1. Begitu lama saya meninggalkan blog ini tanpa membuat sebarang update status di dalam nya. Beberapa kali saya berazam untuk mengaktifkannya semula namun gagal. Kali ini saya akan mencuba sekali lagi.
2. Sebenarnya begitu banyak yang hendak diluah dan dikongsikan. Namun kerana kesuntukan masa, tumpuan untuk menulis blog ini terus tidak menjadi.
3. Kali ini saya akan cuba sekali lagi menjadikannya sebagai medan mencurahkan pandangan terhadap isu-isu semasa dan seumpamanya. Apa yang difikir dan terfikir.
Apa Yang Difikir dan Terfikir
Blog Pemerhati Kehidupan
Monday, February 18, 2019
Tuesday, June 09, 2015
Kualiti pasukan bolasepak kebangsaan negara semakin teruk kerana.....
Sukan bolasepak pastinya sukan nombor satu negara. Namun setakat hari ini mutu atau pencapaian pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia memang tidak memuaskan malah berada dalam keadaan begitu merosot sekali. Mengapa?
Pada pandangan saya sikap pemain menjadi sebab utama kemerosotan pasukan bolasepak kebangsaan. Sebab-sebab lain sudah pasti kualiti kejurulatihan lemah dan tidak tegas dan pengurusan sukan bolasepak yang tidak bijaksana.
Saya tidak mahu mengulas dua sebab lain itu, cuma ingin memperkatakan faktor sikap pemain sahaja.
Pada saya pemain bolasepak negara tidak cukup stamina untuk bermain lebih 90 minit. Dalam ertikata lain kebanyakan pemain negara tidak cergas. Dalam bolasepak moden dengan permainan yang pantas, penuh taktikal dan aggresif, pemain yang tidak cergas dan tidak berstamina mudah hilang fokus kepada permainan dalam padang terutama ketika keletihan.
Pemain yang tidak cergas ini akan menjadi lembik atau malas dalam perebutan, mudah mengundang kecederaan dan hilang kestabilan emosi untuk mudah menjadi pemalas, baran dan pemanas. Sikap pemain yang sedemikian akan mudah dieksploit oleh para pemain pasukan lawan.
Faktor yang kedua berhubung sikap pemain ialah kebanyakan pemain pasukan negara tidak bermain dengan menggunakan akal fikiran. Mereka jarang berfikir sewaktu bermain. Apabila bola di kaki, mereka menjadi buntu untuk menghantar bola ke mana, akhirnya disepak sahaja tanpa sasaran yang tepat, asal sepak sahaja....
Sewaktu pemain negara menyerang, mereka gagal melihat dan memilih ruang yang terbaik untuk menjaring gol sama ada ruang yang ada kepada rakan sepermainan atau ruang yang dipunyai sendiri. Langkah mudah yang mereka sering lakukan ialah membuat rembatan sekuat hati ke arah pintu gol seolah-olah sambil memejam mata. Akhirnya bola yang ditendang terkena batang tubuh penjaga gol atau pemain pertahanan lawan, tersasar jauh dari pintu gol atau melantun tinggi melangit! Ini yang sering berlaku. Lepas itu mereka mengiling-iling kepala dan buat-buat menyesal.
Jika mereka menggunakan akal fikiran sewaktu berlari membawa bola mereka pasti mengintai ruang sendiri atau ruang yang dipunyai oleh rakan sepasukan, mana yang lebih baik. Tetapi ini tidak berlaku. Yang mereka tahu rembat sahaja tanpa mencari ruang dan peluang yang terbaik.
Apa yang biasa berlaku kepada penyerang pasukan negara ialah gagal melihat peluang rakan sepasukan yang lebih baik untuk menjaring gol berbanding ruang yang dipunyai sendiri.
Manakala rakan sepasukan pula sentiasa bersikap bentat atau sering mengambil mudah apabila rakan penyerang sedang membawa bola ke arah pintu gol. Berfikir untuk membantu atau bergerak seiring sambil meminta bola jarang mahu dilakukan oleh pemain hadapan pasukan negara. Kadang-kadang sewaktu menyerang terdapat pemain negara yang lain tidak ikut serta berlari ke hadapan sebaliknya hanya melihat sambil bercekak pinggang di atas padang. Kalau begitu caranya memang pasukan negara tidak akan menang sampai bila-bila.
Inilah antara sikap para pemain negara yang menjadikan pasukan kebangsaan sering kecundang di peringkat antarabangsa. Percayalah tahun hadapan pasukan Timor Leste pasti mampu mengalahkan pasukan negara jika pemain pasukan negara terus bermain seperti sebuah pasukan bolasepak kampungan sambil hanya pandai meludah pemain lawan!
Sunday, November 10, 2013
Penulis buku La Tahzan tegur umat Islam
Penulis buku La Tahzan tegur umat Islam
Harakahdaily 08 Nov.2013.
Dr Aidh
Abdullah al-Qarni ialah seorang ulama Arab Saudi juga penulis motivasi Islam
terkenal di dunia masa kini.
Antara karyanya yang paling terkenal ialah La Tahzan (Jangan Bersedih) yang mula ditulis ketika di dalam penjara. Buku ini sudah diterjemahkan ke dalam 29 bahasa dunia termasuk Indonesia dan Malaysia. Di Arab Saudi sahaja, buku ini sudah dicetak lebih kurang 1.5 juta naskah.
Semasa mendapatkan rawatan di Paris, beliau telah menukilkan suatu artikel yang menegur sifat-sifat umat Islam dan membandingkannya dengan sifat masyarakat yangditemuinya ketika di Paris.
Antara nukilannya yang menarik ialah “(Di Paris) Ku lihat banyak hadis-hadis Nabi SAW diamalkan dan direalisasikan. Erti dan kehormatan yang berbalas, bahasa yang sopan dan gaya hidup bertamaddun khasnya dalam aspek pergaulan dan perhubungan sesama manusia.”
Tulisnya lagi;
“Sedangkan jika ingin dibandingkan dengan warga tanah Arab, ternyata berbeza. Jika sedang marah, pasti akan diselangi dengan kata-kata laknat, caci-maki, cercaan dan hinaan. Ke mana hilangnya manhaj al-Quran yang mengajar kita...”
Terjemahan tulisan penuh beliau boleh dibaca di laman web ini;
Sila baca
Di Malaysia pun lebih kurang juga dengan di tanah Arab rasanya terutama dalam kalangan pemandu di jalanraya! Pantan silap, tangan akan keluar dari tingkap kenderaan dan macam-macam keluar dari bibir mulut!
Thursday, November 07, 2013
Calon SPM dan STPM, buatlah sehabis baik!
Minggu ini para pelajar sedang sibuk dengan peperiksaan SPM dan STPM masing-masing. Takziah kepada keluarga seorang sahabat kita di Kelantan yang telah meninggal dunia sewaktu sedang menduduki peperiksaan SPM. Kita berdoa semoga arwah sahabat kita itu ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal saleh. Alfatihah!
Kepada para pelajar diharap sentiasa bertenang sewaktu menduduki peperiksaan. Selama ini anda semua telah membuat persediaan yang terbaik, justru itu tugas anda dalam dewan atau bilik peperiksaan hanya buat yang terbaik yang anda mampu lakukan. Segala keputusan daripada usaha anda itu, serahkah sahaja kepada Allah SWT. Jangan lagi fikir yang bukan-bukan sehingga mendatangkan mudarat kepada diri anda sendiri.
Ingat, memang anda memerlukan keputusan yang cemerlang dalam SPM dan STPM tetapi anda perlu menginsafi realiti bahawa SPM dan STPM bukan segala-gala dalam menentukan kejayaan dan kecemerlangan masa depan anda. Apa yang penting anda perlu menjadi seorang yang sentiasa berusaha untuk memajukan diri anda.
Dengan sebab itu jangan terlalu takut, panik dan fikir yang bukan-bukan mengenai apakah keputusan yang bakal anda terima nanti. Yakinlah anda mampu menjadi orang yang berjaya melalui banyak cara dan gaya asalkan cara itu sah dan halal.
Yang pasti anda hanya perlu buat sehabis baik dan terbaik setiap kali menjawab soalan peperiksaan!
Thursday, July 25, 2013
Bonus raya hanya dapat RM500, pucuk paku merah pun kena dibeli!
Sebaik terlihat pucuk paku merah dijual seikat-seikat, aku termenung sejenak memikirkan zaman sekarang ini nampaknya sayur-sayur hutan seperti ini pun perlu dibeli!
Dahulu, kalau arwah ibu perlukan pucuk paku merah seumpama itu, arwah ibu hanya perlu ke belukar kecil di belakang rumah dan petiklah pucuk paku merah itu semahunya untuk diisi dalam bubur lembuk di bulan puasa seumpama ini!
Hari ini aku tinggal ditapak rumah yang sama dengan rumah arwah ibu dan ayah dahulu tapi di belakang rumah sudah tidak ada lagi pokok pucuk paku merah, yang ada pokok sawit! Alahai!
Hari ini, kalau nak kan pucuk paku merah, aku terpaksa meninjau-ninjau di sekitar pasar tani. Kena beli woi! Kalau ada yang percuma pun hanya dalam belukar atau paya di tepi-tepi jalan raya yang sukar untuk dipetik.
Dunia kian berubah dan kian jauh. Semua orang kena ada wang jika memerlukan sesuatu, yang dulu hanya percuma sahaja.
Pendek kata semua orang kena jadi BERWANG. Tapi kali ini ramai jugak yang merungut, macam nak berwang, bonus raya pun hanya dapat RM500. Aku hanya diam!
Sunday, June 23, 2013
Semalam hari kenduri
Semalam hari kenduri. Dari pagi sampai malam pelbagai menu disediakan. Syukur alhamdulillah. Di sini aku hanya nak menyenaraikan menu jamuan yang dihidang!
Kenduri tahlil, sebelah pagi. Kami para tetamu dihidangkan dengan juadah menyelerakan. Pulut kuning, rendang ayam, ikan masin, laksa pahang dan kopi o kaw. Pilih sahaja untuk berlumba meningkatkan tahap kolestrol masing-masing!
Kenduri majlis pertunangan pada tengah hari. Wau...nasi putih berlaukkan ikan patin masak tempoyak! Ayam goreng rempah! Ikan masin pun ada jugak lagi! Pelbagai ulam-ulaman dan sambal belacan. Ada pula kuih bakar dan bengka pulut lawan dengan teh ooo.... manis sangat! Belasah lagi....acara menaikkan tekanan darah dan gula! Huhuhu....
Kenduri masuk rumah baru pada sebelah malam, berjumpa pulak dengan nasi kerabu ayam bakar, keropok goreng, sambal ikan, buduuuuu.... dan yang paling mengecurkan air liur ialah tumis belacan kaw-kaw...fuh! Mak tuan...berdenyut jantung diibuatnya!
Sampai rumah pukul 10.30 malam, tidur! Heh kalau amal selalu meeemang panjang umur jawabnya!!! Amal...amal...! Amaaal!!!
Friday, June 21, 2013
Jerebu kuat weh...sesak nafas!
Sejak dari pagi tadi, sebaik sampai di sekolah dalam pukul 6.50 pagi, aku terasa bahang panas. Menjelang pukul 7 pagi kelihatan para pelajar mula bergerak dari asrama. Aku lihat mereka bergerak ke sekolah dalam keadaan bagaikan diselubungi kabus pagi!
Bagi mereka yang tidak ambil kisah, mereka akan menyangkakan itu kabus pagi tetapi bagi mereka yang perasan dengan suasana yang membahang, panas dan terasa payah bernafas serta bau suasana yang berasap, mereka tahu itu adalah jerebu!
Aku terus memerhati para pelajarku menuju ke sekolah!
"Sir...pakai topeng!" terdengar suara dari atas!
Aku menoleh dan kelihatan seorang pelajar perempuan menegurku agar memakai topeng tutup mulut dan hidung.
"Ok nanti beli", kataku sambil senyum kepadanya.
Memang waktu itu aku berdiri di tempat terbuka, tanpa memakai topeng. Memang terasa payah untuk bernafas pada waktu itu.
Agak lama aku berada di laluan itu, dalam suasana yang terbuka, terasa tidak tahan lagi kerana sudah mulai rasa perit tekak dan sedikit pening. Aku bersegera ke bilikku untuk minum sebotol kecil air mineral sambil menikmati suasana yang lebih nyaman!
Sejak dari semalam beberapa orang pelajarku mengadu panas dan sakit tekak. Aku menasihati mereka agak banyakkan minum air masak dan jangan berada di tempat terbuka.
"Sir, sir ada panadol tak?" seorang pelajar tingkatan 6 bawah tiba-tiba menerjah aku soalan itu sebaik aku masuk kelas pagi semalam.
Dia kelihatan letih, terasa nak muntah dan katanya sukar hendak menelan. Demam! Aku meminta kawannya membawa dia ke bilik sakit untuk kemudiannya di bawa ke klinik berhampiran oleh guru bertugas bagi mendapat rawatan.
Begitulah suasana dua tiga hari ini. Jerebu terlalu kuat.
Sebelah petang selepas solat Jumaat aku ke Mersing, suasana sepanjang perjalanan pun diselubungi jerebu! Dari jauh, aku sempat melihat berapa orang sukarelawan parti DAP mengedar topeng kepada pemandu-pamandu dan orang ramai di bandar Mersing. Bagus juga usaha mereka itu, dapat menyedarkan orang ramai untuk menjaga kesihatan.
Lantas aku memberhentikan kereta ku dihadapan sebuah farmasi, untuk isteri turun sebentar membeli topeng (mask). Esok aku pasti akan terdedah dengan jerebu lagi kerana aku terpaksa ke Kuantan untuk ke majlis pertunangan anak saudara sepupuku.
Kepada semua jagalah kesihatan, jerebu sedang melanda negara kita!
Subscribe to:
Posts (Atom)