Saturday, February 26, 2011

Tak usah menyerah kalah kepada masalah


Apabila kita mengalami masalah, kita mesti berfikir dengan sikap positif bahawa kita akan dapat selesaikan masalah itu. Sikap positif adalah asas ‘keyakinan bertahan’ iaitu sikap milik individu-individu yang tidak mudah dikalahkan.

Mereka adalah orang-orang yang percaya mereka tidak akan hancur oleh masalah ataupun kesukaran dan kesulitan. Mereka berfikir dengan rasional bagi memahami masalah yang mereka alami dan mereka mencipta pelbagai cara dan kemungkinan menyelesaikannya, lalu mereka cuba satu, satu, cara itu sehingga akhirnya mereka menemui kunci penyelesaian. Semua masalah ada kunci penyelesaian, selalu ada, asal sahaja kita tidak panik dan cepat menyerah.

Di sekeliling kita ada individu-individu yang hancur kerana masalah dan kesukaran. Sebahagian mereka mungkin terdiri daripada orang-orang yang rapat dengan kita. Mereka mempunyai cita-cita dan matlamat hidup. Mereka belajar…mereka berkerja…mereka berusaha…mereka berfikir…mereka berjuang…mereka juga berdoa. Tetapi disebabkan jalan yang mereka terpaksa tempuhi dirasai terlalu sukar, mereka berasa letih, jenuh, bosan, lalu mereka berputus asa, akhirnya mereka berhenti melakukannya. Mereka menyerah kalah.

Bayangkan jika mereka tidak berhenti berusaha, sebaliknya teruskan berusaha sedikit sahaja lagi, dan terus tekun lama sedikit lagi, di depan sudah tidak jauh, ada kejayaan yang menunggu.

Friday, February 25, 2011

Sabar...masalahkan fitrah kehidupan!

Masalah! Masalah sering kali disamakan dengan keburukan, padahal ia adalah sebaliknya. Sesuatu masalah itu mungkin mengandungi kebaikan dan biasanya memang begitu di mana ada masalah di situ ada kebaikan.

Tidak keterlaluan jika dibuat tanggapan bahawa kejayaan tidak mungkin dicapai dengan lari daripada menghadapi masalah. Malah antara syarat kejayaan dan kecemerlangan hidup seseorang ialah kemahiran menyelesaikan masalah.

Mungkin ada antara kita yang percaya hidup akan lebih mudah seandainya hanya perlu menangani masalah yang mudah atau sedikit sahaja masalah. Tetapi betulkah begitu?

Masalah adalah fitrah kehidupan dan ia juga sebenarnya bukti kehidupan. Hanya kematian yang menamatkan masalah kita di dunia. Selagi kita dikatakan hidup, kita pasti akan berdepan dengan masalah. Oleh yang demikian semakin banyak masalah yang kita hadapi semakin hidup kita jadinya!

Prinsipnya ialah jangan sekali-kali berhenti daripada meneruskan usaha mengatasi masalah dan jangan menyerah kalah kepada masalah.


Thursday, February 24, 2011

Matlamat sebagai pemikiran dominan

Untuk mencapai apa yang kita cita-citakan, kita perlu menjadikan matlamat kita sebagai pemikiran dominan dalam diri kita. Setiap hari, sekerap yang mungkin, berikan tumpuan terhadap apa yang menjadi matlamat kita. Selalulah menggambarkannya dalam fikiran kita sehingga ia menjadi sebahagian daripada diri kita. Jadikannya sebagai azam yang positif dan fokuskan imaginasi kreatif kita terhadapnya.

Pastikan kita memberikan fokus terhadap perkara yang positif dan bukannya yang negatif kerana jika tidak, apa yang kita perolehi adalah apa yang sebenarnya tidak kita ingini.

Ingatlah bahawa kita tidak boleh menjauhkan diri kita daripada apa yang kita tidak ingini. Kita hanya boleh bergerak ke arah apa yang kita ingini atau apa yang ingin kita jadi. Sekiranya kita memberi fokus kepada apa yang bukan menjadi matlamat kita maka ia akan menjadi pemikiran dominan kita dan itulah apa yang akan kita dapati.

Wednesday, February 23, 2011

Pemikiran dominan

Minda bawah sedar kita mengendalikan fungsi-fungsi automatik kehidupan yang membuat kita hidup manakala pemikiran dominan menunjukkan kepada kita arah yang patut dituju dalam hidup ini.

Sebelum sesuatu bentuk tindakan menjadi dominan dalam fikiran kita, ia mungkin terjadi dan mungkin juga tidak. Setiap saat, minit, jam, hari, minggu, bulan, tahun dan sepanjang hayat, kita mempunyai pemikiran yang dominan.

Sekiranya kita menjadikan apa yang kita ingini sebagai pemikiran dominan kita dan seterusnya mencipta minda kita gambaran grafik mengenainya, maka kita sudah berada dalam perjalanan untuk mencapai apa yang kita ingin capai.

Pemikiran dominan merupakan cara untuk memberi keutamaan serta penekanan terhadap pemikiran. Apabila dihantar kepada minda bawah sedar, pemikiran ini akan menjadi kenyataan dalam kehidupan kita melalui kuasa kemampuan memenuhi kemahuan diri yang disokong oleh keimanan dan keyakinan diri. Insya Allah!

Tuesday, February 22, 2011

Bertenang

Bertenang adalah cara yang sangat berkesan untuk mempertingkatkan kuasa pembinaan azam kita. Bersikap terlalu tegang dan mendesak boleh menghalang kejayaan. Dengan apa cara sekalipun, berilah tumpuan dan tegaskan secara khusus apakah yang menjadi azam kita. Tapi awas jangan terperangkap dalam jerat keghairahan dan kebimbangan mengenai apa yang kita impikan.

Menerima apa yang ada dalam hidup ini adalah sebahagian daripada usaha mencapai ketenangan. Ia membabitkan keimanan yang akan menolong kita berhenti daripada membuat desakan, melawan dan melakukan muslihat untuk mencapai apa yang kita inginkan dalam hidup ini.

Terimalah apa yang ada dalam kehidupan ini sepertimana adanya dan yakinlah bahawa sekiranya kita terus berusaha membina kehidupan dengan keriangan, kemakmuran dan kepuasan, maka kita sebenarnya menarik kualiti-kualiti ini kepada diri kita sendiri dan seterusnya membina kejayaan dalam kehidupan yang kita harapkan.



Sunday, February 20, 2011

Bina kesungguhan


Kesungguhan atau keazaman adalah tindakan mengesahkan sesuatu perkara dengan cara menulis, bercakap dengan kuat atau berbisik kepada diri sendiri apa yang ingin dicapai atau dizahirkan dalam hidup ini.

Kesungguhan atau keazaman boleh dibuat mengenai apa sahaja yang kita hajati kerana keazaman tidak terhad sifatnya.

Keazaman yang kita buat mungkin bersangkutan dengan masa depan atau harta benda seperti kecemerlangan dalam pelajaran, kerjaya yang cemerlang, kenaikan pangkat, keluarga bahagia, rumah, kereta, barang kemas dan sebagainya. Ia juga mungkin bersangkutan dengan amalan dan penghayatan agama seperti merapatkan diri dengan Allah SWT.

Oleh yang demikian kita harus pastikan, kita sering menanam keazaman yang positif di dalam diri kita dan berilah tumpuan terhadap apa yang ingin kita capai dan bukannya apa yang ingin kita hindari.

Friday, February 18, 2011

Pertingkatkan keyakinan

Pertingkatkan kesungguhan dan mantapkan pengambaran dengan yakin dan penuh kepercayaan. Namun ini adalah sesuatu yang sukar bagi sesetengah orang.

Bagaimanakah caranya untuk pertingkatkan keyakinan? Sebenarnya keyakinan akan datang sedikit demi sedikit. Usaha yang berulang-ulang adalah cara untuk pertingkatkan keyakinan. Dengan mengarahkan minda bawah sedar secara berulang-kali agar mempunyai keteguhan hati, maka kita sebenarnya membina dan memupuk keyakinan kita.

Apa juga pemikiran yang sampai kepada minda bawah sedar kita secara berulang kali, akhirnya akan menerima tindakannya dan menjadi kenyataan dalam hidup kita.

Thursday, February 17, 2011

Tindakan yang bersungguh-sungguh

Tindakan yang bersungguh-sungguh bermaksud membuat segala yang kita mampu untuk mencapai matlamat kita.

Kita patut bertanya diri sendiri, "Apakah terdapat perkara-perkara lain yang perlu saya tahu dan dapat dilakukan dalam keadaan saya sekarang, yang bekemungkinan dapat menambah peluang saya untuk mencapai matlamat saya? Perlukah saya mengikuti suatu latihan kemahiran, menghadiri seminar kejayaan, atau membaca buku motivasi kejayaan? Adakah sesiapa yang perlu saya teladani iaitu orang yang boleh membantu saya dan apakah yang patut saya lakukan untuk mendapat pertolongannya?".

Semua yang kita lakukan itu adalah menolong diri sendiri. Lebih banyak kita menolong diri sendiri, maka lebih cepat dan lebih pasti kita akan mencapai matlamat kita. Tindakan yang bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu matlamat merupakan bantuan yang cukup besar ke arah mencapai kepastian dan mencipta gambaran perkara yang menjadi impian dan matlamat kita itu.

Sekejap, kita tengok siapa orang kaya Malaysia


Kuala Lumpur- [Bernama]- Robert Kuok, "Raja Gula" yang memiliki rangkaian hotel lima bintang di rantau ini, mengekalkan kedudukannya sebagai individu terkaya di Malaysia dengan aset benilai RM50.04 bilion, disusuli taikun telekomunikasi T Ananda Krishnan, yang bernilai RM45.78 bilion. Hanya 3 orang bangsa Melayu termasuk dalam senarai 20 individu terkaya di Malaysia yang tersiar dalam majalah perniagaan

Malaysian Business.

Berikut senarai 20 orang terkaya di Malaysia:

1. Robert Kuok- Raja Gula - aset bernilai RM50.04 bilion [gambar atas]


2. T Ananda Krishnan - telekomunikasi- aset bernilai RM45.78 bilion


3. Tan Sri Teh Hong Piow- Pengerusi Public Bank- aset bernillai RM12.77 bilion


4. Tan Sri Lee Shin Cheng - IOI Corporation Bhd- aset bernilai RM12.74 bilion


5. Tan Sri Lim Kok Thay - Genting Group - aset bernilai RM10.89


6. Tan Sri Quek Leng Chan - Hong Leong Group -aset bernilai RM10.75 bilion


7. Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary -Yayasan Albukhary - aset bernilai RM8.84 bilion.

8. Balu Tan Sri Lim Goh Tong - Puan Sri Lee Kim Hua - aset bernilai RM7.43 bilion


9. Tan Sri Tiong Hiew King - Rimbunan Hijau Group - aset bernilai RM4.77 bilion.

10. Ong Bee Seng- Taikun - aset bernilai RM3.98 bilion


11. Tan Sri Azman Hashim - Pengerusi AmBank Group - aset bernilai RM3.93 bilion.

12. Tan Sri Vincent Tan - Berjaya Group - aset bernilai RM2.43 bilion.

13. Datuk Lee Yeow Chor - IOI Group

14. dan Lee Yeow Seng -IOI Group

15. Datuk Seri Lee Oi Hian - Batu Kawan

16. Datuk Lee Hau Hian - Batu Kawan

17. Tan Sri Yeoh Tiong Lay -YTL Group

18. Tan Sri Lau Cho Kun - Hap Seng Consolidated


19. Datuk Mokhzani Mahathir - Kencana Petroleum - aset bernilai RM1.6 bilion.

20. Tan Sri Jeffrey Cheah - Sunway Group.

Senarai penuh 40 taikun dan butir mengenai kekayaan mereka disiarkan dalam majalah terbitan 16 Feb yang turut menyenaraikan 10 individu terkaya dalam pasaran ACE.

Wednesday, February 16, 2011

Yakin dengan kemampuan memenuhi kemahuan

Isu yang paling penting bukanlah sama ada kita mampu menggunakan kemampuan memenuhi kemahuan sendiri tetapi sama ada kita mempercayainya kerana kepercayaan adalah asas kepada perkara ini. Sekiranya kita tidak mempercayainya maka ia tidak akan kita miliki. Hakikatnya tiada di antara kita yang benar-benar tidak mempercayainya.

Menurut hakikat percaya, setiap hari, kita mencapai kemenangan atau menghadapi kekalahan. Ini merupakan hakikat hidup, ia merupakan hubungan antara manusia dengan Penciptanya dan ia juga merupakan cara bagaimana semua perkara berlaku.

Hakikat yang cukup mudah difahami ialah hidup kita biasanya adalah sepertimana yang kita harapkan dan ia menjadi begitu sekiranya kita berfikir begitu. Kita bukan bergantung kepada nasib kerana kualiti hidup kita bukan ditentukan oleh nasib kita. Sebaliknya kitalah dengan izin Allah yang menentukan nasib kita!

Tuesday, February 15, 2011

Kuasai mood kita untuk mencapai impian kita

Atur langkah kita dengan tenang dan istiqamah. Kita perlu terus mara dalam mencapai impian kita. Apa yang kita lakukan saat ini dan hari ini adalah penentu kejayaan kita di masa hadapan.

Jangan cepat berputus asa, jika kita tidak mendapat keputusan apa yang kita usahakan dengan cepat. Keadaan kita sekarang tidak dapat dicapai dalam sekelip mata. Ianya di bina dengan bertahun-tahun berfikir, berlatih dan melakukan apa yang perlu. Kesabaran merupakan satu-satunya yang penting dan amat berguna untuk kita ketika ini.

Kita boleh kuasai mood kita dan kita perlu kuasai mood kita untuk mencapai apa yang kita impikan. Kita boleh menjadi apa yang kita mahu. Dengan ketekunan minda bawah sedar kita merakam impian kita, kita mampu membuat sesuatu yang menakjubkan untuk masa depan kita, tidak kira bagaimana keadaan kita sekarang ini. Kita boleh menukar diri kita seperti magnet menarik apa sahaja yang kita mahu.

Kita sebenarnya adalah apa yang kita fikirkan.

Monday, February 14, 2011

Bantu orang lain untuk kita dibantu

Hakikatnya, apa yang kita berikan kepada orang lain akan dikembalikan kepada kita dengan lebih banyak lagi. Sekiranya kita berikan kasih sayang dan rasa hormat kepada orang lain maka kasih sayang dan rasa hormat akan kembali kita rasai dan begitu jugalah sekiranya kita memberi kemarahan, maka kemarahan akan kembali kita terima.

Setiap kali kita memupuk kejayaan seseorang, bererti kita juga membina kejayaan untuk diri kita sendiri.

Oleh itu dalam menjalani hidup ini perlulah menjadi matlamat kita untuk membantu orang lain. Dan ketika kita bergerak maju dan membantu orang lain, mereka akan turut membantu kita untuk berkembang maju dan mencapai segala apa yang menjadi matlamat kita.




Sunday, February 13, 2011

Uruskan fikiran dengan baik

Cara kita menguruskan fikiran masing-masing merupakan isu paling penting dalam mencapai segala apa yang kita impikan. Kita yang tidak dapat mengurus dan mengarahkan fikiran kita dengan betul ke arah yang ingin kita capai dalam hidup ini samalah seperti kita tidak memahami apa yang sebenarnya kita fikirkan.

Apakah kita yang sentiasa tidak yakin bahawa kita boleh mengawal kehidupan kita, boleh mencapai apa yang kita impikan ?

Kita hanya menunggu "orang lain" mengalah dan berfikir bahawa sekiranya orang lain itu mengalah dan memberi kepada kita apa yang kita inginkan, barulah kita akan berjaya. Kita sebenar sedang melakukan kesilapan yang sangat besar.

Hakikatnya tidak terdapat istilah "kita" atau "orang lain" dalam perkara sebegini. Yang ada hanyalah diri kita sendiri. Dan kita hanya mendapat apa yang kita harapkan. Kita boleh memperolehi apa yang kita hajati tanpa perlu menafikan sesuatu kepada orang lain.

Saturday, February 12, 2011

Mengatasi ketakutan 2

Ketakutan biasanya merupakan suatu kaedah untuk menyelamatkan diri. Kita menggunakannya untuk membolehkan kita untuk terus hidup. Hanya apabila rasa takut yang berlebihan menguasai diri kita dan kita membiarkan pula imaginasi kita menjadi tidak terkawal, maka ketika inilah kita akan menerima padahnya.

Sekiranya ketakutan menjadi masalah bagi diri kita, maka cara untuk mengatasinya ialah dengan memfokuskan perhatian kita kepada apa yang menjadi impian paling utama dalam hidup kita dan kita perlu pertingkatkan impian kita itu sehingga ia melebihi ketakutan kita.

Cara ini akan memberi keyakinan dan menambah keazaman kita untuk membuat kita lebih tekun dan selesa berusaha. Kita perlu mempergunakan minda bawah sedar kita untuk membantu menguasai perasaan takut kita.

Ingatlah ketakutan adalah hasil pemikiran yang negatif. Tukarkanlah ia dengan pemikiran yang membina. Keyakinan mempunyai kuasa yang lebih besar daripada ketakutan.

Andainya kita takut akan menemui kegagalan, maka tumpukan sepenuh perhatian kita kepada kejayaan!

Friday, February 11, 2011

Mengatasi ketakutan


Kita perlu mengambil kira rintangan paling besar dalam mencapai apa yang kita impikan dalam hidup ini iaitu ketakutan. Takut itu, takut ini dan takut macam-macam! Ketakutan adalah musuh utama kita.

Perasaan takut inilah yang menjadi punca kepada kegagalan dan juga kesakitan zahir batin kita. Kebanyakan kita takut akan masa silam, usia yang lanjut, masa depan dan juga kehidupan serta kematian. Ramai di antara kita juga takut kepada pemikiran kita sendiri.

Kita perlu ingat bahawa ketakutan hanyalah suatu perkara yang terdapat dalam fikiran kita sendiri. Hanya terdapat satu cara untuk mengatasi perasaan takut iaitu dengan melakukan perkara-perkara yang menakutkan kita.

Oleh kerana ketakutan hanya wujud dalam imaginasi kita, maka itu kita pasti mampu mengatasinya di dalam pemikiran kita. Minda yang positif dan tegar terhadap impian hidup akan sentiasa gagah mengharungi kabus ketakutan untuk akhirnya mampu mencapai apa yang kita impikan itu.

Thursday, February 10, 2011

Pilih dan buatlah keputusan yang bijak

Ingatlah bahawa orang yang bertangungjawab sepenuhnya bagi kehidupan kita adalah kita sendiri. Jawapan bagi semua masalah serta kejayaan kita terletak pada diri kita sendiri dan minda bawah sedar kita merupakan perkakas yang diciptakan oleh Allah S.W.T. untuk memungkinkan perkara ini.

Hidup ini sangat tertakluk kepada keyakinan. Yakinlah bahawa kuasa untuk mendapat apa yang kita hajati adalah anugerah Tuhan yang terdapat dalam diri kita sendiri yang kini menunggu masa sahaja untuk digunakan.

Lihatlah dalam diri sendiri untuk mendapat jawapan bagi semua yang kita hajati itu. Kitalah yang bertanggungjawab bagi pencapaian kita. Oleh itu kita perlu membuat keputusan yang tepat dengan membuang sikap rancu kerana kita bukan lagi kanak-kanak yang tidak matang yang suka bermain-main dalam apa sahaja kerja buat yang dilakukan. Kita telah pun dewasa!

Kesimpulannya kita mempunyai kuasa untuk membuat pilihan dan keputusan. Justru, pilih dan buatlah keputusan yang bijak.

Wednesday, February 09, 2011

Fikirkan boleh

Selalunya kehidupan kita bergantung kepada bagaimana kita membayangkannya. Hukum alam ini tidak boleh diubah. Adalah mustahil bagi sesuatu perkara yang sentiasa bermain dalam fikiran kita, tidak sedikitpun menjadi kenyataan dalam kehidupan kita.

Oleh itu, apa yang kita fikirkan amat penting bagi kesihatan, kebahagiaan, cita-cita dan masa depan kita. Diri kita dan segala apa yang Allah takdirkan untuk kita biasanya sangat bergantung kepada apa yang kita fikirkan.

Sesungguhnya dunia kita adalah kenyataan daripada apa yang kita fikirkan dan akhirnya kita dapat mencipta dunia yang kita ingini mengikut pola pemikiran kita.

Kehidupan akan menjadi seindah dan sebahagia yang kita impikan kerana melalui cara menakjub yang kita bayangkan dengan jelas dan disokong oleh keyakinan serta usaha yang gigih, yang boleh mendatangkan hasil.

Tuesday, February 08, 2011

Kita adalah apa yang kita fikirkan

Kita sering memandang remeh terhadap kewujudan serta fungsi kita dan kebanyakan kita tidak pernah mengkaji persoalan yang berkaitan prestasi diri sendiri. Minda bawah sedar yang memiliki kuasa yang luar biasa merupakan anak kunci untuk mencapai apa yang kita hajati untuk diri kita sendiri dan juga untuk orang-orang yang kita kasihi.

Awas minda bawah sedar tidak peduli tentang sama ada apa yang kita ingini itu baik atau tidak. Ia tidak mempunyai fungsi sosial dan tidak menjatuhkan sebarang hukuman. Tugas utamanya ialah menjadikan segala apa yang kita kehendaki dalam hidup ini suatu kenyataan. Ini termasuklah apa kita gambarkan, apa yang kita bayangkan dan apa yang kita fikirkan.

Oleh itu berhati-hatilah tentang apa yang kita fikirkan kerana kadangkala kita memperolehi apa yang kita tidak mahu. Ini terjadi kerana kita sering memberi tumpuan kepada apa yang ingin kita hindari dan bukannya apa yang ingin kita capai!

Monday, February 07, 2011

Hakikat kehidupan

Hakikatnya kehidupan ini adalah kursus pembangunan diri yang tiada hentinya. Ia bukannya mengenai apa yang ingin kita jadi tetapi hanyalah mengenai apa yang kita bersedia untuk jadi.

Setiap detik kita manusia sering sibuk membina kehidupan. Sejak dilahirkan hinggalah menemui ajal, kita sibuk dengan usaha menyelesaikan masalah. Tetapi, sekiranya kita mempunyai disiplin, kesungguhan dan keimanan dalam menyelesaikan masalah, kita akan dapat menikmati kehidupan yang cukup memuaskan hati kita, yang penuh dengan kesyukuran kepada Ilahi.

Sekiranya kita tidak berani menghadapi dan mengatasi masalah, (hingga ke tahap kita cuba mengelakkan diri daripada masalah yang timbul), maka kita mungkin akan menjadi sasau atau mengalami sakit jiwa yang parah. Atau mungkin juga kita akan mencipta dan hidup dalam satu alam palsu di mana tidak terdapat sebarang masalah. Ini terpulang kepada kita sendiri.

Sunday, February 06, 2011

Mencari impian yang munasabah


Salah satu impian yang munasabah ialah membebaskan diri kita daripada kegagalan, kesedihan dan segala macam masalah yang mungkin menanti. Ini adalah akibat daripada keadaan semula jadi atau kerana sikap yang rancu dan kesilapan sendiri yang menyebabkan kita sering mencapai apa yang bertentangan daripada perkara yang paling dihajati.

Oleh itu impian yang munasabah merupakan peluang untuk membebaskan pemikiran daripada sebarang belenggu dan memanfaatkan semua kuasa yang hebat yang ada dalam diri kita untuk membentuk kehidupan yang kita hajati.

Kita sebenarnya memiliki segala apa yang kita inginkan dalam diri kita. Tugasnya sekarang ialah mencari dalam diri di samping menzahirkannya dalam kehidupan. Salah satu cubaan yang paling besar dalam hidup ini ialah kita perlu mencari apa sebenarnya yang kita hajati untuk kehidupan bahagia di dunia ini mahupun di akhirat kelak.

Saturday, February 05, 2011

Kita yang menentukan

Sebenarnya, Allah telah mencipta minda yang penuh ketakjuban. Minda itulah yang mencetus bentuk kehidupan yang kita ingini.

Sekiranya segala tindakan yang kita lakukan adalah mengikut perancangan, kita mampu mencipta apa yang menjadi impian kita selama ini. Tetapi, andainya kita tidak berusaha secara terancang, kita hanya akan mencipta bentuk kehidupan secara kebetulan atau mengikut kelaziman.

Kita sememangnya mencorakkan kehidupan kita. Persoalannya ialah sama ada ia dibuat secara terarah atau secara tidak sengaja! Kitalah yang menentukannya.


Friday, February 04, 2011

Potensi kita tiada terhad


Sebenarnya tiada siapapun boleh dianggap dilahirkan sebagai biasa. Setiap insan adalah ciptaan yang unik yang tersendiri. Tiada seorang pun di dunia ini yang menyerupai kita secara individu. Ini tidak pernah berlaku dan tidak akan berlaku.

Kita secara peribadi masing-masing adalah individu yang unik, mempunyai bakat dan potensi. Kita juga mempunyai bakat yang tidak terhad.

Sesungguhnya kita menjadi bukti unik tentang kehebatan dan keangungan Pencipta kita yang menganugerahkan kita potensi yang tiada terhad sejak kita dilahirkan.

Persoalannya, apakah kita mampu melihat potensi kita atau kita hanya sering mensia-siakannya sahaja - sama ada kita tidak faham atau tidak mempercayai bahawa kita berpotensi?

Thursday, February 03, 2011

Hari ini sebelum kita....

Hari ini bayu masih bertiup dingin. Di luar sana keadaan terus mendung. Agaknya musim tengkujuh belum berlalu sepenuhnya. Di sini aku mahu memaparkan beberapa kata-kata untuk renungan yang aku sudah pun lupa dari mana aku ambilnya. Kepada tuan yang menyusun kata-kata ini aku mohon maaf di atas keterlupaan aku itu. Semoga Allah memberi rahmat kepada empunya.

Hari ini sebelum kita mengatakan kata-kata yang tidak baik,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak dapat berkata-kata sama sekali.

Sebelum kita mengeluh tentang rasa dari makanan,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak punya apapun untuk dimakan.

Sebelum anda mengeluh tidak punya apa-apa,
Fikirkan tentang seseorang yang meminta-minta dijalanan.

Sebelum kita mengeluh bahawa kita buruk,
Fikirkan tentang seseorang yang berada pada keadaan yang terburuk di dalam hidupnya.

Sebelum mengeluh tentang suami atau isteri kita masing-masing,
Fikirkan tentang seseorang yang memohon kepada Tuhan untuk diberikan teman hidup.

Hari ini sebelum kita mengeluh tentang hidup,
Fikirkan tentang seseorang yang meninggal terlalu cepat.

Sebelum kita mengeluh tentang anak-anak kita,
Fikirkan tentang seseorang yang sangat ingin mempunyai anak tetapi dirinya mandul.

Sebelum kita mengeluh tentang rumah yang kotor kerana pembantu tidak mengerjakan tugasnya,
Fikirkan tentang orang-orang yang tinggal dijalanan.

Dan di saat kita letih dan mengeluh tentang pekerjaan,
Fikirkan tentang pengangguran, orang-orang cacat yang berharap mereka mempunyai pekerjaan seperti kita.

Sebelum kita menunjukkan jari dan menyalahkan orang lain,
Ingatlah bahawa tidak ada seorangpun yang tidak berdosa.

Dan ketika kita sedang bersedih dan hidup dalam kesusahan,
Tersenyum dan berterima kasihlah kepada Tuhan bahawa kita masih hidup !

Wednesday, February 02, 2011

Segamat masih tenggelam

Bandar Segamat masih tenggelam. Keadaan banjir masih lagi belum surut. Masih ramai yang berada di penempatan banjir. Nampaknya keadaan banjir di Segamat lebih parah dari tahun 2007 yang lalu. Semoga mereka yang menjadi mangsa banjir banyak bersabar dengan dugaan yan menimpa.

Kepada rakan-rakan bangsa Cina pasti sambutan tahun baru Cina tahun ini menjadi tentu arah lagi terutama mereka yang menjadi mangsa banjir. Petang ini akan 'makan besar'. Rumah masih ditakungi air. Malah masih ada lagi yang belum boleh balik ke rumah, untuk membuat persiapan raya, ada yang masih berada di penempatan banjir sekolah-sekolah, balai raya dan sebagainya.

Bersabar sahajalah, semoga semuanya selamat. Sambutlah Tahun Baru Cina ala-kadar sahaja. Yang penting jaga keselamatan dan kesihatan. Kepada semua rakan-rakan Cina diucapkan , Gong Xi Fat Chai! Semoga tahun Arnab membawa tuah kepada anada semua!

Kepada mangsa-mangsa banjir yang lain, juga perlu bersabar. Ikutlah nasihat pihak berkuasa. Jangan biarkan anak-anak terlalu seronok bermain air. Jaga keselamatan. Segamat masih tenggelam!

Tuesday, February 01, 2011

Ramai yang nak kuruskan badan...eloklah tu!


Bila bercakap dengan kawan-kawan sambil bersarapan pagi ramai yang merungut naik badan. Maksudnya semakin bertambah berat badan. Gemuklah tu konon-kononnya! Maka pelbagailah cara, cadangan dan amalan yang terkeluar untuk katanya menurunkan berat badan. Ada yang banyakkan berpuasa. Ada yang berjoging. Ada yang bermain badminton ada jugak katanya yang main golf! Main golff!! Entah di manalah main golf itu agaknya?

Bagi aku soal berat badan ini bukan isu sangat. Semenjak semakin berusia ini, makan pun semakin berkurangan dan agak memilih. Tidak semua yang aku bedal. Contoh aku sudah hampir bertahun tidak makan roti canai tapi kalau capati aku bedal. Namun sejak akhir-akhir ini aku rasa kembali roti canai, sekali-sekala bertujuan mengalih selera tapi cuma di kantin sekolah di luar aku tak sentuh.

Kalau makan aku lebih suka makan yang bakar dan panggang. "Sea food" aku tidak ghairah langsung! Makanlah orang!

Aku pernah terbaca langkah-langkah berkesan untuk menurunkan berat badan yang berlebihan tapi katanya jangan bertindak terlalu drastik.

Antara yang disyorkan ialah minum air putih yang mencukupi. Sekurang-kurangnya 2 liter sehari. Tapi musim hujan ini banyak minum air putih agak sensitif sedikit, nak buang air kecil sahaja! Katanya jumlah ini sudah memadai untuk tubuh kita bagi menurunkan berat badan, mengeluarkan toksin dan menambah tenaga. Katanya adalah baik untuk turunkan berat badan, minum air dahulu sebelum makan.

Bagi yang berkerja terutama guru antara perkara yang elok dilakukan ialah naik turun tangga. Tapi hati-hati, musim hujan ini tangga licin, nanti tersembam pula ke lantai! Gunakan tangga selama 10 minit ketika menuju ke pejabat atau ke kelas-kelas. Lebih elok kalau hendak menuju ke kelas atau ke tempat kawan-kawan gunalah perjalanan jarak jauh sambil turun naik tangga. Jika ini dijadikan amalan, sudah pasti hasilnya memberansangkan.

Kalau berada di rumah, elok sambil menonton TV kayuh basikal "air bike". Kalau tidak mengayuh basikal, menontonlah sambil duduk jauhi alat kawalan jauh TV atau apa sahaja. Berjalanlah sedikit untuk menuju ke televisyen dan radio untuk menukar siaran.

Ada orang yang berdiet langsung tidak mengambil lemak. Sebenarnya lemak penting untuk proses metabolisme badan. Mengambil lemak baik yang terdapat dalam ikan, telur, minyak zaitun dan kacang. Apabila ambil secukupnya untuk membantu menurunkan berat badan dan ia juga baik untuk rambut dan kuku.

Oleh kerana mahu kuruskan badan ramai juga yang tidak mengambil sarapan pagi. Pukul 11 atau 12 tengahari baru bersarapan, yang sebenarnya itu makan tengahari! Hakikat sebenarnya menurut pakar, orang yang mulakan harinya dengan bersarapan lebih cenderung untuk kurus berbanding orang yang tidak ambil sarapan pagi. Ini kerana sarapan memberikan tenaga maksima dan mengelakkan daripada rasa lapar yang berterusan.

Namun paling penting, kurus atau gemuk jagalah kesihatan. Makanlah tetapi apa yang dimakan perlu diambil kira secara serius terutama makanan yang dibeli. Jangan main belasah sahaja. Hari ini ramai sangat yang mati mengejut. Tiba-tiba dengar cerita mati! Tak sempat berwasiatpun!