dalam diri kita untuk membentuk kehidupan yang kita hajati.

Kita sebenarnya memiliki segala apa yang kita inginkan dalam diri kita. Tugasnya sekarang ialah mencari dalam diri di samping menzahirkannya dalam kehidupan. Salah satu cubaan yang paling besar dalam hidup ini ialah kita perlu mencari apa sebenarnya yang kita hajati untuk kehidupan bahagia di dunia ini mahupun di akhirat kelak.

Saturday, February 05, 2011

Kita yang menentukan

Sebenarnya, Allah telah mencipta minda yang penuh ketakjuban. Minda itulah yang mencetus bentuk kehidupan yang kita ingini.

Sekiranya segala tindakan yang kita lakukan adalah mengikut perancangan, kita mampu mencipta apa yang menjadi impian kita selama ini. Tetapi, andainya kita tidak berusaha secara terancang, kita hanya akan mencipta bentuk kehidupan secara kebetulan atau mengikut kelaziman.

Kita sememangnya mencorakkan kehidupan kita. Persoalannya ialah sama ada ia dibuat secara terarah atau secara tidak sengaja! Kitalah yang menentukannya.


Friday, February 04, 2011

Potensi kita tiada terhad


Sebenarnya tiada siapapun boleh dianggap dilahirkan sebagai biasa. Setiap insan adalah ciptaan yang unik yang tersendiri. Tiada seorang pun di dunia ini yang menyerupai kita secara individu. Ini tidak pernah berlaku dan tidak akan berlaku.

Kita secara peribadi masing-masing adalah individu yang unik, mempunyai bakat dan potensi. Kita juga mempunyai bakat yang tidak terhad.

Sesungguhnya kita menjadi bukti unik tentang kehebatan dan keangungan Pencipta kita yang menganugerahkan kita potensi yang tiada terhad sejak kita dilahirkan.

Persoalannya, apakah kita mampu melihat potensi kita atau kita hanya sering mensia-siakannya sahaja - sama ada kita tidak faham atau tidak mempercayai bahawa kita berpotensi?

Thursday, February 03, 2011

Hari ini sebelum kita....

Hari ini bayu masih bertiup dingin. Di luar sana keadaan terus mendung. Agaknya musim tengkujuh belum berlalu sepenuhnya. Di sini aku mahu memaparkan beberapa kata-kata untuk renungan yang aku sudah pun lupa dari mana aku ambilnya. Kepada tuan yang menyusun kata-kata ini aku mohon maaf di atas keterlupaan aku itu. Semoga Allah memberi rahmat kepada empunya.

Hari ini sebelum kita mengatakan kata-kata yang tidak baik,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak dapat berkata-kata sama sekali.

Sebelum kita mengeluh tentang rasa dari makanan,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak punya apapun untuk dimakan.

Sebelum anda mengeluh tidak punya apa-apa,
Fikirkan tentang seseorang yang meminta-minta dijalanan.

Sebelum kita mengeluh bahawa kita buruk,
Fikirkan tentang seseorang yang berada pada keadaan yang terburuk di dalam hidupnya.

Sebelum mengeluh tentang suami atau isteri kita masing-masing,
Fikirkan tentang seseorang yang memohon kepada Tuhan untuk diberikan teman hidup.

Hari ini sebelum kita mengeluh tentang hidup,
Fikirkan tentang seseorang yang meninggal terlalu cepat.

Sebelum kita mengeluh tentang anak-anak kita,
Fikirkan tentang seseorang yang sangat ingin mempunyai anak tetapi dirinya mandul.

Sebelum kita mengeluh tentang rumah yang kotor kerana pembantu tidak mengerjakan tugasnya,
Fikirkan tentang orang-orang yang tinggal dijalanan.

Dan di saat kita letih dan mengeluh tentang pekerjaan,
Fikirkan tentang pengangguran, orang-orang cacat yang berharap mereka mempunyai pekerjaan seperti kita.

Sebelum kita menunjukkan jari dan menyalahkan orang lain,
Ingatlah bahawa tidak ada seorangpun yang tidak berdosa.

Dan ketika kita sedang bersedih dan hidup dalam kesusahan,
Tersenyum dan berterima kasihlah kepada Tuhan bahawa kita masih hidup !

Wednesday, February 02, 2011

Segamat masih tenggelam

Bandar Segamat masih tenggelam. Keadaan banjir masih lagi belum surut. Masih ramai yang berada di penempatan banjir. Nampaknya keadaan banjir di Segamat lebih parah dari tahun 2007 yang lalu. Semoga mereka yang menjadi mangsa banjir banyak bersabar dengan dugaan yan menimpa.

Kepada rakan-rakan bangsa Cina pasti sambutan tahun baru Cina tahun ini menjadi tentu arah lagi terutama mereka yang menjadi mangsa banjir. Petang ini akan 'makan besar'. Rumah masih ditakungi air. Malah masih ada lagi yang belum boleh balik ke rumah, untuk membuat persiapan raya, ada yang masih berada di penempatan banjir sekolah-sekolah, balai raya dan sebagainya.

Bersabar sahajalah, semoga semuanya selamat. Sambutlah Tahun Baru Cina ala-kadar sahaja. Yang penting jaga keselamatan dan kesihatan. Kepada semua rakan-rakan Cina diucapkan , Gong Xi Fat Chai! Semoga tahun Arnab membawa tuah kepada anada semua!

Kepada mangsa-mangsa banjir yang lain, juga perlu bersabar. Ikutlah nasihat pihak berkuasa. Jangan biarkan anak-anak terlalu seronok bermain air. Jaga keselamatan. Segamat masih tenggelam!

Tuesday, February 01, 2011

Ramai yang nak kuruskan badan...eloklah tu!


Bila bercakap dengan kawan-kawan sambil bersarapan pagi ramai yang merungut naik badan. Maksudnya semakin bertambah berat badan. Gemuklah tu konon-kononnya! Maka pelbagailah cara, cadangan dan amalan yang terkeluar untuk katanya menurunkan berat badan. Ada yang banyakkan berpuasa. Ada yang berjoging. Ada yang bermain badminton ada jugak katanya yang main golf! Main golff!! Entah di manalah main golf itu agaknya?

Bagi aku soal berat badan ini bukan isu sangat. Semenjak semakin berusia ini, makan pun semakin berkurangan dan agak memilih. Tidak semua yang aku bedal. Contoh aku sudah hampir bertahun tidak makan roti canai tapi kalau capati aku bedal. Namun sejak akhir-akhir ini aku rasa kembali roti canai, sekali-sekala bertujuan mengalih selera tapi cuma di kantin sekolah di luar aku tak sentuh.

Kalau makan aku lebih suka makan yang bakar dan panggang. "Sea food" aku tidak ghairah langsung! Makanlah orang!

Aku pernah terbaca langkah-langkah berkesan untuk menurunkan berat badan yang berlebihan tapi katanya jangan bertindak terlalu drastik.

Antara yang disyorkan ialah minum air putih yang mencukupi. Sekurang-kurangnya 2 liter sehari. Tapi musim hujan ini banyak minum air putih agak sensitif sedikit, nak buang air kecil sahaja! Katanya jumlah ini sudah memadai untuk tubuh kita bagi menurunkan berat badan, mengeluarkan toksin dan menambah tenaga. Katanya adalah baik untuk turunkan berat badan, minum air dahulu sebelum makan.

Bagi yang berkerja terutama guru antara perkara yang elok dilakukan ialah naik turun tangga. Tapi hati-hati, musim hujan ini tangga licin, nanti tersembam pula ke lantai! Gunakan tangga selama 10 minit ketika menuju ke pejabat atau ke kelas-kelas. Lebih elok kalau hendak menuju ke kelas atau ke tempat kawan-kawan gunalah perjalanan jarak jauh sambil turun naik tangga. Jika ini dijadikan amalan, sudah pasti hasilnya memberansangkan.

Kalau berada di rumah, elok sambil menonton TV kayuh basikal "air bike". Kalau tidak mengayuh basikal, menontonlah sambil duduk jauhi alat kawalan jauh TV atau apa sahaja. Berjalanlah sedikit untuk menuju ke televisyen dan radio untuk menukar siaran.

Ada orang yang berdiet langsung tidak mengambil lemak. Sebenarnya lemak penting untuk proses metabolisme badan. Mengambil lemak baik yang terdapat dalam ikan, telur, minyak zaitun dan kacang. Apabila ambil secukupnya untuk membantu menurunkan berat badan dan ia juga baik untuk rambut dan kuku.

Oleh kerana mahu kuruskan badan ramai juga yang tidak mengambil sarapan pagi. Pukul 11 atau 12 tengahari baru bersarapan, yang sebenarnya itu makan tengahari! Hakikat sebenarnya menurut pakar, orang yang mulakan harinya dengan bersarapan lebih cenderung untuk kurus berbanding orang yang tidak ambil sarapan pagi. Ini kerana sarapan memberikan tenaga maksima dan mengelakkan daripada rasa lapar yang berterusan.

Namun paling penting, kurus atau gemuk jagalah kesihatan. Makanlah tetapi apa yang dimakan perlu diambil kira secara serius terutama makanan yang dibeli. Jangan main belasah sahaja. Hari ini ramai sangat yang mati mengejut. Tiba-tiba dengar cerita mati! Tak sempat berwasiatpun!