Sunday, December 26, 2010

Piala Suzuki AFF akhir pertama: Malaysia menang 3-0 ke atas Indonesia


Sebentar tadi pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia telah mengalahkan Indonesia 3-0 dalam perlawanan pertama peringkat akhir Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil. Gol Malaysia dijaringkan oleh Safee Sali dalam minit ke 60 dan 72, manakala Ashari Shamsudin menjaringkan gol dalam minit ke 67. Kemenangan selesa ini adalah bekalan yang kukuh untuk menghadapi Indonesia baki kedua di Indonesia pada 29 Disember ini.

Namun demikian pemain-pemain Malaysia belum lagi boleh untuk merasa selesa kerana apa-apa kemungkinan boleh berlaku di tempat lawan.

Dalam ulasan aku dalam entry sebelum ini, aku menzahirkan pandangan aku bahawa jika pasukan Malaysia ini berlawan dengan Indonesia tadi, bermain seperti mana mereka bermain menentang Vietnam tempoh hari, pasukan Malaysia akan kalah. Nampaknya Rajagopal sebagai Ketua Jurulatih membuktikan dirinya seorang jurulatih yang cekap kerana telah dapat melihat kelemahan pemain-pemain Malaysia dan telah mengatasinya dengan baik.

Kalau ketika menentang Vietnam pemain-pemain midfield Malaysia tenggelam dalam gerakan pemain tengah pasukan lawan tetapi kali ini pemain-pemain midfield Malaysia benar-benar dominan berbanding midfield Indonesia dan menguasai perancangan serangan terutama di separuh masa kedua. Dan kawalan serta hantaran bola para pemain Malaysia pada malam ini cukup baik walaupun masih ada yang perlu dibaiki seperti tenaga hantaran bola yang ada kalanya masih lemah.

Beberapa kelemahan yang kelihatan pada malam ini ialah pemain Malaysia tidak prihatin dengan pemain lawan yang datang dari belakang. Terlalu lama menyimpan bola, lambat membuat hantaran bola dirampas dari belakang. Beberapa kali berlaku dalam perlawanan sebentar tadi.

Aku ingin menyatakan, jika inilah cara (seperti permainan seperti malam in) pemain Malaysia bermain kita pasti akan dapat melihat sebuah pasukan bolasepak negara yang lebih mantap bagi mengembali zaman kegemilangan bolasepak seperti di zaman Wan Zawawi, zaman Mokhtar Dahari dan zaman Zainal Abidin Hassan.

Pemain-pemain pasukan ini rata-rata masih muda, berstamina, rajin, aku melihat ada disiplin bermain dan sudah nampak ada unsur ketenangan. Masalahnya sekarang apakah pemain-pemain pasukan ini konsisten permainannya? Aku bimbang pasukan ini akan kembali mempunyai permainan yang tidak konsisten dan lemah mental apabila berada dalam pertandingan yang lebih berprestij.

Tahniah pasukan Malaysia Piala Suzuki AFF, namun perlu diingat perjalanan anda untuk membawa balik Piala Suzuki ke tanah air masih berliku kerana anda akan bermain di Indonesia !

Saturday, December 25, 2010

Cuti akhir tahun sudah di penghujung, 27 hb Disember mesyuarat pertama warga Seri Rompin bagi Sesi 2011.

Cuti hujung tahun sudah hampir ke penghujungnya. Seperti guru-guru lain aku juga menunggu-nunggu hari bermulanya mesyuarat awal tahun pada minggu hadapan. Di situ nanti banyak tugas-tugas bagi sesi persekolahan 2011 diterima untuk dilaksanakan.

Bagi SMK Seri Rompin pada 27 hb Disember ini (hari Isnin) akan bermula Mesyuarat Awal Tahun dan Mesyuarat Kurikulum pertama untuk sesi 2011. Pada 28 hb Disember pula (hari Selasa) akan berlangsung Mesyuarat pertama HEM dan Kokurikulum. Sudah pasti rakan-rakan sejawat yang masih berada di kampung yang jauh dari Kuala Rompin, sudah pun berjujuk pulang atau mungkin esok akan memulakan perjalan masing-masing. Nasihat aku kepada sahabat-sahabat yang berarak pulang ke Seri Rompin, berhati-hati memandu!

Hari esok aku juga akan berarak pulang ke Romp. dari Kuala Lumpur. Aku sedang berada di Kuala Lumpur kerana menghantar anak dan menantu yang akan pulang ke Sabah. Walaupun hari ini hari natal, tadi jalan menuju ke Kuala Lumpur tidaklah sesibuk mana.

Dalam perjalanan tadi aku bersama keluarga sempat singgah di Hentian Sungai Buluh. Pantang tengok buku yang terjual aku pasti akan membeli satu buku terbaru. Tadi aku membeli buku bertajuk "Kursus Kesempurnaan Ibadat Hari dan Umrah" tulisan Dato Hj Md Daud bin Che Ngah mantan Pengurus Besar Lembaga Tabung Haji. Buku tersebut cetakan tahun 2010. Hah..baru kelmarin aku singgah kedai buku di Kuantan, membeli 2 buah buku tentang laman Web dan Blog dan tentang kisah Presiden Iran TYT Dr Mahmud Ahmadinejad. Nampaknya aku agak terkejar-kejar untuk menghabiskan bacaan ketiga-tiga buku tersebut sebelum sekolah dibuka.

Bagi warga Seri Rompin termasuk aku sudah pasti minggu hadapan merupakan minggu yang sibuk untuk membuat persiapan bagi pendaftaran para pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat di samping menerima para pelajar yang sedia ada untuk masuk ke asrama pada sebelah petang nya pada 2hb Januari 2011 (Ahad) itu.

Semoga tahun baru sesi 2011 akan terus menguatkan semangat kita untuk lebih gigih dan bertambah cemerlang dalam setiap tugas kita dalam mendidik para pelajar kita di Seri Rompin. Selamat kembali bertugas.

Saturday, December 18, 2010

Pasukan bolasepak Malaysia Piala Suzuki banyak kelemahan

Seperti orang lain, aku menunggu untuk menyaksikan perlawanan bolasepak peringkat separuh akhir kedua Piala Suzuki antara Malaysia dan Vietnam tadi. Malaysia menang dengan aggreget 2-0 walaupun perlawanan tadi berkesudahan seri tanpa jaringan.

Memang mudah memberi pandangan, teguran dan kritikan dari bermain tetapi perlu diingat bahawa sesuatu kejayaan yang konsisten dan cemerlang sentiasa didorong oleh kritikan, pandangan dan teguran.

Tak terkecuali diri aku, aku mempunyai pandangan dan kritikan tersendiri terhadap pasukan bolasepak negara Piala Suzuki kali ini. Sebelum mengkritik, aku juga ingin mengucapkan tahniah di atas kejayaan pasukan ini kerana telah berjaya memasuki pertandingan akhir. Pasukan muda ini perlu terus diasuh untuk lebih mantap dan berkualiti sehingga mencapai tahap kualiti pasukan dunia.

Setakat yang aku mampu nilai pasukan ini belum lagi mencapai tahap Asia apatah lagi tahap dunia. Tahap Asia Tenggara mungkin, itupun tidak konsisten, sentiasa turun naik! Jadi kesimpulannya pasukan bolasepak Malaysia Piala Suzuki ini adalah berada hanya di tahap Asia Tenggara. Itu sahaja!

Namun demikian, apa yang aku perhatikan pasukan ini boleh dibentuk untuk mencapai tahap yang lebih tinggi jika terus diasuh dengan kemahiran dan stamina yang lebih baik dan penuh disiplin. Potensi untuk mencapai tahap yang lebih tinggi memang ada cuma para pemain perlu bersikap lebih profesional dalam soal sikap, latihan dan sewaktu bermain.

Pada pemerhatian aku pasukan ini mempunyai penjaga gol (Fahmi) yang baik, cekap dan penuh disiplin. Begitu juga para pemain pertahanan yang kukuh bertahan. Mereka semua rajin dan kelihatan bertenaga.

Namun demikian bermain cara bertahan semata-mata cukup membimbangkan dan hantaran bola yang entah ke mana-mana dan kelam-kabut. Dalam dua pelawanan menentang Vietnam banyak bola clearance pemain-pemian pertahanan singgah ke kaki pemain lawan. Nasib baik pemain-pemain Vietnam bukan penyerang hebat seperti mana pemain Indonesia. Jika bermain bertahan seperti itu menentang pasukan kuat, pasukan Malaysia ini akan tertekan dan 'hanyut'.

Dalam usaha menyelamatkan pintu gol, kaki pemain-pemain Malaysia aku anggap tidak bermata. Bola yang ditendang kembali dari pintu golnya, bukan ke tempat selamat malah sering bola yang konon cuba dikeluarkan dari kawasan bahaya itu, mendatangkan bahaya yang seterusnya pula. Bahaya yang bertubi-tubi! Apalah bermain seperti ini! Kalau beginilah cara mengeluarkan bola dari kawasan bahaya di hadapan pintu gol sendiri ketika menetang pasukan yang mempunyai penyerang yang hebat, pasukan Malaysia ini pasti akan balik awal. Ingat pasukan ini kalah dengan Indonesia 4-1 di perlawanan pertama !!

Kelemahan kedua pasukan ini yang perlu diatasi segera sebelum bersaing di pertandingan akhir nanti ialah kelemahan pemain-pemain midfield. Pemain-pemain tengah Malaysia tidak berpengaruh, tidak dominan dan gagal menguasai permainan. Sering tenggelam dan hilang entah ke mana berbanding pemain-pemain tengah Vietnam yang sibuk menguasai dan merancang serangan. Kerana kelemahan ini, bola sentiasa tidak sampai kepada penyerang. Shafee Sali adalah pemain penyerang yang baik dan mempunyai skil yang boleh dipuji tetapi penyerang mana mampu menjaringkan gol kalau dia sendiri turun ambil bola di bawah dan dia sendiri juga terpaksa bawa bola ke atas untuk menyerang? 'Mati' kalau macam tu !!! Kerana hilang dominasi pemain-pemain tengah, aku cukup kesian kepada penyerang berbakat itu tadi.

Kelemahan ketiga pemain-pemain Malaysia, mereka cukup lemah dalam membuat hantaran. Sama ada tidak tepat kepada rakan-rakan atau hantaran yang meleleh yang menggagalkan peluang mendapat jaringan.

Kesimpulannya tugas Rajagopal masih banyak dan panjang. Pasukan ini mempunyai banyak kelemahan dalam kemahiran mengawal bola terutama bola tinggi dan bola melantun. Pasukan ini juga lemah dari segi mental sewaktu berebut bola, membuat hantaran sesama sendiri, sering membuat tendangan gopoh, membazir dan tersasar. Dan paling utama pemain-pemain midfield pasukan ini tidakberkemahiran tinggi dalam mengawal, menguasai dan membuat hantaran bola yang tepat dan segera.

Tidak keterlaluan jika aku menjangkakan jika permainan seperti menentang Vietnam tadi diteruskan dalam pertandingan akhir nanti, Malaysia akan tewas! Apalah erti bermain dalam pertandingan akhir, jika bermain untuk tewas?



Thursday, December 16, 2010

Bencana Akhir Zaman: Petikan dari Armagedon 2012 oleh Muhamad Alexander .


Pelbagai contoh ramalan kiamat ...... jelas membuktikan manusia tidak mampu mengetahui tarikh hari kiamat secara tepat. Hanya Allah sahaja yang mengetahui saat kiamat datang melanda. Bahkan Nabi Muhammad selaku Utusan Tuhan terakhir sendiri tidak mengetahuinya. Baginda hanya diberitahu tentang tanda-tanda kiamat sahaja.....

........Dinosaur pernah pupus akibat dihentam meteor 65 juta tahun yang lampau. Adalah tidak mustahil komet mahupun asteroid dapat mendatangkan malapetaka kepada bumi. Malah Ensiklopedia Indonesia mancatatkan pada 65 juta tahun yang lampau, sebuah komet raksaksa (asteroid) menghentam bumi, lalu menerbangkan begitu banyak debu, lantas mengakibatkan langit menjadi gelap selama berbulan-bulan. Suhu kemudiannya menjunam lalu menyebabkan kehancuran pelbagai makhluk termasuk dinosaur. Itu teori seorang pakar fizik yang bernama Luis Alvarez.

........Dari segi peredaran masa, kali terakhir bumi dilanda kemusnahan besar-besaran adalah lebih daripada 30 juta tahun yang lalu. Ini bermakna bumi kini berada di bahagian yang paling padat dengan bongkahan asteroid. Jadi, kemusnahan besar-besaran yang seterusnya mungkin membabitkan kita. Berdasarkan kajian ini, tidak mustahil kemusnahan pada skala besar akan berlaku dalam masa yang terdekat.

.......NASA mengeluarkan kenyataan mengenai dakwaan kononnya planet Nibiru atau Planet X sedang menuju ke Bumi hanya suatu pembohongan di alam siber. Menurut mereka lagi, jika ancaman hentaman planet itu wujud, para ahli astronomi pasti tahu mengenainya sekurang-kurangnya 10 tahun yang lepas. Berkaitan dengan isu hentaman meteor pada tahun 2012, NASA menjawab bumi sentiasa menghadapi ancaman hentaman komet dan asteroid, namun dalam saziz yang kecil. NASA meneruskan lagi dengan menyatakan memang pernah ada hentaman meteor besar, yang mana ia terjadi 65 juta tahun yang lampau. Hentaman ini antara faktor kepupusan dinosaur.

.......Berdasarkan senarai asteroid yang dihasilkan dalam program NEO (Near Earth Obejct), NASA juga menegaskan tidak ada ancaman asteroid pada tahun 2012.

Namun bencana akhir zaman tetap akan berlaku:

"Maka tunggulah hari ketika langit membawa asap yang nyata yang meliputi seluruh manusia. Inilah azab yang pedih ( Surah ad-Dukhan, ayat 10-11)

Saturday, December 11, 2010

Sekali sekali ber-INFO.....

Kepantasan 64 km/j:

Dengan larian melebihi 43 km/j, ternyata Usain Bolt merupakan manusia terpantas di muka bumi ini. Namun demikian Usain bukanlah merupakan yang paling laju bebanding dengan sesetengah haiwan. Misalnya Kanggaru berupaya berlari sepantas 56 km/j. Kajian mendakwa adalah mustahil manusia boleh berlari sehingga 64 km/j kerana yang mungkin menghalang bukan daya tolakan ke tanah untuk melonjak ke depan tetapi masalah bagaimana serat otot boleh berkontraksi antara larian.

Tindak balas 25o milisaat:

Adakah kita tahu berapa laju otak wanita memproses jawapan 'tidak' yang diberikan oleh suami apabila permintaan atau ajakannya ditolak? Sekelip mata atau 250 milisaat, itulah tahap kelajuannya. Wanita beruapaya memikirkan pelbagai perkara sebelum mengetahui bagaimana respin emosi mereka mengenai perkara terbabit. Dipercayai itulah sebabnya wanita lebih sensitif dan memberikan respon emosi lebih kuat terhadap perkara peribadi berbanding lelaki.

30 minit sehari untuk jantung:

Hari ini banyak berlaku kejadian mati mengejut kerana antaranya komplikasi jantung. Menurut pakar kesihatan, bersenam selama 30 minit setiap hari boleh menyelamatkan nyawa anda dari serangan penyakit jantung. Berlari atau berjalan laju selama tempoh 30 minit baik untuk jantung.

Wednesday, December 08, 2010

Detik-detik masa...

Walaupun dalam masa cuti sekolah yang panjang ini, nampaknya semakin menghampiri ke penghujung tahun 2010, semakin terasa banyak yang perlu dilakukan.

Sebaik bermula cuti aku begitu sibuk dengan persediaan urusan perkahwinan anak sulong. Hingga ke hari langsung kerja begitu banyak sehingga meletihkan seluruh anggota badan. Selepas kenduri pun banyak juga kerja yang perlu disiapkan seperti kerja-kerja memulangkan barang-barang yang dipinjam dan mengemas segalanya.

Kini semua urusan kenduri telah beres tetapi kau tetap sibuk berusaha menyiapkan tugasan pembelajaran ku yang perlu aku hantar seminggu lagi dan satu lagi menjelang akhir tahun ini. Jari -jemari tanganku ini kadang-kadang terasa bagaikan nak kejang kerana setiap hari aku kena mengetuk key board laptop ini. Aku mengejar masa nampaknya. Terlalu banyak date line dihadapan aku.

Dalam kesibukan menyiapkan tugasan belajar aku masih dijemput oleh Pejabat Agama Islam daerah untuk menyampaikan ceramah dalam Kursus Peningkatan Profesional Guru-guru KAFA daerah ini pada 14hb dan 16hb Disember minggu depan. Dua slot telah diamanahkan untuk disampaikan. Satu berkenaan Padagogi dan satu lagi berkenaan Pengurusan Disiplin.

Pada 25 hb akan ke KLIA sekali lagi menghantar anak aku dan isterinya yang akan berangkat pulang ke Sabah untuk meneruskan perkhidmatan di sana dalam suasana baru setelah menjadi ketua keluarga.

Di samping itu aku perlu membuat persediaan untuk urusan kemasukkan pelajar baru sesi 2011. Jadi setiap hari aku juga perlu hadir ke sekolah untuk membuat persiapan yang berkaitan.

Dalam kesibukan itu aku kini sedang membaca buku baru aku, yang berjodol "ARMEGEDON 2012" tulisan Muhamad Alexander. Aku membaca buku itu untuk mengetahui apa pula yang di tulis oleh penulis berkenaan. Tidak keterlaluan aku katakan aku terasa kagum dengan keupayaan penulis ini dalam menzahirkan kajian-kajian ilmiahnya. Kita perlu mempunyai ramai penulis-penulis yang seperti ini bagi menggambarkan kehebatan pemikiran dan kajian anak bangsa kita. Soalnya, adakah kita ?

Sunday, December 05, 2010

Renungan: Macam mana nak selesaikan masalah ini?



Jumlah anak luar nikah bagi tempoh 1999-2003 ialah 70,430 bayi, setahun lebih daripada 14,000 anak luar nikah dilahirkan.

Manakala bagi tempoh yang sama bagi tahun 2005-2009 kelahiran anak luar nikah meningkat secara mendadak iaitu 214,033 bayi, ini bererti dalam tempoh setahun anak luar nikah ialah lebih daripada 40,000. Bayangkan bertapa berteruknya gejala ini jika tidak dibendung dan dicegah pulih.

Puncanya adalah hasil pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan khususnya para remaja dan orang muda, pakaian yang mendedahkan aurat, hiburan yang menggila, sukan yang tidak ada batasan akhlak dan lain-lain.

Macam mana nak selesaikan masalah ini?

Wednesday, December 01, 2010

Cadangan agar remaja kahwin awal ! Amacam?

Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menggesa remaja kahwin seawal usia 16 tahun manakala lelaki pula pada usia 20 tahun.

Menurut Ahmadinejad, gejala kahwin lambat di mana kebanyakan lelaki pada hari ini berkahwin pada usia purata 26 tahun manakala wanita pada usia 24 tahun, tidak harus berlaku.

Manakala Ketua Pemuda PAS Ustaz Nasharuddin Tantawi pernah mencadangkan nikah gantung.

Semua pandangan tersebut ada alasan munasabah masing-masing dalam menghadapi kerenah kebejatan sosial yang mengganas di zaman moden ini.

Sudah pasti pandangan-pandangan tersebut mengundang kontraversi kepada yang tidak bersetuju dan juga pasti bertembung dengan kepekatan amalan budaya masyarakat setempat terutama dari sudut 'wang hantaran' yang begitu tinggi yang diletakkan oleh ibubapa anak-anak gadis pada hari ini. Namun terpulang kepada masing-masing !!

Amacam remaja, setuju tak ? Mak ayah? Setuju? Heh....macam tak setuju je !