Tuesday, August 28, 2012

Renung sekejap!

#  Waktu kamu lahir, kamu menangis dan orang-orang sekelilingmu tersenyum. Maka jalanilah hidup mu sehingga pada waktu kamu meninggal, kamu kelihatan terseyum dan orang-orang di sekelilingmu menangis.

#  Jangan tertarik kepada seseorang kerana rupa parasnya, sebab keelokan paras dapat menyesatkan. Jangan pula tertarik kepada kekayaannya kerana kekayaan dapat memusnahkan. Tertariklah kepada seseorang yang dapat membuatu tersenyum kerana hanya senyum yang dapat membuat hari-hari yang gelap menjadi cerah.

#  Seekor burung di tangan lebih baik daripada 10 ekor burung dipohon.

Wednesday, August 22, 2012

Imam Al-Ghazali: Jangan bergaul dengan pemimpin yang zalim...

Imam Al-Ghazali pernah berwasiat agar tinggalkan 4 perkara bagi menjaga keelokan akhlak iaitu:

1. Janganlah kamu suka berbahas dengan seseorang mengenai sesuatu perkara seboleh yang mungkin kerana ia lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan. Ia adalah punca akhlak buruk seperti riya', hasad dengki, bermusuhan, berbangga diri dan sebagainya. Jika terpaksa juga berbahas maka kamu mesti mempunyai 2 tanda pada niat dalam hatimu iaitu;  kamu mengakui sesuatu kebenaran tidak kira ia berada di sebelah kamu atau pihak lain dan kamu lebih suka mencari kelemahan dirimu daripada mencari kelemahan orang lain.

2. Elakkan dirimu daripada menjadi pendakwah yang mengajak kepada kebaikan sekiranya kamu sendiri belum melaksanakannya.

3. Jangan bergaul dengan pemimpin atau pembesar yang zalim malah jika boleh jangan berjumpa dengan mereka kerana lebih banyak padahnya daripada faedahnya.

4. Jangan menerima sebarang pemberian daripada golongan pemimpin atau pembesar walaupun kamu tahu pemberian itu adalah daripada sumber yang halal kerana dibimbangi kamu akan terhutang budi sehingga takut untuk menegur kesalahannya.

Saturday, August 18, 2012

Esok hari raya!

Hari ini hari terakhir Ramadhan bagi tahun ini 1433 H bersamaa 2012 M. Apakah tahun depan sempat berjumpa Ramdhan lagi? Wallahu aklam!

Sepanjang Ramadhan ini aku tidak banyak bergerak ke mana-mana cuma berada di sekitar tempat kerja dan rumah kecuali pada sebelah malam, bertarawih. Di rumah aku banyak membaca. Buku yang sedang aku baca sungguh-sungguh ialah buku '99 Kecerdasan berasaskan Asmaul Husna' karangan Sulaiman AlKumayi. Bagi aku, buku ini satu buku yang menarik dan mungkin aku akan membacanya berkali-kali lagi!

Sekali-sekala bila keluar rumah terdengar kemalangan motosikal di sana sini. Sebelum bulan puasa telah dua orang pelajar aku kemalangan motosikal dan kelmarin seorang lagi anak  jiran yang tersembam di jalanraya. Katanya masih belum sedar. Tak sempat lagi nak pergi ziarah di HTAA Kuantan. Tahun lepas dua orang pelajar aku parah sewaktu merayakan aidil fitri. Seorang selamat dan seorang meninggal dunia!

Bagi aku pada ketika musim perayaan ini, menunggang motosikal dalam suasana kenderaan sederhana dan besar sendat di jalan raya adalah merbahaya. Maklumlah melanggar pun padah, apatah lagi dilanggar! 

Nak salahkan siapapun tak tahu sebabnya yang memandu pun  boleh tahan lajunya. Tapi kadang-kadang tak lajupun dilanggar juga! Yang menunggang motosikal pun sama handal macam diri kebal sepanjang hayat, celok sana celok sini, akhirnya tersadung bawah tayar kereta. Lagi dajal apabila ada yang bagi signal ke kanan, belok ke kiri! Adoi...macam-macam! Pendekkata dalam suasana sekarang tak boleh percaya pemandu lain, sendiri kena hati-hati!

Kalau pergi ke pasaraya pula orang ramai boleh tahan. Kalau dulu nak buat ketupat, orang akan sibuk cari pokok kelapa sebab nak ambil daun kelapa tapi hari ini orang sibuk pergi ke pasaraya, cari ketupat segera! Dulu ayah aku kalau nak buat lemang habis dilembangnya pokok buluh, hari ini tak payah, kalau malas beli kat tepi-tepi jalan, pergi je beli kat pasaraya....lemang segera pun ada!

Sebelum bercuti sekolah sempat aku bertanya dua orang pelajar tentang baju raya. Seorang kata warna tema bajunya merah jambu dan yang seorang lagi merah hati! Beraya sakanlah nampaknya. Yang minta duit raya pun satu hal...satu sekolah minta duit raya, taukeh sawit pun jual ladang! Aku bukan YB atau koperat, sekadar cikgu cabuk, nak bagi satu sekolah tak mampulah!

Okaylah Selamat Hari Raya Maaf Zahir Bathin kepada semua pembaca blog ini yang tidak seberapa ramai, yang sudi jadi followers dan seluruh muslimin dan muslimat! Jemputlah beraya di rumah.



 

Thursday, August 16, 2012

Awas turun 5kg naik 10 kg!


Walaupun Ramadhan semakin hampir ke penghujung, hari raya Aidil Fitri pula semakin hampir. Berlalunya Ramadhan ini, bilakah agaknya kita berjumpa lagi dengannya. Kalau berjumpa lagilah...kalau tidak, inilah Ramadhan terakhir kita. Berbaloikah ibadah dan tarbiyah yang kita perolehi dari Ramadhan yang akan berlalu pergi ini? Masing-masing muhasabahlah sendiri.

Belum apa-apa sudah ramai yang seronok Aidil Fitri bakal tiba. Berbagai persiapan untuk menyambutnya kian rancak. Esok mungkin ada yang sudah mula mencari daging lembu, kerbau atau mungkin rusa (?) untuk serunding, sate dan rendang di pagi Aidil Fitri! Terserahlah kepada masing-masing....kan?

Tapi awas, semasa hari raya nanti terutama bagi yang ada masalah kesihatan. Di Ramadhan kesihatan agak terkawal, kalori stabil, berat badan menurun, tummy susut, masa hari raya apakah akan mampu begitu juga?

Biasanya di musim Aidil Fitri, mesti makan terlalu banyak karbohidrat. Di antara makanan yang berkarbohidrat rasanya ketupat, lontong, lemang, pelbagai jenis nasi, kuih muih dan pastinya kek! Karbohidrat yang diambil ini akan ditukar kepada gula dalam badan.

Paras gula akan naik di dalam darah dan merangsang badan untuk menghasilkan hormon insulin yang akan menukar gula kepada lemak dan disimpan di dalam badan. Disebabkan metabolisme badan rendah akibat berpuasa, penggunaan dan penghasilan lemak tidak seimbang. Pemecahan lemak lambat tetapi pembentukan lemak terlalu pantas dan banyak. Jika ada hormon penyimpan lemak, mesti ada hormon pemecah lemak!

Bagi yang mempunyai paras hormon pemecah lemak yang rendah seperti hormon tiroid, hormon tumbesaran dan glukagon, proses pemecahan lemak dalam badan akan menjadi lebih perlahan. Inilah masalahnya. Hal ini mampu menyebabkan berat badan seseorang itu boleh naik dengan mendadak semasa musim raya. Hati-hati!! 

Jadikanlah musim Aidil Fitri hari-hari ibadah yang mampu terus mentarbiyah diri kita untuk menginsafi kehidupan...terutama kehidupan saudara-saudara Rohinnya kita di sana...entah makan, entah tidak mereka!

Dah bayar zakat fitrah? Nanti terlupa!

Wednesday, August 15, 2012

Renungan penghujung Ramadhan


# Ketika satu pintu kebahagian tertutup, pintu yang lain  dibukakan. Tetapi sering kali kita terpaku terlalu lama pada pintu yang tertutup itu sehingga tidak melihat pintu lain yang dibukakan bagi kita.

# Seseorang manusia harus cukup rendah diri untuk mengakui kesilapannya, cukup bijak mengambil manfaat daripada kegagalannya dan cukup berani untuk membetulkan kesilapannya.

# Dalam hidup terkadang kita lebih banyak mendapat apa yang tidak kita inginkan. Dan ketika kita mendapatkan apa yang kita inginkan, akhirnya kita tahu bahawa yang kita inginkan terkadang tidak dapat membuat hidup kita menjadi lebih bahagia.

# Masa depan yang cerah berdasarkan pada masa lalu yang telah dilupakan. Kita tidak dapat melangkah dengan baik dalam kehidupan kita sehingga kita melupakan kegagalan kita dan rasa sakit hati kita.

# Jadikanlah diri kita bagai pohon rendang di mana insan dapat berteduh. Jangan jadi seperti pohon kering tempat pungguk melepaskan rindu dan hanya layak dibuat kayu api.

# Semoga kita mendapat cukup kebahagiaan untuk membuat kita bahagia, cukup cubaan untuk membuat kita terus kuat, cukup penderitaan untuk membuat kita sedar diri dan bersungguh-sungguh, dan cukup harapan untuk membuat kita positif terhadap kehidupan.

Sekian, ingatlah Syawal bukan bulan atau hari pesta-pestaan tetapi ia adalah kesinambungan ibadah dari Madrasah Ramadhan Al-Mubarak. Semoga sentiasa bahagia dan ceria selalu.

Friday, August 10, 2012

Impak Rumah Hijau

Isu tenaga dan alam sekitar mula diminati pada awal tahun 1980 apabila penggunaan tenaga didapati berkait rapat dengan penigkatan suhu dunia. Suhu purata permukaan bumi meningkat sebanyak 0.6oc datuh tahun 1960-1990 berbanding 0.2oc dari tahun 1860-1960 dan 0.1oc seratus tahun sebelumnya.

Ahli sains membuktikan bahawa kebanyakan gas yang dihasilkan daripada pembakaran bahan api fosil seperti karbon dioksida adalah penyebab utama peningkatan suhu yang menyebabkan berlakunya pemanasan global.

Impak Rumah Hijau:

# Kenaikan suhu bumi.
# Perubahan cuaca yang melampau (taufan, banjir, tanah runtuh dan lain-lain)
# Peningkatan aras laut akibat pencairan glasier, akibat pemanasan global.
# Kemarau.
# Kandungan CO2 yang tinggi dalam atmosfera.
# Peningkatan emisi gas-gas rumah hijau di negara-negara yang sedang membangun
# Penipisan lapisan ozon.

Dalam hal ini manusia harus banyak muhabah diri terhadap setiap perlakuan mereka dalam mengurus alam yang diamanahkan ini. Sehubungan itu, Allah memberi peringatan kepada manusia melalui firman-Nya yang bermaksud: Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali insaf. (al-Rum: 41) 

Berkenaan tanggungjawab manusia memelihara alam sekitar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan. (riwayat Muslim). 

Antara ketamakan nafsu dan keinsafan jiwa yang mana menjadi pilihan ?

Wednesday, August 08, 2012

Dari kerana mata....

Mata kita dapat melihat dan membezakan lebih kurang tujuh sehingga 10 juta warna. Mata berkelip 15 kali dalam satu minit atau 21,600 kali sehari atau lapan juta kali kerlipan mata setahun.

Retina mata hanya setipis kertas.

Kita tidak mungkin bersin dengan mata terbuka. 

Mata kiri dan kanan perlu bergabung untuk menentukan jarak sesuatu objek.

Dilaporkan, statistik di Singapura mencatatkan rabun jauh adalah gangguan yang sangat umum di kalangan generasi muda dan data dari School Health service merekodkan setiap tahun jumlah kanak-kanak yang mengalami masalah rabun jauh semakin meningkat.

Masalah rabun jauh boleh berlarutan sehingga menyebabkan m,asalah kesihatan lain seperti retinal detachment dan sebagainya.

Mata yang tidak dapat melihat disebut 'buta'. Buta disebabkan oleh banyak faktor. Antaranya mungkin mata yang keletihan akibat merenung komputer terlalu lama.

Oleh itu cuba kurangkan memandang terus pada skrin. Lebih kerap kita duduk di hadapan komputer, risiko untuk buta juga semakin meningkat selain kekeringan. 

Hargailah anugerah Allah yang hebat ini dengan penuh kesyukuran demi untuk keselesaan sendiri.

Sunday, August 05, 2012

Gen menipu dan curang

Kajian yang dilaporkan dalam Arkib Kelakuan Seksual, Amerika Syarikat menyatakan seseorang itu berisiko tinggi untuk curang sekiranya bapanya seorang playboy. 

Para saintis mendapati terdapat hubungan antara ibubapa yang curang dengan penipuan dalam kalangan wanita. Ini kerana, menurut Ketua Penyelidik Jan Hvlieck, seksualiti lelaki boleh dibentuk sejak mereka kecil lagi berbanding wanita.

Sebenarnya Islam telah memberi tahu dan mengajar hal ini lama dah....tak kiralah sama ada dalam mendapat zuriat lelaki atau perempuan. Cumanya penganut Islam mahu ambil tahu atau tidak!

“Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud, “Setiap anak dilahirkan seperti kain putih, ibu bapanya yang mencorakkannya sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi”.
 
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sekiranya seseorang di antara kamu ketika hendak mendatangi isterinya, maka hendaklah ia membaca: “Bismillah, Dengan nama Allah. Ya Allah, jauhkanlah syaitan daripada kami dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami."

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda "Mukmin yang sempurna dalam kalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)

Nabi s.a.w. ada bersabda yang bermaksud "Pilihlah isteri yang sesuai untuk benih-benih kamu (anak-anak)."

Diriwayatkan ada seorang datang kepada Saidina Umar menceritakan keburukan perangai anaknya lalu Saidina Umar r.a. memanggil anaknya dan mengingatkannya tentang besarnya dosa menderhaka ibubapa. 

Si anak tadi bertanya Saidina Umar : “Tidakkah anak juga ada hak ke atas ibubapanya”? 

Jawab Umar : Ya! 

Anak itu tanya : “Apakah dia hak-hak mereka”? 

Saidina Umar menjawab hak-hak anak ialah : “Hendaklah si bapa memilih ibu yang solehah, memberi nama yang baik untuk anaknya dan mengajarnya Al-Quran. 

Si anak terus jawab selepas itu : “Dia tidak membuat satu pun daripada 3 perkara itu. Yang pertama dia tidak pilih isteri yang baik. Kedua dia menamakanku Ja'lun (Ja'ranun). Ketiga dia tak mengajarku satu huruf pun daripada Al-Quran”. 

Saidina Umar r.a. pun berkata : “Adakah kamu datang untuk mengadukan kepadaku kederhakaan anakmu........ kamu yang telah menderhakainya sebelum dia menderhakaimu”.

Wallahu aklam.

Saturday, August 04, 2012

Cantiknya Bulan!

Malam tadi aku melihat bulan. Betapa indah kejadian Allah, Tuhan Yang Maha Bijaksana dan Maha Berkuasa.

Mengikut kajian pakar, bulan mempunyai garis pusat 3450km, iaitu satu perempat saiz bumi. Ia berputar mengelilingi bumi dari jarak kejauhan 384,000 km atas paksi yang condong sedikit berbanding Dataran Ekliptik.

Sambil mengelilingi bumi, bulan berputar atas paksinya sendiri dengan kelajuan yang sama, iaitu 360 darjah dalam masa lebih sedikit dari 27 hari.

Ini menyebabkan permukaan bulan yang sama menghadap bumi. Persamaan masa putaran bulan atas paksinya dan masa yang diambilnya mengelilingi bumi adalah disebabkan oleh bentuk bulan yang tidak begitu bulat dan juga agak memanjang.

Aku suka bulan.

Thursday, August 02, 2012

Waktu-waktu yang ada....

Ambillah waktu untuk berfikir, itu adalah sumber kekuatan.
Ambillah waktu untuk bermain, itu adalah rahsia dari masa muda yang abadi.
Ambillah waktu untuk berdoa, itu adalah sumber ketenangan.
Ambillah waktu untuk belajar, itu adalah sumber kebijaksanaan.
Ambillah waktu untuk mencintai dan dicintai, itu adalah keistimewaan yang dianugerah Tuhan.
Ambillah waktu untuk bersahabat, itu adalah jalan menuju kebahagiaan.
Ambillah waktu  untuk tertawa, itu adalah muzik yang menggetarkan hati.
Ambillah waktu untuk memberi, itu adalah membuat hidup terasa bererti.
Ambillah waktu untuk bekerja, itu adalah nilai keberhasilan.
Ambillah waktu untuk beramal, itu adalah kunci menuju syurga.