Friday, April 29, 2011

kita patut disayangi dan dihormati

Kita mempengaruhi dan mengarahkan minda bawah sedar kita melalui percakapan diri, imej mental, impian, keinginan, kemahuan, hasrat dan ketakutan. Pengalaman masa lalu kita membentuk pola reaksi kita terhadap kehidupan seharian dan selalunya kita bertindak dengan cara yang paling memberi keselesaan kepada kita.

Untuk menambah peluang dalam hidup ini kita perlu keluar daripada paras keselesaan kita dan ini boleh dilakukan dengan mengubah percakapan diri kita.

Kita mengubah imej diri dengan memahami bahawa ia merupakan keyakinan yang tertanam di dalam diri kita bahawa kita adalah seorang manusia yang bernilai, patut dikenali, patut disayangi dan patut dihormati.

Thursday, April 28, 2011

Jadikan diri kita orang yang positif

Percakapan diri dan penggambaran minda kita, bergerak seiring. Untuk memperbaiki percakapan diri, kita perlu menggambarkan apakah jenis manusia yang ingin kita jadi. Contohnya, andainya kita tidak mempunyai keyakinan, merasakan kita tidak mempunyai kebolehan untuk melahirkan perasaan dan mempunyai masalah untuk berkomunikasi dengan berkesan, maka kita perlu menambah gambaran pembinaan harga diri yang positif kepada percakapan diri kita.

Gambarkan dalam minda, yang kita adalah seorang yang berkeyakinan, mampu berkomunikasi dengan berkesan dan mampu melahirkan apa yang terkandung dalam fikiran kita dengan baik. Binalah imej mental dalam diri kita, jenis manusia yang bagaimana yang ingin kita jadi.

Sekiranya perkara di atas berjaya dilakukan, maka ia akan menolong menghalang kecenderungan kita untuk melabelkan diri kita sebagai seorang yang tidak berguna, tidak mempunyai bakat dan sering melakukan kesilapan yang membawa kegagalan.

Tuesday, April 26, 2011

Sentiasa nilai percakapan diri


Kita perlu membuat penilaian tentang percakapan diri kita dari masa ke semasa. Salah satu langkah positif yang boleh kita ambil ialah dengan mengingat semula perbualan atau percakapan yang pernah kita buat sebelum ini, yang meliputi pelbagai keadaan.

Perkataan yang kita guna dalam mana-mana perbualan mencerminkan cara bagaimana kita bercakap kepada diri sendiri. Oleh itu kita perlulah sentiasa berhati-hati dengan apa yang kita cakap bagi mempastikan kita mempunyai fokus yang positif terhadap impian dan masa depan kita.

Sunday, April 24, 2011

Pecahkan pola pemikiran negatif

Kita perlu sedar bahawa kebanyakan mereka yang berjaya hari ini adalah lebih kerap menemui kegagalan sebelumnya. Oleh itu, apa ang patut kita pelajari dari segi penggunaan percakapan diri ialah tiada kejayaan yang lebih besar daripada kejayaan itu sendiri.

Setelah kita berjaya memecahkan pola-pola pemikiran negatif yang terlalu banyak berlegar dalam pemikiran kita dan mula memberi fokus terhadap aspek-aspek positif daripada pengalaman kita, maka kita sebenarnya sedang menuju ke arah yang betul.

Sebenarnya kehidupan kita ini adalah proses memenuhi kehendak diri dan sekiranya kita terus mengamalkan percakapan diri yang positif, maka kita sebenarnya sedang membina proses memenuhi kehendak diri yang berjaya.

Tuesday, April 19, 2011

Jangan berundur...

Jika kita sering memberitahu bahawa kita telah penat berusaha namun sehingga sekarang masih belum belum berjaya mencapai apa yang kita impikan, kita sebenarnya sedang meracuni fikiran kita dengan pemikiran dan percakapan yang negatif. Lambat laun jika kita belum sedar-sedar kita bakal terhumban kelembah kekecewaan yang berpanjangan.

Jika kita memikirkan kita begitu penat berusaha, cuba kita fikir dan kaji mereka yang telah berjaya. Mereka mencapai apa yang mereka hajati bukan dalam sekelip mata. Mereka berjuang dengan titik peluh dan curahan keringat sepanjang kehidupan mereka.

Oleh yang demikian kita perlu terus merancang untuk menjadikan diri kita juga berjaya seperti dengan menjauhkan pemikiran kita dari unsur-unsur negatif yang bagaikan racun yang boleh merosakkan perjuangan kita. Kita perlu yakin jika kita sering menghadapi kegagalan, ingatlah kegagalan itu adalah merupakan langkah-langkah yang semakin hampir membawa kita kepada kejayaan. Jangan kita berundur di saat-saat setapak sahaja lagi untuk kita mampu menggenggam impian kita!

Monday, April 18, 2011

Bagaimana menjadi manusia baru...

Kita boleh menjadi manusia baru dan berlainan daripada sebelumnya hanya dengan mengubah percakapan diri bagi mencerminkan imej baru yang ingin kita bina. Dalam interaksi menyeluruh antara semua perkara yang membabitkan usaha membina diri ke arah yang lebih baik berbanding sebelumnya, percakapan diri menjadi faktor terpenting yang boleh kita menjadikan diri kita manusia yang lebih baik dan berkesan.

Percakapan diri yang positif akan membantu kita membina keyakinan dalaman dan mengarahkan kita ke arah mempunyai pemikiran berjaya.

Tidak ada manusia yang gagal sepenuhnya dalam hidup ini. Tetapi apabila berada dalam keadaan minda yang negatif, kita terdorong untuk memberi fokus kepada semua perkara yang bagi kita, menyerupai kegagalan masa lalu dan kita lupa tentang beratus-ratus kejayaan yang pernah kita alami.

Sedangkan melalui percakapan diri yang positif, kita boleh membina imej peribadi sehingga kita mula melihat kegagalan sebagai sebahagian daripada proses untuk berjaya.

Saturday, April 16, 2011

Perbaiki imej peribadi

Imej boleh diubah. Sudah banyak kali dibuktikan bahawa apa yang terdapat pada diri seseorang pada hari ini tidak semestinya kekal demikian selama-lamanya. Salah satu sebab utama kenapa kebanyakan kita tidak dapat memperbaiki kehidupan kita ialah kerana kita mempunyai sikap negatif terhadap penggunaan pemikiran positif. Pemikiran positif akan mendatangkan manfaat andainya diarahkan secara betul iaitu ke arah mengubah diri kita.

Sekiranya kita ingin mengubah hidup kita, kita mestilah mengubah pemikiran kita. Kadang-kadang cara kita berfikir pada ketika ini tidak akan mampu membawa kita kepada perubahan yang kita mahukan. Ingatlah jauh ke dalam minda bawah sedar kita terdapat imej diri kita sepertimana yang kita fikirkan. Sekiranya kita fikirkan yang diri kita adalah seorang yang pemalu, maka kita akan bertindak sebagai seorang yang pemalu. Sekiranya kita fikirkan diri kita adalah seorang yang aggresif, maka kita akan bertindak sebagai seorang yang aggresif.

Oleh itu fikirkan sejenak tentang bagaimana kita ingin gambarkan diri kita!